Sebulan Kemudian (2)

147 9 5
                                    

Bray melangkah masuk ke sebuah bilik di kompleks penjara itu, selepas meminta izin dari pegawai bertugas untuk bertemu Nazmi yang kini ditahan di situ.

Nazmi duduk dengan tenang di salah satu kubikel di bilik itu. Kubikel-kubikel itu dipisahkan dengan sekeping kaca. Bray terus duduk di kerusi yang disediakan, menghadap Nazmi.

"Kenapa buat macam tu?" Bray bertanya, di wajahnya terpamer rasa kesal.

"Tak apa," kata Nazmi perlahan.

"Habis, macam mana dengan adik awak? Dia perlukan awak. Awak keluarga dia."

"Saya yang pilih jalan ni. Saya mesti terima akibatnya. Dia mesti akan faham," kata Nazmi, riak wajahnya tenang.

"Tapi..."

"Tak apa."

Bray pandang lantai. Sungguh, dia tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Nazmi. Namun, satu teori muncul dalam otaknya.

"Tuan Azazil ada janjikan kamu apa-apa?"

Nazmi sedikit tersentak, kemudian cepat-cepat menggeleng.

"Tak mungkin tak ada. Mesti ada. Kalau tak, takkan drastik sangat tindakan awak ni," desak Bray. Nazmi hanya senyum.

"Orang jahat mesti dihukum, kan?" Nazmi berkata tenang.

"Kalau bertaubat, bukan orang jahat lagi dah."

"Jadi, kenapa orang sekeliling pandang hina kepada banduan, walaupun dia dah bertaubat? Kenapa bila masyarakat dapat tahu seseorang itu pernah masuk penjara, terus dianggap dia tu orang jahat walaupun hakikatnya dia cuma mangsa keadaan? Kenapa?"

Bray terdiam. Mati akal.

"Sebab itu, saya kata tak apa. Memang saya patut ada di sini. Saya memang patut terima semua ni. Awak teruskan hidup. Anggap sahaja saya tak pernah wujud," kata Nazmi dengan tenang, namun air matanya bergenang.

"Masa dah habis," kata pegawai penjara yang menjaga bilik itu. Bray hela nafas lalu bangun dari kerusi. Begitu juga Nazmi, yang mana seorang pegawai penjara sudah datang untuk mengiringinya.

"Nazmi," panggil Bray. Nazmi menoleh ke arah Bray yang berdiri di pintu keluar.

"Nabi Yusuf pun pernah masuk penjara disebabkan fitnah terhadapnya. Dan, para nabi bukan pendosa. Saya tak pernah anggap awak ni orang jahat. Awak cuma... Salah laluan saja."

Nazmi tertawa kecil. "Terima kasih," katanya.

Bray mengangguk lalu keluar dari bilik itu.

(...)

Kereta mewah berwarna hitam milik Tuan Azazil laju membelah kepekatan malam. Tuan Azazil mengurut tengkuknya yang terasa lenguh. Sebulan ditahan di lokap, itu di luar jangkaannya. Yang lain, berjalan seperti yang dirancangkan.

Rumah anak-anak yatim Wirda Kejora kini berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Maka, dia bukan lagi pengurus Wirda Kejora. Sebahagian pendapatannya turut hilang dek pendedahan Exotika. Tidak mengapa, hubungannya dengan Exotika awal-awal lagi sudah dihilangkan. Wangnya pula ada berkepuk-kepuk di bank.

"Sudah transfer wang ke akaun bank Nadya?" Tuan Azazil bertanya pembantunya yang duduk di sebelah pemandu.

"Sudah, tuan. Sebaik sahaja Nazmi mengaku, transaksi terus dijalankan."

Tuan Azazil mengangguk puas. Tidak mengapa jika dia hilang Exotika. Dia masih boleh wujudkan sesuatu yang sama. Cuma, bukan untuk masa terdekat. Sekarang, dia perlu ke luar negara, dan tunggu sehingga kekecohan reda.

Kereta itu tiba-tiba berhenti. Tuan Azazil terkejut. Ada lembaga berpakaian jubah hitam dengan hud dan topeng menutupi wajahnya sedang berdiri tidak berganjak beberapa meter dari hadapan kereta.

Pemandu kereta itu menekan honnya berkali-kali. Namun, dia masih berdiri kaku di situ.

"Woi! Ke tepilah! Tahu tak siapa yang ada dalam kereta ni? Tuan Azazil, tahu!" tengking pemandu kereta itu dengan berlagaknya.

Tangan kanan lembaga itu mencapai sesuatu di pinggang lalu dihunus keluar. Mata pedang samurai berwarna hitam bersepuh emas itu dituju tepat ke arah Tuan Azazil yang mula ternganga.

(...)

Pagi itu dingin, langit mendung dilitupi awan berat. Pintu studio QS terkuak. Salleh melangkah masuk, menguap beberapa kali. Tiba-tiba En. Yusri, pensyarah subjek Kajian Perundangan 1 mahu mulakan kelas pada jam 8 pagi, bukannya jam 9 seperti biasa. Katanya, tengah hari nanti dia ada mesyuarat dengan ketua jabatan.

Studio itu hening, cuma ada beberapa orang manusia yang baru sahaja sampai. Yalah, 15 minit lagi sebelum kelas bermula. Mestilah ada yang pergi sarapan dahulu. Dia berjalan ke arah tempat duduknya, meletakkan beg di kerusi lalu meletakkan kepala di atas meja. Hud sweaternya diangkat menyembunyikan wajahnya. Takut kalau-kalau ada yang curi-curi tangkap gambar lepas tu lekat di papan kenyataan utama studio, untuk dilihat semua orang. Mintak simpang!

Telinganya menangkap kecoh-kecoh di pintu studio sebelum seseorang masuk, berjalan ke arah Salleh lalu mengheretnya keluar studio, ke gazebo yang berada betul-betul di luar bangunan Studio Alam Bina. Salleh yang masih mamai hanya menurut.

"Zel, apahal?" Salleh bertanya dengan mata yang kuyu. Zel, Hana dan Andi tenung Salleh. Bagaikan ada sesuatu yang tidak baik sudah berlaku.

"Mulut awak. Masin," kata Andi.

"Betul. Masin sangat," sambung Hana.

"Garam pun tak semasin ni," Zel pula menyambung.

"Seriuslah. Apahalnya? Aku mengantuk ni. Cuba cakap terang-terang," kata Salleh sambil gosok matanya yang masih mengantuk. Andi hulur surat khabar yang dibeli di kiosk KST.

Salleh ambil surat khabar itu lalu membaca berita yang berada di muka hadapan. Rasa mengantuknya hilang serta merta. Berita kematian Tuan Azazil terpapar di situ. Mati disebabkan dipancung. Pemandu kereta dan pembantunya turut menjadi mangsa.

"Aduhai. Aku tak maksudkannya pun," kata Salleh sambil garu kepalanya.

(...)

Laporan akhbar berkenaan kematian Tuan Azazil dipotong dengan cermat. Dia membacanya sekali lalu sebelum memasukkannya ke dalam fail yang nampak seperti buku skrap untuk menyimpan sijil. Di dalam fail itu ada beberapa laporan akhbar, semuanya berkaitan dengan Exotika. Laporan enam belia sesat di hutan itu juga ada, di hadapan sekali.

Fail itu ditutup dan disimpan di rak buku. Dia tersenyum lega. Matanya tertancap pada draf manuskrip yang terpapar di skrin komputer riba di atas meja.

"Hm. Siap juga akhirnya."

Dia menaip sebaris perkataan sebelum menekan 'Save', menutup tetingkap Microsoft Word, memindahkan fail manuskrip ke dalam pemacu pena miliknya dan memadamkan komputer riba itu. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya.

TAMAT

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now