Extra : Sebulan Kemudian (3.3)

96 5 15
                                    

Bungkusan 'Jelly Belly' yang dilekatkan sticky note itu dibelek-belek. Dahinya berkerut usai membaca nota yang terlekat itu.

Untuk Putra.
Zel suruh bagi, tanda minta maaf.
-Andi-

"Tch. Reti pula minah tu minta maaf," bebelnya perlahan. "Tapi... Kenapa tiba-tiba je minta maaf?"

Laci meja ditarik, lalu bungkusan itu disimpan di dalamnya. Matanya melirik ke arah tingkap. Bulan separa penuh jelas kelihatan di luar.

Pintu bilik tiba-tiba terkuak. Salleh, yang baru sahaja balik dari pasar malam berhampiran, kerut dahi seketika melihat keadaan bilik yang suram itu. Hanya lampu meja sahaja menyala.

"Kenapa tak buka lampu?" Salleh bertanya seraya melangkah masuk ke bilik. Suis lampu dipetik. Bilik yang suram tadi kini terang benderang. Langkahnya kemudian disambung, menuju ke arah mejanya.

"Malas," jawab lelaki itu sepatah. Dahi Salleh berkerut mendengar jawapan itu.

"Kau..." Salleh cuba mengecam siapa gerangan yang masih duduk di kerusi itu. "Malik?"

"Ha. Aku. Kenapa?"

"Oh. Er... Aku nak keluar kejap, tertinggal barang di bilik Alif." Cepat-cepat Salleh letak barang yang dibeli di atas mejanya lalu berjalan laju ke arah pintu.

"Aip. Nak ke mana tu?" Tangan Malik terus merentap belakang baju Salleh. Hampir terjatuh Salleh dibuatnya. Bila masa entah Malik bangun dari kerusi.

"Ala. Dah agak kau nak suruh apa. Kau nak ajak aku pergi cuba bawa lari tilam rosak dekat stor sebelah koperasi sekali lagi, sebab kau nak praktis tinju, kan? Hari tu sikit lagi nak kantoi. Penat sebab kena menjawab dekat pak guard tu pun tak habis lagi, tahu tak?" Salleh berkata, tidak puas hati. Sudahlah pengawal keselamatan yang bertugas di situ banyak benar songehnya. Mujur dapat selamatkan diri.

"Bukan suruh tu la. Aku nak tanya kau sikit."

"Hm? Tanya apa?" Salleh kerut dahi.

"Apahal Zel tiba-tiba minta maaf pada budak Putra tu?"

"Oh? Kau tahu pasal tu?" Salleh terkejut. "Er... Aku tak beritahu kau ya?"

"Beritahu apa?"

"Zel tuduh dia curi pam tandas."

Malik diam seketika. Bagaikan tidak percaya dengan jawapan itu.

"Kau kata apa tadi? Curi apa?" Malik menyoal, cuba memastikan dia tidak salah dengar.

"Pam. Tandas." Salleh ulang semula, satu-satu.

Tawa Malik terus terhambur.

(...)

Sebutir demi sebutir bebola paintball berwarna hijau neon dimasukkan ke dalam magazin. Usai mengisi, magazin itu dimasukkan ke dalam ruang di bawah bahagian pemegang pistol paintball itu. Baki bebola paintball di dalam plastik disimpan semula ke dalam kotak.

"Perlu ke nak keluarkan benda tu?" Hana yang memerhati sejak tadi kelakuan Zel itu terus bertanya. Zel angguk.

"Manalah tahu, kot-kot pencuri tu datang lagi. Ni first time dia gagal. Mestilah dia nak cuba lagi."

"Ada ke kemungkinan dia datang balik?" Hana terus topang dagu. "Selalunya lepas dah tenang baru cuba lagi, kan?"

"Kalau dia terdesak?" Zel menduga. "Ha... Jangan sesekali pandang rendah terhadap orang yang terdesak."

Hana terus bungkam.

(...)

Kelihatan kelibat seseorang sedang berjalan laju ke arah sebuah bangunan paling kecil - seakan sebiji banglo ringkas, juga paling tersorok, di kawasan asrama KSA. Lampu suluh memandu langkahnya ke arah bangunan yang dipenuhi semak samun itu. Sampai sahaja di hadapan bangunan itu, pintu utama bangunan itu terus diteliti.

"Siapa tu?"

Seorang pengawal keselamatan berusia sekitar 40-an berjalan menghampiri pintu utama asrama itu. Cahaya lampu suluh dihala ke arah batang tubuh dia yang sedang berdiri di hadapan pintu itu.

"En. Rossa?"

Dia hanya angguk. Pintu diteliti semula.

"Encik buat apa di sini pada waktu malam begini? Lagipun, kawasan ni kan..."

En. Rossa pandang semula pengawal keselamatan itu.

"Saya nak check benda sikit. Tak salah, kan?"

"Kenapa tak tunggu siang nanti je?"

"Kalau tunggu siang nanti, mungkin dah terlambat."

Dahi pengawal keselamatan itu terus berkerut. En. Rossa kembali menumpukan perhatian pada pintu utama itu. Tombol dipulas dan digoyang-goyangkan. Berkunci.

"Blok ni tak ada pintu belakang ke, pakcik?" En. Rossa terus bertanya. Pengawal keselamatan itu mula serba salah.

"Ada. Bukan belakang. Tepi bangunan ni je. Tapi..."

"Kenapa?"

"Blok ni 'keras'. Nak masuk juga ke malam-malam ni?"

"Keras?" En. Rossa terus mengetuk pintu utama yang berkunci itu, kemudian mengetuk tiang konkrit di sebelahnya. "Bangunan ni memang keras pun. Tak lembik."

Pengawal keselamatan itu terus tepuk dahi. "Bukan keras yang tu la, En. Rossa!"

(...)

Malik menopang dagu usai mendengar hal kecurian di asrama KSA - secara spesifik, blok di mana Hana dan Zel tinggal - selepas meminta Salleh jelaskan kenapa Putra dituduh mencuri pam tandas sebelum ini.

"Kali ini, dia gagal, ya?"

Salleh angguk, mengiyakan.

"Cermin. Pokok. Pam tandas. TV," Malik mengira dengan jari, sambil menyebut urutan barang yang terlibat. "Tak nampak kaitan pun."

"Itulah. Pelik kan. Tak tahulah apa pencuri tu nak buat dengan barang-barang tu."

"Kalau Zel tuduh budak tu curi TV, bolehlah aku percaya. Lagipun, mana nak cari TV pakai tiub lagi sekarang ni? Semuanya pakai skrin LCD. Pam tandas... Dia nak buat apa kalau ya pun?" Tawa kecil terlepas dari mulut Malik. Dia masih geli hati dengan tuduhan Zel itu.

"Memang la. Putra siap membebel lagi bila kena tuduh. Marah benar dia masa tu. Padahal sah-sah bukan kerja dia. Dahlah pam biasa je, bukan set Jepun yang ada bidet dan butang tekan-tekan tu," kata Salleh pula.

Malik diam seketika, bagaikan berfikir. Tiba-tiba sahaja dia bangun dari kerusi, lalu berjalan menuju ke lokar. Jaket berhud berwarna hitam miliknya dibawa keluar.

"Er... Nak ke mana?"

"Nak pergi sanalah. Nak check kalau-kalau pencuri tu ada tinggalkan tanda."

"Kau biar betul. Malam-malam buta ni nak pergi sana?" Salleh bertanya lagi.

"Dah tu? Bila lagi?"

Salleh terus peluk tubuh. "Kau lupa ke apa jadi masa kau tersesat masuk area aspuri KSA masa first sem dulu?"

Malik terus mencebik. Seboleh mungkin dia tidak mahu ingat hal itu.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now