Hari Ketiga (4)

133 9 4
                                    

Salleh termengah-mengah kepenatan. Begitu juga dengan majoriti ahli peserta jungle trekking dari KST itu. Padahal baru sahaja separuh daripada jarak denai itu direntasi.

"Dah... Nak... Sampai... Ke?" Salleh bertanya, nafasnya tersekat-sekat. Nampak sangat dia sudah keletihan.

Malik yang tidak kepenatan langsung itu hanya mengerling ke arah Salleh yang sudah lembik mengalahkan obor-obor dek keletihan itu. Soalan Salleh langsung tidak dijawab. Sudahlah mereka berdua berada di belakang kumpulan. Sengaja dipilih kedudukan itu supaya dia dapat mencuri pandang ke arah kumpulan empat orang yang bergerak lambat sedikit dari mereka.

"Pak cik... Boleh tak... Kita... Berhenti kejap?" Alif yang berada tidak jauh dari belakang penunjuk jalan itu berkata sambil mengambil nafas. Pak cik penunjuk jalan itu memandang ke arah Alif.

"Hai, baru jalan sikit dah penat? Kurang stamina ni," kata pak cik itu.

"Entahnya. Aku larat lagi kot. Patutnya kau lagi larat dari aku," kata Zel yang berada di antara Alif dan pak cik itu. Selain dia dan Malik, ada lagi beberapa orang yang seolah-olah tidak kepenatan langsung.

"Haih. Macam mana... Stamina kau... Boleh ada lagi..."

"Berjogging sekurang-kurangnya satu kilometer setiap petang," kata Zel selamba.

"Okeylah, kita rehat sekejap," kata pak cik itu kemudiannya, duduk di atas sebiji batu besar berhampiran denai itu. Masing-masing terus duduk di atas tanah, menghilangkan penat. Air yang dibawa diteguk rakus.

Beberapa ketika kemudian, bayang empat orang lelaki kelihatan. Masing-masing turut kelihatan mengah, kecuali si ketua yang berada di hadapan kumpulan. Dia sedang berkira-kira untuk turut berhenti di tempat yang sama dengan tempat mereka berehat itu. Akhirnya mereka berhenti untuk rehat seketika, tidak jauh dari tempat Malik dan Salleh berada.

"Kenapa dia pegang bahu kanan dari tadi?" gumam Malik perlahan. Sejak sebelum mula jungle trekking tadi dia perasan yang Syam asyik pegang bahu kanannya itu. Siap alih tali sandang beg sebelah kanan lagi untuk beberapa kali.

Dia segera bangun, menghampiri kumpulan itu. Matanya tidak lepas dari merenung bahu kanan Syam. Salleh yang perasan kelakuan Malik hanya memandang kosong. Nafasnya masih mengah.

"Boleh aku tanya sikit?" Malik membuka bicara sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Syam yang sedang minum air.

"Em... Boleh. Ada apa ya?" Syam senyum.

"Dari tadi kau asyik pegang saja bahu kanan kau tu. Kenapa?"

"Oh." Syam mengalih kedudukan tali beg di bahu kanannya itu. "Er... Ada kemalangan kecil semalam. Tu yang tak berapa selesa tu," katanya sambil tersengih.

"Boleh aku tahu, kemalangan yang macam mana tu?"

"Er..." Syam tergamam. Sengihnya mati. Dia sendiri pun tidak tahu mahu jawab apa.

Salleh menghampiri Malik. "Weh, jomlah. Diorang dah nak gerak. Karang kita kena tinggal pula."

Tangan Malik ditarik, namun badannya tidak berganjak langsung. Malik terus tepis tangan Salleh seketika kemudian. Sorot matanya yang tajam itu tidak lepas dari memandang Syam, sampaikan mereka yang lain naik seram.

"Aku nak dia jawab soalan aku dulu."

"Hei!" Salleh mendesis geram. Pada masa yang sama, Hana dan Zel menghampiri Salleh.

"Kenapa ni?" Hana tanya, hairan dengan perangai Malik itu. Mata Malik yang menoleh ke arahnya bila dia buka mulut direnung. "Eh?"

"Kenapa?" Zel berbisik. Bray dan Raz yang berada berhampiran mereka cuba pasang telinga.

"Malik syak yang budak tu..." Hana juga berbisik, jarinya menunding ke arah Syam yang masih membisu, "...si 'hantu katana' yang serang dia malam tadi."

"Budak tu?" Zel kehairanan, matanya melihat atas bawah susuk tubuh lelaki berjaket windbreaker kelabu gelap berdekatan mereka itu. "Nampak biasa-biasa je dia ni. Dia pasti ke?"

Bray kerut dahi. Walaupun kurang jelas, dia dapat dengar perkataan 'hantu katana'. Raz pula cuba kawal reaksi terkejutnya supaya tidak terlalu jelas. Boleh jadi, 'hantu katana' itu sebenarnya...

"Kenapa tak jawab?" Malik tanya, tidak berpuas hati dengan reaksi Syam yang senyap sejak tadi. Salleh yang cuba menarik Malik untuk sambung jungle trekking itu mula naik geram.

"Hei. Kau tengok. Kita dah kena tinggal!"

Malik, Hana dan Zel menoleh ke arah kawasan lapang tempat rakan-rakan mereka berehat tadi. Sudah tiada orang. Salleh mula menggelabah.

"Kaulah punya pasal ni," kata Zel geram.

"Apahal aku pula?" Malik membalas, tidak puas hati.

"Disebabkan kau, kita kena tinggal. Pak cik yang tunjuk jalan tu dahlah jalan laju bukan main!"

"Aku tak suruh pun kau tunggu aku!"

"Sudah!" Hana bersuara tegas. Zel dan Malik terus terdiam. "Tak habis-habis bergaduh."

"Tak apa," kata Raz, tiba-tiba mencelah. "Kamu berempat boleh ikut kami. Lagipun, denai ini, kalau ikutkan, jalan terus ke pantai. Tak pergi tempat lain pun."

Salleh dan Hana hela nafas lega.

Belukar berhampiran mereka tiba-tiba bergegar kuat. Masing-masing mengunci mulut. Entah kenapa tiba-tiba Safuan ambil sebiji batu yang saiznya muat-muat tapak tangannya di atas tanah.

"Eh, apa kau nak buat?" Syam bertanya, sedikit panik. Safuan diam, tangannya terus membaling batu di genggamannya ke arah belukar itu. Belukar yang bergoyang itu tiba-tiba berhenti bergerak sebaik sahaja terkena batu itu.

"Hah! Baru berhenti," kata Safuan, senyum bangga dengan 'kejayaan' menghentikan belukar yang bergoyang tadi. Namun, senyumannya mati sebaik sahaja melihat sesuatu yang besar dan berwarna coklat kehitaman serta bertaring besar keluar dari situ, kepalanya berlumuran darah.

"Rasanya... Ada orang dah bagi amaran kan, yang tempat ni... Ada banyak... Babi hutan?" Bray bertanya panik.

Babi hutan itu terus menerjah dengan penuh amarah ke arah mereka berlapan. Mereka terus berpecah, bertempiaran melarikan diri dari dirodok najis berat yang sudah naik amuk itu.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now