Hari Pertama (5)

125 8 0
                                    

"Rafi, macam mana?"

"Kena pergi bengkellah, En. Azri. Benda ni terbakar," kata Abang Rafi sambil menunjukkan kabel yang sudah rentung, yang bersambung ke palam pencucuh enjin bas itu.

En. Azri pandang sekeliling. Kawasan sekitar dipenuhi belukar. Tiada walau sebiji rumah kelihatan. Boleh pula mereka terkandas di tempat begini.

Alif turun dari bas, menghampiri En. Azri.

"En. Azri, bila nak siap ni?" Alif bertanya. Penumpang bas semuanya mengipas badan masing-masing dek kepanasan. Yalah, enjin bas mati. Pendingin hawa pun tidak dapat berfungsi.

"Suruh semua turun," arah En. Azri. "Bas ni ada masalah sikit, jadi kena minta tolong orang bawa ke bengkel."

Alif mengangguk. Dia masuk semula dalam bas, dan seketika kemudian, semua penumpang turun.

"Kena telefon KST ke, hantar bas ganti?" Salleh tanya Alif yang melihat skrin telefon bimbitnya, mencari nombor Unit Pengangkutan KST. Lama Alif diam. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

"Andi!" Alif berteriak. Andi yang meregangkan badannya yang sedikit lenguh di belakang bas sedikit terkejut. Alif berjalan menghampirinya.

"Kamu tahu macam mana nak repair enjin bas, kan?" Alif bertanya dengan mata bersinar-sinar, penuh harapan. Andi terpinga-pinga.

"Erk... Saya bukan mekaniklah. Sekolah dulu pun aliran sains tulen," kata Andi sambil tersengih janggal.

"Habis tu, bukan kamu ke yang repair enjin van kolej hari tu?"

Andi panik. Bila masa?

"Er... Alif, yang pasal van tu, dia tukar spark plug je. Itu, dalam subjek Kemahiran Hidup di sekolah dulu ada belajar, kan?" Salleh yang berada di belakang Alif berkata. Sempat dia buat isyarat kepada Andi supaya ikut 'main wayang' dengannya.

"Aaa... Ha-ah. Tukar spark plug je. Lebih dari tu, saya tak tahu," kata Andi, sedikit gelabah. Alif pandang Andi skeptik sebelum hela nafas. Dia kemudian berjalan ke hadapan bas.

"Nasib baik awak ada, Salleh," kata Andi perlahan. Salleh tepuk lembut bahu Andi.

"Hei, ini kawan baik kau, ye," kata Salleh sambil tepuk dada sendiri, bangga. Andi cuma sengih. Masuk bakul angkat sendiri.

"Oh ya, betul ke apa yang Alif cakap?"

Salleh angguk perlahan. "Kau tahu, kan, satu-satunya 'orang' yang handal bab-bab enjin ni."

"Putra?" Andi tanya lagi sekali. Salleh angguk lagi.

(...)

Van milik Wirda Kejora bergerak sepanjang jalan yang dipenuhi belukar itu. Memang jalan ke rumah anak yatim itu begitu. Biar damai dan tenang suasananya, bagus untuk kanak-kanak membesar, bak kata Tuan Azazil a.k.a Abah Aza.

Ainul yang baru keluar hospital cuma tunduk. Entah apa yang bermain di fikirannya. Naufal yang memandu van itu memandang Ainul melalui cermin pandang belakang. Nazmi yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu dan Hajar yang menemani Ainul hanya membisu. Yalah, nak cakap apa pula, kan?

Mungkin dia belum betul-betul sihat agaknya, fikir Hajar. Itu belum lagi hal Abah Aza yang bersifat kebapaan itu menemui Ainul secara peribadi sebelum itu. Apa yang dibincangkan? Banyak betul persoalan yang berlegar di mindanya.

Tiba-tiba van berhenti. Kelihatan seorang lelaki bercermin mata dan berkemeja T berkolar warna biru laut melambai-lambai di tepi jalan, sebuah bas tersidai berhampirannya. Lelaki itu berjalan menghampiri van itu.

"Encik, encik tahu bengkel dekat-dekat sini? Bas kami rosaklah," kata lelaki itu kepada Naufal.

"Ada satu bengkel dalam satu kilometer dari sini," kata Naufal dengan nada mesra. "Mahu saya hantarkan?"

"Boleh juga. Tunggu sekejap," kata lelaki itu sebelum melangkah ke arah kumpulan manusia berhampiran bas itu. Seketika kemudian, lelaki itu muncul kembali diikuti seorang lelaki yang mengapit fail di lengannya dan seorang perempuan berkardigan corak awan, membawa sling bag bersamanya.

"Kalau saya bawa mereka berdua sekali, tidak mengapa, kan?" Lelaki itu bertanya lagi. Naufal mengangguk. Lelaki bercermin mata dan lelaki dengan fail itu masuk ke kerusi belakang van, manakala perempuan itu duduk di sebelah Ainul. Van terus bergerak menuju ke bengkel terdekat.

(...)

Lori tunda baru sahaja bergerak dari bengkel itu. Hana termenung di kerusi berhampiran pejabat bengkel. Nasiblah jadi bendahari program lawatan tapak. Tak pasal-pasal kena angkut sekali ke bengkel itu. Van Wirda Kejora baru sahaja meninggalkan dia bersama En. Azri dan Alif di bengkel itu.

Dia tahu, ada sesuatu yang tidak kena pada pemandu van itu. Dia juga tahu, ada sesuatu yang membebani minda kanak-kanak yang duduk di sebelahnya tadi. Sempat dia melihat dalam-dalam mata kanak-kanak itu.

"Ainul. Kanak-kanak hilang di rumah anak-anak yatim. Exotika," bisik Hana perlahan. "Exotika?" Mata Hana bergerak-gerak ke atas, ke kiri, ke kanan. Mindanya bergerak laju. Kedua-dua pemandu van dan Ainul terfikirkan benda yang sama. Exotika.

Kenapa bunyinya sangat mencurigakan?

"Hana!" Alif menyergah dari belakangnya. Hana terlompat bangun dari kerusi. Alif senyum sinis melihat gelagat Hana itu.

"Jauh termenung. Ingat boyfriend ke?" Alif menyindir. Hana buat muka menyampah.

"Ha, kenapa?" Hana bertanya dengan nada jengkel.

"Tu. En. Azri panggil. Dari tadi kita panggil dia, dia buat pekak je," kata Alif selamba. Hana pandang Alif sekilas lalu berjalan ke arah En. Azri di dalam pejabat bengkel itu.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now