Malam Kedua (2)

138 9 0
                                    

Ainul menguap besar di koridor berhampiran surau. Hajar yang baru sahaja melangkah keluar dari pintu utama surau selepas menutup lampu dan kipas hanya menggeleng perlahan melihat keletah Ainul itu.

"Kenapa tunggu akak ni? Kan akak dah cakap, kalau mengantuk pergi balik bilik, tidur?"

"Yalah. Nak balik la ni," kata Ainul sambil muncungkan bibir, mula melangkah ke arah bangunan asrama tidak jauh dari kantin. Hajar hanya melihat Ainul berjalan menjauh sebelum menutup pintu surau.

Sebaik sahaja dia menoleh ke arah koridor yang dilalui Ainul tadi, matanya terus membulat. Seseorang berpakaian serba hitam menyerkup Ainul dengan guni, lalu dengan pantas mengendongnya masuk ke dalam sebuah van hitam. Van itu kemudian terus memecut keluar dari perkarangan Wirda Kejora.

Hajar terpaku, terkejut, kakinya terasa digam di atas lantai. Suaranya tiba-tiba hilang.

(...)

Restoran mamak 24 jam di Taman Dahlia itu lengang. Nazmi duduk termenung, secawan nescafe yang masih panas di atas meja dipandang tanpa selera. Seorang lelaki bertubuh kurus kering berjalan laju ke arahnya dan terus duduk di salah satu kerusi di meja Nazmi.

"Hei. Aku dapat mesej kau tadi. Kau okey?"

Nazmi mengangguk.

"Aku dah tak tahan lagi, Tam," katanya perlahan. Kepalanya ditopang sebelah tangan.

"Tapi, kau boleh cuci tangan ke?" Tam tanya dengan penuh khuatir. "Kau tahu kan, situasi kau ni tak ada beza dengan kau join kongsi gelap."

Nazmi mengangguk lemah.

"Lagipun, kalau kau keluar, macam mana dengan Naufal dan Nadya?"

Nazmi bungkam. Telefon bimbitnya yang diletakkan dalam silent mode bergetar. Dia menjawab panggilan telefon itu. Dahinya terus berkerut seribu.

"Eh, aku gerak dulu. Kau minumlah nescafe aku tu. Aku tak jamah lagi pun," kata Nazmi, terus bangun dari kerusi. Dua keping seringgit diletakkan di atas meja, dan dia terus berlari ke arah motosikal yang diparkir berhampiran. Dengan pantas dia memecut keluar dari situ.

"Kena buat 'aktiviti' lagi ke?" Tam garu dagunya. Nescafe panas di atas meja dihirup. Kasihan pula melihat keadaan Nazmi itu.

Dari kejauhan, sepasang mata sedang merenung tajam ke arah Tam. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Hulu pedang samurai yang tersisip di pinggang dipegang erat.

(...)

"Salleh..."

"Emm?" Salleh terpisat-pisat bangun. Kuat benar budak ni goncangkan badannya. Jam di telefon bimbitnya dilihat. Pukul 1.30 pagi.

"Kita lapar la. Jom cari makanan."

Ah, sudah.

"Ala, telefon sajalah delivery. KFC ke, McD ke," kata Salleh acuh tidak acuh.

"Ada delivery buka lagi ke sekarang?" Putra bertanya naif. Lama Salleh diam. Betul juga ya. Mana ada penghantaran makanan segera 24 jam dekat-dekat asrama ini.

"Ada 7Eleven dalam 500 meter dari sini. Kita pergi sana, beli roti, lepas tu balik sini semula. Okey?"

"Okey!"

(...)

Pintu kaca 7Eleven cawangan Taman Dahlia itu terkuak. Putra berlari masuk diikuti Salleh yang menguap besar. Roti di rak dilihat satu persatu.

"Yang mana sedap ye?" Putra bertanya Salleh.

"Mana-manalah. Kau yang nak makan, kan?" kata Salleh yang sedikit mamai sambil memandang ke skrin telefonnya, tidak memberi tumpuan langsung kepada Putra. Putra mencebik, tidak puas hati. Dua bungkus roti bun berinti sambal ikan bilis diambil dari rak lalu membayar di kaunter. Dia kemudian terus keluar secara senyap-senyap, meninggalkan Salleh yang masih leka dengan telefon bimbitnya.

(...)

Salleh yang baru sahaja menghantar mesej kepada Hana dan En. Azri untuk memaklumkan pergerakannya baru sahaja perasan kehilangan Putra. Dia terus berjalan ke kaunter.

"Encik, ada nampak kawan saya tak?"

"Er... Dia baru saja keluar, dik."

Alamak!

Salleh berlari keluar, melihat sekeliling. Putra langsung tidak kelihatan.

"Habislah!" Salleh garu kepala.

(...)

Salleh berdiri di hujung deretan kedai yang kebanyakannya sudah menutup perniagaan pada waktu begini. Sesekali dia termengah-mengah mengambil nafas. Hilang terus rasa mengantuknya.

"Mana pula budak ni pergi..." Salleh mengeluh kepenatan. Kepalanya digaru. Sudah dua kali dia berpusing mengelilingi kawasan lot kedai itu. Namun, Putra masih belum dijumpai. Dia ada juga cuba menghubungi Putra, namun semuanya masuk voicemail.

"Aduhai. Nak tak nak, kena cari juga dia ni. Karang ada je benda bukan-bukan budak Putra ni buat," bebel Salleh perlahan.

Sewaktu Salleh mula mencari buat kali ketiga, tiba-tiba sahaja ada tangan menarik Salleh untuk ke satu lorong gelap berdekatan kawasan lot kedai itu.

Salleh melihat tuan empunya tangan yang menariknya ke lorong gelap itu. Wajah lelaki yang kurus kering macam jerangkung itu kelihatan dalam ketakutan yang amat. Dek terperanjat, Salleh menepis tangan lelaki itu dan berundur beberapa tapak ke belakang.

Belum sempat kata-kata diluahkan, kepala lelaki itu tiba-tiba bercerai dari badan. Nyaris darah itu terpercik ke baju Salleh. Namun, kejutan tidak berhenti di situ.

Seorang lelaki berjubah hitam, berhud dan bertopeng muka, sedang mengacukan pedangnya ke arah Salleh. Pedang samurai. Pedang yang yang baru sahaja menamatkan riwayat lelaki kurus kering itu secara langsung di hadapan matanya.

"Sekarang, giliran kau pula!" Kata lelaki berhud itu.

Salleh telan air liur, otaknya gagal memproses apa yang terhidang di hadapannya itu.

Apakah kenerakaan ini!!!

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now