Hari Ketiga (11)

135 9 0
                                    

Naufal tercungap-cungap mengambil nafas di luar rumah batu usang itu, ikatan tangannya sudah terlerai. Hampir lemas dibuatnya terperangkap dalam bilik yang penuh asap itu. Mujurlah papan yang menutup tingkap bilik ini agak mudah dipecahkan.

"Tak guna punya budak. Siaplah kau," kata Naufal perlahan. Dia berdiri selepas mengahnya reda. Entah mengapa dia terdengar bunyi sesuatu mendengus-dengus di belakangnya.

Dia toleh belakang. Matanya membulat. Seekor babi hutan dengan kepala berdarah berada tidak jauh daripadanya, sedang merenung ke arahnya dengan pandangan membunuh.

"Jangan dekat!"

Babi hutan itu terus menerjah dengan pantas ke arah Naufal. Tidak sempat berfikir apa-apa, Naufal membuka langkah seribu.

(...)

"Jangan dekat kalau tak nak menyesal!" Salleh menjerit ke arah lelaki bersenjatakan pisau belati di hadapannya itu. Pedang yang masih tersarung diacah-acah ke muka lelaki itu. Lelaki itu ketawa dengan gelagat Salleh itu.

"Mana ada orang guna pedang tak tanggal sarung?" Lelaki itu sambung ketawa.

"Ada! Aku!"

Serentak dengan itu, pedang itu dirodok kasar ke celah kelangkang lelaki itu. Jatuh terduduk lelaki itu dibuatnya. Pedang itu kemudian diayun ke kepala lelaki itu dengan kuat. Lelaki itu terus tergolek di atas tanah.

"Ada ke orang guna pedang macam ni?" Syam yang berada di belakang Salleh naik hairan dan kagum pada masa yang sama.

"Dah saya tak reti guna pedang ni. Nak buat macam mana lagi?" kata Salleh sambil tersengih. "Jom!"

Syam mengangguk. Tiba-tiba sahaja, badan seseorang tercampak ke arah mereka dan terseret di atas tanah. Sempat mereka berundur ke tepi, mengelak dari terkena impak balingan itu.

"Malik, kau okey?" Salleh menghampiri Malik yang terlentang di atas tanah.

"Aku okey. Cepat!"

Dengan segera Malik bangun, bersedia untuk melawan balik. Lelaki itu terus melompat ke arah Malik, menghayun kerambitnya. Malik berundur, mengelak ayunan itu dari mencederakannya.

Boleh tahan juga mamat yang pakai kerambit ini, fikirnya. Lelaki yang diserang Salleh tadi pula sudah berdiri semula, mula menyerang Malik dari belakang. Lupa terus dia dengan Salleh dan Syam di belakangnya. Setiap ayunan kerambit dan pisau belati itu dapat dielak dan ditepis Malik, namun sudah nampak tanda-tanda yang dia mula keletihan dek serangan bertubi-tubi itu.

Salleh pandang sekeliling. Matanya menangkap seseorang di balik semak, mengacukan pistol tepat ke arah Syam.

"Syam, ke tepi!" Salleh menjerit.

Serentak dengan itu, Salleh menolak Syam jatuh terbaring dalam semak. Pedang di tangan Salleh itu turut terlepas dari pegangan dan jatuh betul-betul di sebelah kanan Syam.

BANG!

"Arkh!"

Malik terus pandang ke belakang. Kelihatan Salleh terduduk di celah semak, sangat hampir dengan Syam, sedang memegang bahagian atas lengan kirinya. Wajahnya berkerut menahan perit.

"Salleh!" Malik dan Syam sama-sama menjerit. Dari celahan semak berhampiran mereka berdua, muncul seorang lelaki bersenjatakan pistol yang masih berasap. Kedengaran tawa sinis keluar dari mulutnya.

"Kalau kau terus melawan, kawan-kawan kau akan mati!"

Malik ketap gigi dan genggam penumbuknya erat.

(...)

Syam pandang Salleh yang memegang lengan kirinya sambil mengerang kesakitan. Badannya menggeletar kuat. Matanya menangkap susuk tubuh seorang lelaki bersenjatakan pistol, mengacukan muncung senjatanya ke belakang Salleh.

Hei. Apa yang kau tunggu lagi?

Mata Syam membulat. Suara itu lagi. Air liur ditelan, tiba-tiba terasa payau. Rasa takutnya semakin menggila.

"Aku... Tak nak," bisiknya perlahan dengan nafas tersekat-sekat, bagaikan membalas kata-kata milik suara yang datang tanpa diduga itu.

Kalau kau tak nak, biar aku saja yang buat. Lagipun...

Tanpa sedar, tangan kanan Syam bergerak ke hulu pedang yang berada di atas tanah, betul-betul di sebelahnya.

...ada perkara yang aku nak selesaikan dengan dua orang ini!

(...)

Salleh menjerit lagi, namun kali ini disebabkan sesuatu melayang dan jatuh bergolek, betul-betul di hadapannya.

Kepala yang baru sahaja dipenggal.

Kelihatan kelibat seseorang menerjah ke arah kumpulan yang menyerang mereka. Pedang di tangan terhunus. Sekejap sahaja kedua-dua lelaki itu kehilangan kepala masing-masing.

Manusia yang selesai memancung lelaki-lelaki itu kemudian mengacukan pedang di tangan kanannya ke arah Malik yang tampak sudah mengagak semua itu akan berlaku.

"Aku belum selesai lagi dengan kau," katanya. Pandangan matanya dingin dan menyeramkan, nada suaranya berubah secara total. Hud jaket windbreaker yang dipakainya sudah diangkat menutupi kepalanya. Pedang itu kemudian bergerak ke arah Salleh yang sudah ternganga, tidak percaya dengan apa yang dia lihat.

"Kau juga. Berani kau sembur cecair busuk tu pada mata aku!"

Okey, boleh tak aku panik sekarang? Fikir Salleh.

(...)

Nazmi berjalan menghampiri rumah usang itu, membawa kotak berisi bungkusan roti dan botol-botol air minuman. Lama dia berfikir. Salahkah dia lepaskan Ainul?

Dia mahu semua ini dihentikan. Namun, jika Exotika ini hilang, hidupnya akan hancur. Sejak hari pertama dia terjebak, hatinya berbelah bahagi. Dia terpaksa pilih, sama ada nyawa kanak-kanak dalam kurungan itu, atau nyawanya sendiri.

Tentulah dia pilih nyawanya sendiri. Naluri survival memaksa dia pentingkan diri. Semuanya demi adiknya yang masih koma di hospital.

Lamunannya terhenti apabila melihat asap keluar dari salah satu tingkap di rumah batu usang itu. Segera dia berlari masuk ke dalam. Bilik yang berasap itu cuba dibuka. Gagal. Seluruh pintu besi itu terasa panas. Kelibat Naufal dan dua orang lain yang sepatutnya menjaga kawasan sekitar hilang entah ke mana.

Dengan kotak di tangan, dia berlari terus ke ruang bawah tanah. Matanya membulat melihat selaras senapang diacu tepat ke arahnya!

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now