Malam Kedua (3)

146 9 4
                                    

"Hehe. Mesti Salleh risau sekarang. Padan muka dia," kata Putra perlahan sambil ketawa mengekek. Dia duduk di atas tong sampah besar di lorong belakang deretan kedai tidak jauh dari 7Eleven. Salah satu dari dua biji roti yang dibelinya dihabiskan. Sebiji lagi disimpan di dalam jaket varsiti yang dipakainya. Boleh tahan sejuk juga tempat ni pada waktu begini.

Lama dia duduk di atas tong itu. Risau pula kalau-kalau Salleh tersesat. Kakinya menjejak jalan tar apabila dia ternampak kelibat seseorang yang berlari bagaikan dikejar hantu dari hujung lorong itu.

"Eh, Salleh?" Putra kehairanan. Namun, rasa hairan itu bertukar menjadi rasa cemas apabila ternampak satu lembaga berjubah hitam lengkap berhud mengejar Salleh dari belakang. Di tangan lembaga itu ada sesuatu yang panjang, tajam berkilat dan berlumuran darah. Sebilah pedang samurai.

"Wah! Hantu katana!" Putra tekup mulutnya, panik.

Hei, ke tepilah kau!

Serentak dengan itu, Putra merasakan badannya ditolak keras ke belakang. Tubuhnya berlaga dengan tong sampah besar di belakangnya. Seketika kemudian, sorot matanya berubah tajam.

(...)

Salleh tersandung batu lalu jatuh bergolek. Lelaki berhud itu memperlahankan lariannya, pedang yang terhunus diacu ke arah Salleh yang jelas sedang panik.

"Kau nak lari ke mana?" Lelaki berhud itu tertawa sinis.

"Uh... Saudara, saya tidak ada kaitan dengan orang tadi tu. Saudara dah salah faham ni!" Salleh berkata dengan nada suara yang tinggi, badannya menggeletar dengan dahsyat.

Lelaki berhud itu tidak berkata apa-apa, pedang di tangannya diangkat tinggi. Tiba-tiba, satu sepakan padu mengenai rusuknya. Dia jatuh mengiring, pedang masih erat dipegang.

Si penyerang lelaki berhud itu kemudian berlari menghampiri Salleh, membantunya berdiri. Salleh mengerang kesakitan. Lutut dan sikunya terasa pedih.

"Putra, perlahanlah sikit. Sakit," kata Salleh sambil mengerut kening, menahan sakit. Lelaki itu jeling wajah Salleh seketika. Ada riak menyampah dikesan pada wajahnya.

"Kau ni, dahlah manja. Siap salah panggil nama aku lagi," katanya perlahan. Salleh membulatkan matanya. Nada suaranya bukan lagi kebudak-budakan. Bunyinya sinis, rendah dan mendatar. Lepas tu ber'kau-aku' pula.

Ini bukan Putra!

"Kau ni... Malik?" Salleh terkedu. Dia didudukkan di sebelah tong sampah besar. Salleh keliru dengan perasaannya, sama ada dia patut rasa lega, atau rasa panik. Panik kuasa dua.

"Apa yang kau nak buat pada dia?" Malik membetulkan sarung tangan kevlar di kedua belah tangannya. Mujurlah sarung tangan itu disimpan siap-siap dalam jaket yang dikenakannya.

Lelaki berhud itu melemparkan pandangan sinis.

"Kau..." Tangannya menunding ke arah Malik. "Kawan dia, ya?" Tangan itu beralih ke arah Salleh yang menikus di tepi tong sampah besar berhampiran.

"Jadi?"

"Kau juga..." Pedang dihunus dalam posisi bersedia. "...Mesti mati!"

Malik mendengus, tidak percaya dengan logik fikiran lelaki berhud itu. Apa kau ingat ini zaman feudal Jepun, suka-suka hati mahu bunuh orang? Kau bukan samurai, duh!

"Kau seriously nak serang aku yang tak ada senjata ni? Serang pakai pedang pula tu. Tak adil," kata Malik sinis. Kuda-kuda dibuka, bersedia menghadapi apa saja kemungkinan.

Tanpa berkata apa-apa, lelaki berhud itu menerjah ke arah Malik, menghayunkan pedangnya tinggi ke udara lalu melibas pedangnya ke arah Malik. Malik bergerak pantas ke kanan, mengelak tetakan itu secara total. Kedua tangannya yang dikepal itu terus dihentakkan ke pelipat siku dan pergelangan tangan kanan lelaki berhud itu dengan keras.

Dek terperanjat dengan tindakan Malik itu, pegangannya pada pedang samurai itu terus longgar. Peluang di depan mata. Terus dipegang erat tangan yang memegang pedang itu dan memulasnya ke belakang. Mata pedang itu terus dihalakan ke bahu kanan lelaki berhud itu tadi.

Pedang direntap. Pegangan lelaki berhud pada pedangnya terus terlepas. Mata pedangnya mengoyakkan bahagian bahu kanan jubahnya, impak rentapan Malik itu.

Malik membelek-belek pedang samurai yang kini berpindah tangan. Sesekali matanya memandang lelaki berhud yang sedang memegang bahu kanannya, masih terkejut.

"Suka tak senjata makan tuan sendiri?" Malik menyindir sambil senyum sinis. Lelaki berhud itu mendengus sambil memeriksa bahunya. Ada sedikit darah yang keluar dari calar yang panjang di bahu kanannya itu.

Dengan selamba, Malik mencampak pedang di tangannya ke tong sampah besar bersebelahan tempat Salleh duduk. Dia kemudian berpaling ke arah lelaki berhud itu.

"Sekarang barulah adil. Now, bring it on," kata Malik sambil membuat gaya ala Jet Li memanggil lawannya.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now