Dua Minggu Kemudian (1)

143 8 2
                                    

Cuaca di luar indah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kawasan legar KST riuh dengan kemampatan pelajar dan staf. Masakan tidak, hari ini berlangsungnya Expo Pustaka KST. Ada reruai jualan buku terus dari penerbit-penerbit buku dan barangan komputer di Dewan Besar. Ada juga beberapa reruai khusus untuk kelab-kelab siswa di KST mempromosi kursus mereka dan membuat jualan.

Jam menunjukkan pukul 12. Andi yang duduk di reruai QSbina - Kelab Pelajar Ukur Bahan - meletakkan kepalanya di atas meja. Kepalanya pening. Salleh yang baru sahaja sampai di reruai dari biliknya di KBJ itu hanya menggeleng perlahan. Beria-ia si Andi ini tawarkan diri mahu jaga reruai kelab, alih-alih dia pula demam pada hari program berlangsung.

"Andi, pergilah rehat. Biar aku take over," kata Salleh, menepuk bahu Andi. Andi angkat kepalanya sambil melemparkan senyuman ke arah Salleh.

"Tak apa. Nanti Alif pelik pula saya tak ada..."

"Aish. Kau tak sihat, ya. Ambil panadol ni. Kalau tak larat balik bilik, kau pergi tidur kejap di studio," betah Salleh sambil menghulurkan blister mengandungi dua biji tablet panadol. "Kalau orang lain tengok kau nanti, mesti diorang ingat kursus kita ni teruk sangat sampai boleh demam."

Andi ketawa. "Yalah, yalah. Saya pergi studiolah ya," katanya perlahan. Panadol di tangan Salleh diambil. Dia terus bangun, keluar dari Dewan Besar, terus berjalan ke Studio QS di Studio Alam Bina.

(...)

Alif berjalan menelusuri koridor, sebelah tangannya mengangkut megafon yang baru sahaja diambil di stor. Sesekali dibelek-belek megafon itu. Elok lagikah?

Dia masuk ke Studio QS. Dahinya berkerut. Andi sedang lena di atas salah satu meja, kepalanya berbantalkan lengan. Sebotol air mineral yang diminum separuh berada berhampirannya.

"Budak ni. Aku suruh jaga booth, dia bantai membongkang di sini?" Alif membebel geram. Tiba-tiba muncul idea di dalam mindanya. Dia terus tersengih jahat.

Dengan senyap dan penuh berhati-hati, dia berjalan menghampiri Andi. Dia melutut, megafon yang dibawa diangkat betul-betul di sebelah telinga Andi.

"WOI! BANGUN! STUDIO TERBAKAR!"

Dia terus tersentak, tiba-tiba bangun dari kerusi. Matanya memandang ke sekeliling studio dan berhenti apabila ternampak Alif berdiri, sedang ketawa mengekek sambil memegang megafon. Sorot matanya bertukar tajam. Wajahnya berubah bengis.

Sebiji penumbuk terus melayang tepat ke wajah Alif. Alif terus terlentang di atas lantai studio, pengsan.

(...)

Nazmi dibawa masuk ke sebuah bilik oleh seorang pegawai penjara. Kepalanya tunduk memandang lantai. Ada seorang lelaki berkot kemas, kelihatan dalam usia 40-an, sedang duduk di kerusi. Briefcase hitam milik lelaki itu diletakkan di atas meja, betul-betul di hadapan lelaki itu.

"Encik Nazmi, saya Shariff, peguam yang mewakili Tuan Azazil," katanya memperkenalkan diri.

Nazmi tenung sahaja peguam itu dengan pandangan dingin. "Encik, saya rasa kita tidak ada apa-apa untuk dikatakan," katanya dingin. Peguam itu tersenyum.

"Encik Nazmi dengar dulu. Saya ada tawaran untuk encik."

Nazmi mendengar, wajahnya berubah merah sebelum bertukar pucat.

"Jadi, bagaimana?"

Nazmi membisu.

"Nanti encik beritahulah jawapan dalam tempoh seminggu, ya. Saya akan jumpa encik lagi nanti," katanya, masih kekal tersenyum, sebelum bangun dari kerusi dan meninggalkan bilik itu.

Nazmi berdiri kaku, penumbuknya digengam erat, air matanya tiba-tiba mengalir.

(...)

"Terima kasih, Hana, Zel. Aku gerak dulu, nak tengokkan Andi di studio kejap," kata Salleh sebelum melangkah keluar dari Dewan Besar. Jam menunjukkan pukul 2. Zel melambai tangannya, manakala Hana memeriksa barang-barang di reruai QSbina itu.

Dalam perjalanannya, dia ternampak Andi berlegar-legar di luar bangunan Studio Alam Bina, menjinjit beg plastik berisi pakaian. Salleh terus berlari menghampirinya.

"Andi? Kau dah okey? Bila masa kau bawa benda tu?" Salleh menegur sambil menunding ke arah beg plastik di tangan Andi itu. Andi renung Salleh dengan pandangan tajam. Bibirnya tiba-tiba mengukir senyum sinis.

"Aku nak kau buat apa yang kau dah janji sebelum ni," katanya dengan nada rendah dan mendatar. Wajah Salleh berubah pucat.

"Malik... Macam mana... Kau... Keluar?"

(...)

"Hana, saya nak pergi tandaslah," kata Zel. Kedua tapak tangannya digosok laju. Yalah, dewan ini dahlah sejuk bukan main.

"Hm. Pergilah. Kalau ditahan, nanti jadi batu karang pula," kata Hana. Zel terus berjalan ke arah pintu keluar kedua, yang menghala ke tandas, betul-betul berhadapan dewan.

Selepas selesai urusannya, dia berjalan sebentar, melihat-lihat barang jualan dan aktiviti di reruai-reruai itu. Langkahnya terhenti di hadapan satu reruai jualan buku berhadapan reruai kelab ARCO - Kelab Pelajar Senibina. Mulutnya separa ternganga. Dengan segera dia berlari kembali ke reruai QSbina, yang terletak di hujung dewan yang satu lagi.

"Hana! Hana!" Zel termengah-mengah.

"Apa?" Hana tenung mata Zel. "Eh, seriuslah!"

Zel mengangguk laju sambil bawa keluar telefon bimbitnya. Dia cuba menghubungi Salleh, tiga kali berturut-turut. Tidak diangkat.

"Hish. Kenapalah mamat ni tak angkat pula?" Zel membebel perlahan.

"Dia pergi solat di surau studio kot. Tak apalah. Kita biar Salleh tahu sendiri," kata Hana, senyum meleret.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now