Malam Kedua (1)

141 10 4
                                    

Ainul membelek-belek pemacu pena nipis berwarna kelabu gelap yang saiznya hanya lebih kurang seruas ibu jarinya itu. Punggungnya dilabuhkan di atas katilnya. Nafasnya dihela lemah sambil merenung ke luar tingkap. Langit yang sedia gelap itu kelihatan mendung.

Pemacu pena itulah yang menemukan dia dengan Exotika secara tidak sengaja. Pemacu pena yang dia jumpa di dalam longkang berhampiran pejabat pengurusan sewaktu gotong-royong asrama, seminggu selepas kehilangan kawan-kawannya. Namun, sehingga kini, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya dengan pemacu pena ini. Hendak beritahu pihak pengurusan, takut dipandang sepi seperti aduannya tentang kehilangan kawan-kawannya dahulu. Mahu beritahu pihak berkuasa, siapa mahu percaya? Tuan Azazil seorang yang kuat pengaruhnya.

"Ainul, termenung apa lagi tu?"

Ainul angkat kepala. Hajar berdiri di hadapannya, senaskah Al-Quran berada dalam pelukannya.

"Akak, akak percayakan Ainul, kan?"

"Yalah. Kenapa?" Hajar mula rasa sedikit risau. Kenapa macam sedih saja nada suara Ainul ini?

"Akak boleh janji Ainul satu benda?"

"Boleh. Apa dia?"

Lama Ainul membisu. Pemacu pena di tangannya dibelek-belek. Dia melihat sekeliling bilik asramanya. Ramai lagi yang belum pulang dari dewan makan. Selepas yakin tiada sesiapa yang sedang memerhatikan mereka berdua, dia menghulurkan pemacu pena itu kepada Hajar.

"Em... Kalau ada apa-apa jadi kat Ainul, akak buatlah apa-apa yang patut dengan pendrive ni. Ainul percayakan Kak Hajar," kata Ainul, suaranya perlahan, hampir berbisik.

Hajar mengangguk walaupun jauh di sudut hati, dia merasa pelik dengan permintaan Ainul itu. Pemacu pena itu bertukar tangan. Dibelek-belek pemacu pena itu seketika sebelum dimasukkan ke dalam saku.

"Jomlah. Kita ganti kelas hafazan yang terlepas hari tu," kata Hajar sambil senyum tawar. Ainul mengangguk, tangannya mencapai tudung yang disidai di hujung katil.

(...)

Salleh mengezip beg sandang yang dibawanya. Barang-barang untuk jungle trekking esok sudah siap dikemas. Dua botol air mineral 500ml, sepasang pakaian gantian, kain pelikat untuk solat, tuala, lampu suluh dengan bateri gantian, power bank 10,000mAh yang dicas penuh, sebilah pisau lipat 50sen dan beberapa bungkus coklat Cloud9.

Bunyinya macam melampau pula nak bawa semua itu cuma untuk jungle trekking. Namun, hutan bukan tempat yang boleh dibuat main. Manalah tahu kalau sesat, kan?

"Bosannya..." Putra di katil sebelah membebel perlahan. Salleh hanya memandang manusia yang elok berkuak lentang di atas katil itu tanpa perasaan.

"Dah siap kemas beg untuk esok?" Salleh bertanya. Putra tunding ke arah beg sandangnya di sebelah katil.

"Dah tu, pergilah tidur."

"Tak nak. Tak mengantuk langsung."

Salleh baring di atas katilnya. Ini lecehnya kalau Putra ambil alih. Dia tak nak tidur! Lepas tu, sepanjang malam mengacau orang lain tidur pula, ataupun pergi buat eksperimen jenayah yang hasilnya mampu menyusahkan orang ramai. Lama dia fikir, apa nak dibuat dengan si Putra ni supaya dia tak ganggu tidurnya nanti. Matanya sempat mengerling ke arah novel 'Dark Hunter' yang dibelinya siang tadi. Idea terus muncul dalam otaknya.

"Baca ni, nak?" Salleh berkata sambil menghulurkan novel itu kepada Putra. Putra ambil novel itu lalu dibelek-belek sebentar.

"Oh ya, jangan alihkan penanda buku tu!"

"Iye..." Putra membalas dengan nada jengkel. Salleh terus melelapkan mata. Begitu juga dengan empat orang sekelasnya yang berkongsi dorm itu. Lampu bilik dipadam.

Putra pandang sekeliling. Suasana gelap. Keningnya diangkat seketika. Dia bawa keluar lampu membaca mini dari beg sandangnya, diselit kakinya di bahagian belakang novel, lalu mula membaca novel itu.

(...)

Raz tutup televisyen di ruang tamu. Sesekali dia menggeliatkan badannya yang lenguh. Jam di dinding direnung. Sudah hampir tengah malam.

Tiba-tiba terdengar bunyi seseorang menuruni tangga. Syam muncul, langkahnya laju terus ke pintu utama rumah. Tombol dipulas dan pintu dibuka.

"Syam, berhenti!"

Dia berdiri kaku di pintu, tidak berganjak. Raz terus berjalan menghampiri adiknya itu.

"Kenapa dengan kau ni? Tiba-tiba keluar rumah malam-malam buta ni. Bila abang suruh kau keluar siang tadi, banyak pula songeh. Kata pagi nanti nak pergi jungle trekking..."

Raz terdiam apabila Syam merenung Raz dengan pandangan yang dingin lagi menyeramkan. Tiada walau sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Syam terus keluar, menutup pintu, meninggalkan abangnya yang keras membatu berhampiran pintu.

Wajah Raz berubah pucat. Pandangan itu... Berbeza. Jauh berbeza dari pandangan adiknya yang dia kenali. Maknanya, itu... Bukan adiknya.

"Takkanlah..." bisik Raz perlahan.

Terus dia berlari ke biliknya lalu menukar pakaian dan mengambil kunci kereta yang tergantung di belakang pintu. Dia kemudian mengetuk pintu bilik Ash.

"Hei. Kenapa ni? Aku nak tidur la..." Ash yang kedengaran mamai melaung di sebalik pintu.

"Abang nak keluar kejap. Jaga rumah."

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now