Hari Ketiga (15)

127 9 5
                                    

Seorang ahli pasukan penyelamat bercekak pinggang di hadapan sebatang pokok ara. Dia kemudian menoleh ke arah lelaki yang terbaring di atas tanah, tidak sedarkan diri, baru sahaja dilepaskan dari ikatan akar kayu oleh ahli sepasukannya, badannya penuh kesan gigitan kerengga.

"Siapa punya kerja ni?" Dia menggumam perlahan, hairan. Yang pasti, dia bukan salah seorang dari mereka yang dilaporkan sesat di dalam hutan tersebut.

Walkie-talkie di pinggangnya berbunyi. Maklumat yang diterima dari pasukan mencari yang satu lagi mengejutkannya.

(...)

"Tengok tu!" Safuan angkat tangan, menunding ke arah sebuah lori dengan lencana Polis, yang baru sahaja masuk ke dataran hutan lipur itu. Mereka yang menaiki lori tersebut turun dan terus bersiap sedia. "Tak pernah tengok pun pasukan mencari macam tu!"

Raz pandang ke arah yang ditunjukkan Safuan dan terkejut apabila melihat sepasukan polis berpakaian seperti penyerang hendap lengkap bersenjata - pasukan STAFOC PDRM - bergerak memasuki hutan. En. Azri yang baru sahaja keluar dari pejabat renjer hutan juga kehairanan.

"Safuan, kamu tunggu sini," kata Raz, dengan segera dia bangun dari duduknya. Dia pandang En. Azri yang mengangguk ke arahnya sebelum berjalan melepasinya. Mereka berdua pergi ke arah pegawai Bomba yang mengetuai misi mencari yang bermula sejak hampir empat jam lepas.

"Encik, boleh saya tanya sesuatu?" En. Azri bertanya. Pegawai itu yang baru sahaja selesai bercakap dengan ASP Iskandar menoleh ke arahnya.

"Boleh. Ada apa?"

"Kenapa pasukan STAFOC turut serta dalam misi mencari ini? Rasanya pasukan STAFOC hanya untuk jenayah terancang saja. Tak ada kaitan pun dengan orang sesat di dalam hutan," tanya En. Azri.

Pegawai Bomba itu diam seketika, menyusun ayatnya supaya mudah difahami.

"Kami dapat maklumat dari pasukan mencari 10 minit lepas, mereka terjumpa sekumpulan mayat dengan kepala dipenggal."

Wajah En. Azri, dan Raz yang hanya mendengar sahaja sejak tadi, terus bertukar pucat apabila mendengar maklumat terbaru itu. En. Azri terus teringat cerita Salleh tentang 'hantu katana' pagi tadi. Tolonglah jangan kata yang...

"Yang... Yang kena penggal tu..." En. Azri tergagap-gagap. Risaunya membuak. Pegawai bomba itu letakkan tangannya di atas bahu pensyarah muda itu.

"Encik jangan risau, bukan mereka mangsanya. Mangsa yang ditemui mati itu adalah mereka yang dikehendaki polis atas kes-kes jenayah terancang dalam negeri."

En. Azri angguk sekali sambil hela nafas lega. Ada harapan lagi.

"Tapi, maknanya adik saya dalam bahayalah, kan?" Tiba-tiba Raz bertanya. Pegawai itu membisu.

"Saya nak ikut sama! Saya nak cari adik saya!" Dia cuba berlari masuk ke hutan namun ditahan pegawai bertugas.

"Jangan! Bahaya, encik," kata pegawai itu. "Biar kami uruskan. Encik hanya perlu bersabar dan doakan yang terbaik..."

Raz terus jatuh melutut di atas tanah, air matanya jatuh ke pipi.

(...)

Tuan Azazil masuk ke pejabatnya, mukanya masih kelihatan tenang walaupun tidak mendapat maklumat terkini dari Naufal. Entah mengapa tiba-tiba sahaja hatinya rasa kurang enak. Bagaikan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.

"Salina," panggil Tuan Azazil.

"Ya, Tuan Azazil. Ada apa?"

"Tolong booking tiket kapal terbang ke China, secepatnya, ya. Kalau boleh, awal pagi esok."

"Baiklah, Tuan," kata pembantunya, tunduk sedikit tanda hormat sebelum keluar dari pejabat.

Tuan Azazil merapatkan kedua telapak tangannya di atas meja. Lama dia berfikir. Apa yang buat dia rasa tidak senang duduk ini? Nak uruskan seorang kanak-kanak pun susah sangatkah?

Pintu diketuk, dan warden asrama menjenguk kepalanya dari celahan pintu yang terbuka. "Tuan, maaf mengganggu, tapi saya dapat panggilan dari hospital, berkenaan Ainul."

"Oh? Tak apa. Tapi, kenapa dengan adik Ainul sampai masuk hospital lagi? Rasanya baru kelmarin dia keluar hospital," Tuan Azazil bertanya, badannya ditegakkan dan kedua tangannya dialih ke bawah meja, cuba seboleh mungkin mengekalkan ketenangan wajahnya. Walhal jiwanya galau di saat nama Ainul disebut.

"Entahlah. Tapi doktor bertugas minta tuan ikut saya sekali ke hospital sebentar lagi. Katanya pihak polis nak jumpa tuan. Tuan tiada apa-apa rancangan untuk hari ini, kan?" Warden itu bertanya lagi.

Tuan Azazil kekal senyum sambil geleng perlahan, menjawab soalan warden itu tanpa kata. Kedua tangannya digenggam erat di atas ribanya.

(...)

Malik yang baru sahaja turun ke ruang bawah tanah itu hanya mampu melihat sahaja Erzen merempuh seorang lelaki yang terjenguk-jenguk di pintu yang terletak di hujung koridor.

"Dia nak... Buat kerja gila lagi, eh?"

Dia toleh sekeliling. Sebuah kerusi berkaki roda yang hilang penyandar belakang dan sisi berada tidak jauh darinya. Dengan segera kerusi itu diambil lalu diperiksa rodanya. Masih elok.

"Malik, kau nak buat apa?" kata Salleh yang muncul dari belakang.

"Buat apa yang budak Archi buat bila stress buat assignment tengah malam buta," kata Malik, kerusi itu ditegakkan di atas lantai.

(...)

"JANGAN!"

"Jurus kerusi terbang!" Satu suara bergema dari koridor. Erzen toleh ke belakang, terkejut.

Seseorang yang buat gaya ala Superman terbang meluncur laju di atas kerusi, masuk ke bilik itu dan terus merempuh Erzen yang tidak sempat mengelak. Mereka tergolek ke tepi. Pedangnya terlepas dari tangan dek kejutan tanpa diduga itu. Nazmi kelam-kabut bangun dan melarikan diri ke belakang Hana, Zel dan Bray yang kaku di situ, tidak dapat memahami apa yang sedang terjadi.

"Hana, Zel, kamu berdua ada di sini rupanya!"

Hana dan Zel menoleh ke arah pintu. Kepala Salleh terjenguk, tersenyum girang melihat mereka berdua.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now