Hari Ketiga (1)

129 8 3
                                    

Jam penggera yang diset di telefon bimbit Salleh berbunyi. Salleh menggeliat di atas katil, matanya kuyu.

"Teruk betul mimpi aku malam tadi. Ada orang kena pancung, ada 'hantu katana', dengan si Malik keluar..." Salleh membebel perlahan.

"Kau tak mimpilah."

Salleh terus terbangun dari katil sebaik sahaja mendengar nada suara yang rendah dan mendatar itu. Suasana dalam dorm samar-samar. Namun, katil di sebelahnya bercahaya. Malik duduk di atas katil, sebelah tangannya menyelak novel 'Dark Hunter' yang diselit lampu membaca, manakala sebelah tangannya lagi mengskroll apa yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Dia langsung tidak hiraukan reaksi terkejut Salleh itu.

"Kau tak tidur ke?" Salleh tanya, matanya digosok kasar.

"Tak."

"Apa yang kau buat sepanjang malam? Kasarnya kau selak novel aku! Aku belum habis baca lagilah," kata Salleh, menahan geram. Koyak juga novel itu dikerjakan Malik ni nanti.

"Cerita dalam novel yang kau beli ni... Sepadan," kata Malik. Novel itu ditutup, dibiarkan saja di atas katil.

"Sepadan? Apa yang sepadan?"

"Sepadan dengan kes bunuh dalam berita yang Hana tunjuk malam tadi. Hm... Kes-kes yang berlaku dalam sekitar enam ke sembilan bulan lepas."

"Mungkin penulis ni dapat inspirasi dari kes-kes bunuh tu. Kita mana tahu. Nak tulis novel bukan kerja mudah, tahu?"

Malik hanya diam. Salleh ambil tuala yang disidai di kaki katil lalu melangkah ke bilik air. Nampak gayanya cuma mereka berdua sahaja yang sudah sedar. Yang lain, elok membongkang. Siap berlawan dengkuran lagi.

(...)

Raz yang baru masuk ke dapur ternampak Syam yang menuang air suam ke dalam mug kegemarannya. Jam di dinding dilihat. Pukul 6.40 pagi.

"Awal bangun," tegur Raz.

"La, kan hari ni nak pergi jungle trekking. Kenalah bangun awal." Syam sengih. Air di mug terus diteguk.

"Kau tidur pukul berapa malam tadi?"

"Em? Dalam pukul 10, lebih kurang. Tak tengok jam pun."

Pukul 10 malam, ya? Raz diam, berfikir. Jadi, yang keluar rumah tengah malam tadi tu...

"Okeylah, nak pergi mandi," kata Syam, meletakkan mugnya di sinki lalu keluar dari dapur. Raz sekadar mengangguk. Matanya tidak lepas dari memerhatikan Syam yang mendaki tangga untuk ke biliknya.

(...)

Salleh toleh sekeliling koridor. Tiada orang. Salleh tarik nafas dalam-dalam sebelum memandang ke arah Malik yang sedang berpeluk tubuh berhampirannya.

"Er... Boleh tak aku minta tolong kau satu benda?" Salleh bertanya dengan nada perlahan, seakan berbisik.

"Apa?"

"Er... Disebabkan kebanyakan orang di sini tak tahu tentang keadaan kau, boleh tak kau... Er... Kau berlakon sikit?" kata Salleh sambil garu kepala yang tidak gatal.

"Berlakon? Pura-pura jadi 'si lembik penakut' tu?" Malik tertawa sinis. "Jangan harap."

"Alah, tolonglah. Aku minta sangat-sangat ni," rayu Salleh.

"No!" Malik berkata tegas.

"Okey," kata Salleh. Malik senyum menang. Namun, senyumannya sedikit pudar apabila melihat Salleh keluarkan telefon bimbitnya dari saku seluarnya.

"Kau nak telefon siapa?"

"Kau rasa?" Salleh tanya sinis. Nama 'Auntie Ariana' muncul di senarai pemanggil telefon Salleh.

"Fine!" Malik mendengus. "Aku buat. Tapi hari ini je."

Salleh senyum, puas hati, lalu menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam saku.

(...)

En. Azri berjalan ke kafe asrama apabila bertembung dengan dua orang pelajarnya yang bersiap awal itu. Lantas dia mengajak mereka sarapan bersama. Mereka duduk semeja, air yang dipesan baru sahaja sampai.

En. Azri perhatikan sahaja manusia yang duduk di sebelah Salleh itu sejak tadi. Ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Berangin lain macam. Dia kemudian pandang Salleh.

"Dia ni, bukan Andi, kan?" En. Azri bertanya. Salleh membuat isyarat supaya En. Azri perlahankan suaranya itu. Dia kemudian mengangguk sekali.

"Habis tu, siapa ni?" En. Azri bertanya lagi.

"Malik," jawab manusia itu, terasa bagaikan topeng samarannya sudah tercabut dan diterbangkan angin. Lebih baik dia terus terang saja kepada pensyarah muda itu.

En. Azri berfikir seketika, cuba mengingati maklumat yang pernah diberitahu Dr. Fitri kepadanya. Malik. Personaliti kaki gaduh. Kata kunci trigger untuk dia muncul, 'bahaya'... Eh, nanti sekejap! 'Bahaya'? Apa bahayanya? Kenapa dia muncul sekarang?

"Apa dah jadi?" Soalan itu terpacul keluar dari mulut En. Azri.

"En. Azri ingat tak, malam tadi saya ada telefon encik?" Salleh bertanya.

"Malam tadi? Yang kamu kata kena serang 'hantu katana' tu?" En. Azri tersengih. "Kamu banyak sangat tonton animelah, Salleh."

Mata kedua-dua manusia yang duduk semeja dengan En. Azri itu mencerlung tajam ke arah pensyarah muda bercermin mata itu. Salleh kemudian hela nafas.

"Kami tak tipulah! Hantu tu serang kami dengan katana!" Salleh berkata kesal.

"Salleh, hantu tak boleh bunuh orang. Lagipun, kalau kata-kata awak itu betul, mesti ada keluar berita pagi ini," kata En. Azri. Teh 'o' di tangannya dihirup.

"Mayat seorang lelaki dengan kepala dipenggal ditemui di sebatang lorong berdekatan lot kedai di Taman Dahlia..."

En. Azri hampir tersembur teh 'o' yang diminumnya apabila mendengar berita yang terpapar di kaca televisyen di kafe asrama itu. Lokasi itu sememangnya sangat-sangat hampir dengan asrama tempat mereka bermalam itu.

Dia pandang Salleh dan Malik yang tampak tidak memberi reaksi langsung, berbeza dengan kebanyakan orang di kafe itu yang jelas terkejut. Mereka berdua bagaikan sudah mengagak akan hal itu. Riak wajah Salleh dan Malik seolah-olah mahu mengatakan, 'kami dah cakap tadi'.

"Jadi... Kamu tak tipulah bila beritahu yang kamu kena serang 'hantu katana' malam tadi?"

"Tu. Berita tu buktinya," jawab Salleh selamba sambil memegang balutan pada sikunya.

"Dah tu, kenapa tak telefon polis?"

"Kalau depan En. Azri ada orang muncul entah dari mana, datang nak bunuh encik, encik telefon polis dulu ke, atau lari?"

En. Azri terdiam. Betul juga, ya.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now