Hari Ketiga (20)

135 9 3
                                    

"Ya ALLAH!"

Salleh tahan badan Nazmi daripada rebah. Nazmi mengerang kesakitan, menahan darah dari keluar di luka di bahagian sisi abdomennya. Nafasnya mula tersekat-sekat.

Salleh acukan pemetik api berbentuk pistol dan tin aerosol penyembur rambut yang digunakannya tadi, namun pemetik api dan tin aerosol itu ditepis Naufal yang berkelakuan macam orang naik hantu. Kedua-duanya tercampak jauh dan hilang disembunyikan asap tebal.

"Kau ingat kau boleh buat trick tu lagi, hah, budak tak guna?" Tawa keseraman bergema.

"Macam mana ni?" Salleh panik. Naufal yang masih berselubung api itu menghayunkan pisau belatinya tinggi, mahu menikam Nazmi sekali lagi.

Mata Salleh tiba-tiba membulat. Pisau belati di tangan Naufal terlepas dan jatuh ke lantai. Dia melihat di tengah-tengah dadanya. Ada bilah pedang tercacak di situ. Naufal toleh belakang, melihat siapa gerangan yang menikamnya dari belakang, sebelum rebah ke atas lantai.

"Mujur aku sempat sampai ke sini," marah Erzen, merenung Naufal yang berselubung api itu. Dia terbatuk-batuk dek asap yang semakin tebal.

"Dia... Kena tikam..." Salleh tergagap-gagap. "Macam... Macam mana..."

"Dah. Diam. Kita bawa dia keluar."

Nazmi diangkat bersama dan dibawa keluar dari bilik. Telinga Salleh bagaikan mendengar bunyi sesuatu bergolek di atas lantai. Dia tunduk, melihat ke arah lantai. Matanya membulat. Sesuatu yang berwarna hitam dan kecil sedikit dari buah lemon berada semeter dari belakang mereka. Picunya sudah tiada.

"Wah! Bom tangan! Lari!"

4.

3.

2.

1.

Salleh, Nazmi dan Erzen sama-sama melompat keluar dari pintu utama apabila letupan bergema di dalam rumah. Mereka tertiarap di laman. Bunyi letupan itu cukup kuat, mereka yang berada di luar dapat rasa gegarannya.

Salleh angkat kepala, terbatuk-batuk. Dia pandang Nazmi yang mengerang kesakitan. Darah masih lagi mengalir di luka tempat dia ditikam.

Hana berlari ke arah mereka, diikuti Zel, Bray dan Malik. Kain pembalut dikeluarkan dari begnya, luka di abdomen Nazmi ditekan supaya darah cepat berhenti. Kanak-kanak yang duduk di belukar berhampiran diarah diam di tempat masing-masing.

"Zel, bawa keluar kain anduh dalam beg awak tu! Darah tak nak berhenti ni!"

"Noted!"

"Hei. Bangun!" Bray tiba-tiba bersuara. Dia membalikkan badan Erzen yang tidak sedarkan diri, menggoncangkan badannya sekuat hati.

"Cuba check, dia bernafas tak?" tanya Salleh, cuba seboleh mungkin untuk bangun walaupun badannya terasa sakit, risaunya semakin bertambah. Bray periksa nafas dan nadinya. Nafasnya tersekat-sekat, nadinya perlahan.

"Keracunan karbon monoksidakah? Ke, hiperventilasi?" Salleh menggeletar, tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Mereka di sini!" Kedengaran suara seseorang dari celah belukar. Anggota pasukan penyelamat dan pasukan STAFOC muncul seketika kemudian, dipandu arah oleh lelaki yang lari semasa Zel menembak dia dan rakannya secara rambang menggunakan senapang tadi.

(...)

Ambulans yang membawa kanak-kanak yang diselamatkan mereka, Nazmi yang masih cedera, dan Erzen, atau Syam, yang masih tidak sedarkan diri - Bray turut naik sekali ke dalam ambulans itu, manakala Raz dan Safuan menaiki kereta - sudah bergerak ke hospital. Beberapa orang wartawan berkumpul di pejabat renjer hutan, menunggu update yang akan keluar dari mulut ketua pasukan penyelamat.

Pihak polis terus menjalankan soal siasat terhadap Malik, Hana, Zel dan Salleh yang sesat di dalam hutan tadi. Mereka memberi kerjasama, memberitahu apa yang mereka tahu, namun mereka sepakat untuk diam sahaja apabila ditanya perihal 'pemancung misteri' itu. Baru mereka tahu, mereka secara tidak sengaja terselesaikan salah satu misteri besar yang berlegar-legar dalam negara - Exotika.

"Lega saya," kata En. Azri. "Kamu berempat selamat. Nanti, kita terus ke hospital, buat medical check-up."

"Rasanya, antara kami berempat, Salleh je kot yang kena pergi check-up. Dia nyaris kena bom tadi," kata Zel selamba.

"Kena bom?" Suara En. Azri ternaik sedikit. Zel buat isyarat supaya En. Azri kawal nada suaranya. Memang minta bala kalau wartawan terdengar nanti.

Malik menyandarkan belakangnya di pokok berhampiran. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa kurang selesa. Kepalanya terasa pening. Dia geleng kepala beberapa kali, cuba mengurangkan rasa pening itu.

"Kau okey?" Salleh menegur, menyedari keadaan Malik itu.

"Aku okey. Mungkin sebab penat. Lagipun, malam tadi aku kan tak tidur," kata Malik perlahan.

"Kurang air tak?" duga Salleh, lalu dia berjalan ke meja berhampiran untuk mengambil sebotol air isotonik yang disediakan. Malik pegang kepala. Peningnya semakin teruk. Badannya terasa berat. Pandangannya perlahan-lahan jadi kabur.

Di saat Salleh berpaling ke arah Malik, dia sudah rebah tersembam di atas tanah.

(...)

Andi buka mata perlahan-lahan. Suasana sekitar dicam. Kenapa nampak macam hospital?

"Kat hospital mana pula ni? Takkan kena lepuk pun masuk hospital..." Andi tutup mata dengan tangan kanan, masih keliru. Sudahlah seluruh tubuhnya sakit-sakit. Sudah berapa jam dia 'hilang' kali ini?

"Ha, dah bangun pun," kata Salleh yang muncul di pintu masuk lalu duduk di kerusi berhadapan katil tempat Andi terbaring. Andi bangun dari katil dan duduk di atasnya, kepalanya yang terasa perit dipegang. Dia lihat pakaiannya. Bukan uniform pesakit hospital. Di tangan kirinya dipasang drip.

"Hei, ni wad kecemasan. Janganlah panik sangat. Kau tak warded pun. Kau rebah di hutan lipur tadi, sebab kurang air dalam badan."

"Hutan lipur?" Andi terkejut. "Hari ini hari kita pergi jungle trekking ke?"

Salleh mengangguk. Lega rasanya mendengar nada suara mesra dan sedikit keliru yang selalu didengarinya itu. "Sehari setengah kau 'hilang'. Risau aku dibuatnya, tahu tak?"

"Maaf," kata Andi sambil tunduk. "Tak sangka pula jadi macam ni..."

"Tak apa. Bukan salah kau. Tapi... Apa yang buat kau terkejut besar sampai Putra keluar?"

"Eh? Putra keluar?"

Salleh angguk laju. Andi kerut dahi, cuba mengingati apa yang berlaku sebelum dia pengsan.

"Seingat saya... Saya kena hempuk dengan... Benda elektrik yang orang guna buat pukul nyamuk tu. Apa namanya ya," kata Andi sambil tersengih.

"Bug zapper?"

"Ha! Itulah dia!"

Salleh separa ternganga. Itu saja yang menjadi punca hidup Salleh kucar-kacir selama satu setengah hari? Dia tidak dapat menghadam apa yang keluar dari mulut Andi itu.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now