Extra : Sebulan Kemudian (3.2)

89 4 3
                                    

Andi terkebil-kebil sambil melihat plaster kecil yang menutupi bintik kemerahan di lengan kirinya. Ada sebungkus plastik beisi satu tiub ubat krim hydrocortisol, sepapan ubat pil jenis paracetamol dan sepapan pil antihistamin dari dispensari di atas bangku panjang yang didudukinya, berhadapan Pusat Kesihatan. Sesekali tangannya mengusap belakang kepala yang terasa benjol.

"Putra nak pukul sarang lebah tu ya?" Andi bertanya Hana yang berdiri tidak jauh dari situ. Hana hanya angguk.

"Er... Okey. Mujur awak sempat halang dia."

"Hm. Kenalah halang dia nak tak nak. Kalau dia pergi pukul sarang lebah tu dengan penyapu tadi, mahunya arwah berjemaah kita semua dibuatnya."

Andi tertawa kecil. Baru dia mengerti bagaimana dia boleh terbaring di atas katil sick bay pusat kesihatan itu. Benjol di belakang kepalanya pula, disebabkan terhantuk sebiji batu rata bertanda anak panah dan titik - hanya pelajar Ukur Tanah sahaja tahu fungsi batu itu - yang berada di atas rumput tidak jauh dari pokok itu, dek salah seorang staf KSA menarik Putra ke belakang sampai jatuh terlentang, sebelum sempat penyapu itu diayun ke arah sarang lebah tadi.

"Nak marah Putra tadi pun... Dia budak lagi. Tak berapa faham apa akibatnya kalau dia buat macam tu. Dia punya bijak pandai pun, lebih kepada matematik, kejuruteraan dengan reka cipta. Part memahami alam semulajadi ni, dia macam lembab sikit," keluh Hana perlahan.

"Hm. Faham." Andi terus bangun dari bangku. Bungkusan plastik berisi ubat diambil lalu dimasukkan ke dalam beg.

"Patutnya saya ke perpustakaan, nak cari buku. Tak tahu pula macam mana Putra boleh terlepas masa turun bas tadi. Maaflah kalau dia dah menyusahkan awak," kata Andi, rasa bersalah.

"Tak apa." Hana senyum. Matanya mengerling ke arah bungkusan nasi goreng yang dibelinya di Kafe Embun tadi. "Saya pun, lepas beli pen, nak balik bilik. Zel..."

"Hm? Kenapa dengan dia? Tak sihat?"

"Bukan. Dia nampak benda cuba nak curi TV awal pagi tadi."

"Benda... Nak... Curi TV?"

(...)

Petang. Kelas Kajian Perundangan 1 sepatutnya sudah bermula 5 minit lepas, namun En. Yus masih belum masuk ke studio. Studio QS pula bising dengan para pelajar perempuan kecohkan hal 'hantu cuba curi peti televisyen' pagi tadi. Ada yang siap bertanya Zel - yang menjawab ala kadar sahaja, disebabkan dia sahaja satu-satunya saksi kes cubaan mencuri itu.

Sekejap sahaja semua pelajar lelaki - yang tinggal di KBJ, jadi kurang tahu hal KSA - tahu kronologi kes sejak awal. Dari misteri kecurian cermin tandas, ke hal pokok renek depan asrama ghaib, ke kehilangan pam tandas aras bawah pada hari lawatan tapak dulu, dan akhirnya cubaan membawa lari peti televisyen jenis CRT yang jelasnya besar gedabak itu.

"Jadi, kali ni nampaklah siapa pencuri tu, ya?" Salleh yang duduk menghadap Zel bertanya sambil menyelak buku nipis 'Pengenalan Kepada Undang-Undang Kontrak' di hadapannya.

Zel hanya angguk. Sebiji bebola paintball berwarna hijau neon dibelek-belek sebelah tangan.

"Perlu ke bawa benda tu?" Hana yang duduk bersebelahan Zel bertanya pula.

"Terbawa. Ala, sebiji ni je. Yang lain dalam bilik." Mata Zel melilau ke sekitar studio. "Andi mana?"

"Oh. Dia pergi tandas. Kenapa?"

Serentak dengan itu, Andi masuk ke studio lalu duduk di sebelah Salleh.

"Ha. Panjang umur," kata Salleh dan Zel serentak.

"Eh? Kenapa?"

Zel meletakkan bebola paintball di tangannya itu di atas meja, lalu menyelongkar begnya. Seketika kemudian, dia mengeluarkan sebungkus kecil gula-gula 'Jelly Belly'. Dihulur gula-gula itu kepada Andi.

"Nah. Bagi Putra. Cakap dengan dia, aku minta maaf sebab tuduh dia curi pam tandas dulu."

Andi pandang Zel dan gula-gula itu bersilih ganti.

"Serius?" Andi bertanya, meminta kepastian. Sebetulnya, agak jarang Zel minta maaf. Maklumlah, ego.

"Ya."

"Er... Okey. Nanti saya beri pada dia," kata Andi, sambil angguk janggal. Dia kemudian mengambil gula-gula yang diberi Zel itu.

"Memang bukan kerja dia?" Salleh tanya semula. Zel angguk, menyebabkan Salleh dan Andi sama-sama hela nafas lega.

"Pencuri tu... Badan dia lagi kurus dari Andi," jelas Zel.

"Oh."

(...)

Seorang lelaki kacak persis selebriti K-Pop sedang duduk di salah satu kerusi di Kafe Embun. Sesekali dia menghirup air kopi suam yang dibelinya. Wajahnya kelihatan kelam, bagaikan sedang dilanda masalah.

"Rossa?"

Lelaki itu menoleh ke belakang. En. Azri, yang membawa dulang berisi semangkuk mi rebus dan secawan air suam berdiri di sebelahnya.

"Oh, kau rupanya, Azri. Duduklah."

Dulang yang dibawa diletakkan di atas meja, lalu En. Azri melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengan En. Rossa.

"Kenapa ni? Ada hal yang Unit Kaunseling tak dapat nak settle lagi ke?" En. Azri bertanya sambil mengalihkan mangkuk dan cawan dari dulang ke meja.

"Boleh kata macam tu la." En. Rossa memicit dahinya.

"Boleh share?"

En. Rossa terus renung En. Azri. Dahinya berkerut, bagaikan En. Azri sudah tersalah cakap.

"Er... Cerita secara umumlah. Kalau kes 'P and C', kau tak cerita pun tak apa. Aku faham, kau berpegang dengan 'prinsip kerahsiaan'," En. Azri terus sengih.

"Hm. Tengah fikir pasal seseorang tu. Dia baru je jumpa aku di Unit Kaunseling tadi, dan akhirnya dia cerita juga masalah dia. Dulu ada juga dia datang, tapi setakat datang jelah. Tak cakap apa-apa, macam layan orang bisu."

"Eh? Kan bagus tu? Dia dah mula cerita masalah dia, jadi patutnya dah bolehlah plan apa nak buat untuk tolong dia, kan?" soal En. Azri, sedikit hairan.

"Yalah, memang bagus bila dia cerita. Masalahnya sekarang, patut tak aku refer kes dia kepada psychologist dulu, atau aku report polis terus?"

"Er... Report polis? Apahal lain macam je kes kau kali ni?"

En. Rossa hanya bungkam.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now