Malam Kedua (5)

126 9 0
                                    

Malik dan Salleh tercungap-cungap di ruang legar asrama tempat mereka menginap itu. Penat berlari pecut tak ingat dunia, sampai pengawal keselamatan di pintu pagar naik hairan. Telefon bimbit Salleh berbunyi tanda mesej masuk. Dia melihat skrin lalu membalas mesej itu.

"Hei, kenapa kita ke sini?" Malik tanya, hairan. Salleh pandang wajah Malik seketika sebelum tarik nafas panjang.

"Kita tengah pergi site visit. Pagi nanti nak jungle trekking," kata Salleh. Dahi Malik berkerut.

"Pergi site visit ada jungle trekking? Site dalam hutan ke apa?" Malik tanya semula, masih hairan. Salleh cuma angkat bahu.

Seketika kemudian, Hana dan Zel muncul di ruang legar itu. Di tangan Hana ada kit pertolongan cemas.

"Eh, kau yang luka, Salleh?" Zel bertanya hairan. Salleh mengangguk laju, manakala Malik mencebik apabila mendengar soalan itu. Hana terus memeriksa luka di siku Salleh itu. Darah sudah berhenti mengalir dan mula membeku.

"Tempat lain, ada? Ke, siku je?" Hana tanya sambil mengeluarkan cecair antiseptik, kain pembalut dan gauze dari kit pertolongan cemas itu. Salleh menunjukkan bahagian atas betisnya, betul-betul di bawah lutut. Ada kesan calar kelihatan, lukanya tidak seteruk bahagian siku. Darah di luka Salleh dicuci di paip air berhampiran longkang di kawasan ruang legar itu.

"Ni, kenapa sebenarnya?" Zel tanya Malik yang hanya memerhati Hana merawat luka Salleh dari tadi sambil berpeluk tubuh.

"Ada samurai wannabe tiba-tiba serang kami," kata Malik. "Siap angkut katana nak potong kepala orang lagi."

"Bukan kau yang mulakan, kan?" Zel bertanya skeptik.

Malik ketap gigi. "Kenapa setiap kali aku kena serang, kau tanya aku soalan ni?"

"Bukan itu ke yang selalu berlaku?" Zel tanya semula, matanya dikecilkan. Mereka berlawan tenung seketika.

"Hei, sudahlah," kata Hana, baru sahaja selesai merawat luka Salleh. "Boleh tak kalau kamu berdua tak bergaduh?"

Malik dan Zel mendengus, masing-masing berpaling ke arah lain.

"Saya baru perasan sesuatu masa Salleh cakap pasal 'hantu katana'. Er... Tadi pun kamu cakap pasal seorang samurai wannabe serang kamu berdua, kan?" Hana bertanya sambil melihat skrin telefon bimbitnya. Malik hanya mengangguk.

"Sebenarnya, sebelum ini, ada banyak kes orang mati dipenggal di daerah ini."

"Serius?" Salleh hampir menjerit. Hana angguk sekali. Skrin telefon bimbitnya ditunjukkan kepada Salleh. Pelbagai laporan berita terpapar di situ. Semuanya kes yang sama - pembunuhan dengan kepala si mati dipancung. Tarikh berbeza, lokasi berbeza, namun dalam daerah yang sama. Pihak polis masih gagal menangkap pembunuh mereka.

"Jadi, kau berdua ni... Jumpa pembunuh bersirilah ni?" Zel bertanya sambil pandang sekeliling. Tiba-tiba dia terasa seram. "Dia tak ikut kau berdua balik ke sini, kan?"

"Tak ada rasanya..." Salleh juga ikut pandang sekeliling. Rasa paniknya muncul semula. "...kot."

"Dah, jom balik bilik. Dah lebih 2 pagi ni. Kita tidur dulu. Esok kita sambung fikir," kata Hana, menyimpan cecair antiseptik dan lebihan gauze yang digunakan serta mengemaskan kit pertolongan cemas yang kini sedikit bersepah itu.

"Idea yang bagus," gumam Malik perlahan.

(...)

Salleh renung tin aerosol kecil yang dia guna untuk butakan 'hantu katana' untuk sementara itu. Boleh pula dia terbawa sekali tin itu semasa mereka melarikan diri. Poket sisi beg sandang dibuka dan dia terus menyimpan tin aerosol itu di dalamnya.

"Kenapa kau nak bawa sekali benda alah tu?"

Salleh buat pekak dengan pertanyaan Malik itu. Kepalanya diletak ke bantal. Seketika kemudian, dia mula berdengkur.

Malik mencebik. Geram dibuatnya kerana tidak dilayan. Matanya tertancap pada novel 'Dark Hunter' yang siap diselit lampu membaca, elok tersidai di atas katil.

"Huh. Novel jenis apa la mamat ni baca."

Novel itu diselak beberapa muka surat. Dahi Malik terus berkerut. Telefon bimbitnya terus dikeluarkan. Apps Google Chrome terpapar di skrin.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now