Dua Minggu Kemudian (2)

160 9 4
                                    

"Woi, cepatlah. Dah dekat sejam aku tunggu ni!"

Salleh tenung Malik yang berdiri di tepi kolam renang yang khusus untuk aktiviti terjun itu, sebelah tangannya memegang pelampung. Dia pula berpaut di rel di tepi platform 10 meter, tubuhnya menggeletar kuat. Pakaiannya ditukar dengan pakaian yang dibawa Malik dari asrama - baju T-shirt kolar bulat kain kapas dan boxer panjang menutup lutut. Bila masa Malik balik ke bilik untuk ambil pakaian, dia sendiri pun tidak tahu.

"Apa masalahnya? Terjun sajalah! Kau pakai jaket keselamatan kan? Aku dah standby pelampung dua biji lagi," jerit Malik lagi dari tepi kolam itu.

Salleh melepaskan tangannya dari rel, berjalan menghampiri hujung platform lalu duduk bersila. Dia mula menangis teresak-esak.

Malik mendengus. Pelampung di tangan diletakkan di atas lantai.

"Kalau kau tak terjun, kau pondan!" Malik mengejek.

"YA! AKU PONDAN! PUAS HATI KAU?" Salleh melaung, masih menangis teresak-esak. Malik mendecit.

Salleh buka mata dan kesat air matanya yang mengalir seketika kemudian. Malik tiada di tepi kolam. Salleh panik. Tiba-tiba sahaja, ada daya menolak keras belakang Salleh. Badan Salleh terdorong ke depan, dan...

KECEBUR!

"Ha, kan senang. Buang masa aku je," kata Malik, berdiri di hujung platform itu sambil bercekak pinggang, memandang Salleh yang tercungap-cungap dalam air.

"Woi! Kurang asam! Aku tak ready lagilah!" Salleh menyumpah-nyumpah dalam air.

Malik hanya sengih mendengar jeritan Salleh itu. Dia berpusing, mahu turun dari platform. Tiba-tiba saja badannya terasa bagaikan melayang, kepalanya terasa ringan. Dengan pantas dia berpaut pada rel platform. Matanya terpejam. "Ergh!"

Dia buka mata. Terkebil-kebil. Dia melihat sekelilingnya. Kawasan sekitar dicam.

"Apa saya buat kat kolam renang ni? Bukan saya kat studio ke tadi?" Dia garu kepalanya, hairan.

Dia berjalan ke hujung platform. Salleh masih kekal di dalam kolam, tidak berganjak, terapung-apung dalam air. Dia berundur, terperanjat.

"Salleh? Apa awak buat dalam air tu?"

"KAU BOLEH TANYA... Eh, kau Andi ke?"

"Tunggu! Saya ambil pelampung!" Andi terus berlari turun dari platform. Pelampung di tepi kolam renang dicapai lalu dicampak ke arah Salleh yang masih terkapai-kapai tidak bergerak.

(...)

Salleh duduk di bangku panjang berhampiran Dewan Besar, menuam wajahnya yang terasa sakit dengan air batu yang dibungkus dalam plastik, dibeli di Kafe Embun. Matanya bengkak, seluruh wajahnya merah. Masakan tidak, disebabkan tindakan Malik itu, dia secara literal terhempas di atas permukaan air. Ya, terhempas. Bukan terjun.

Andi tunduk di sebelahnya. Beg plastik berisi tuala dan pakaian basah berada berhampiran kakinya.

"Maaf..." Andi berkata perlahan, rasa bersalah. Salleh menggeleng. Plastik berisi air batu diletakkan di sisinya.

"Alah. Tak apalah. Lagipun, padan muka aku, siapa suruh bertaruh dengan Malik," kata Salleh sambil tertawa kecil.

"Hm? Bertaruh?" Andi angkat muka, memandang Salleh, hairan.

"Lupa pula yang aku tak cerita pasal tu..." Salleh garu kepalanya yang tidak gatal.

"Bertaruh pasal apa?"

"Em... Pasal..."

"Er... Salleh? Awak ke tu?" Satu suara menegur mereka berdua dari belakang. Andi dan Salleh menoleh ke arah tuan empunya suara. Salleh membulatkan matanya.

"Apa awak buat di sini?" Salleh bangun, terus berjalan ke arah lelaki itu. Dilihat kiri dan kanannya, kemudian dia berpusing sekali mengelilingi lelaki itu sambil memandang atas bawah. Lelaki itu hanya berdiri di situ, wajahnya keliru.

"Awak... Tak bawa pedang, kan?"

Lelaki itu terus sengih janggal.

(...)

Nazmi duduk berteleku di atas lantai. Sudah agak lama dia di posisi itu, sejak dia bertemu peguam itu. Kedua tapak tangannya menutup wajahnya.

"Sama ada kamu... Atau adik kamu. Pilih."

Kata-kata peguam itu terngiang-ngiang di telinganya. Peguam yang mewakili Tuan Azazil itu memberikan dia peluang memilih antara dua, dengan wajah tenangnya. Kedua-duanya pilihan yang sadistik. Antara dia yang mati, dan adiknya dapat seratus ribu ringgit dalam akaun banknya; atau dia terus hidup, tetapi adiknya akan ditamatkan mesin bantuan hayatnya.

"Kenapa... Macam dah agak... Yang semua ini akan berlaku?" Nazmi menggumam perlahan. Perlahan-lahan badannya turun ke lantai, dalam posisi bersujud.

(...)

"Jadi, awak dengan Erzen..."

Lelaki itu mengangguk perlahan. Bagaikan mengerti apa yang cuba disampaikan.

"Dah tu, siri novel thriller awak tu, siapa yang tulis sebenarnya? Awak ke, dia?"

"Er... Bolehlah kalau nak kata, kami tulis sama-sama..." Belakang kepalanya digaru.

"Pulak dah!"

Salleh renung Syam yang duduk di sebelahnya di bangku itu. Dagunya digaru. Tidak tahu mahu kata apa-apa.

"Salleh, saya... Nak minta maaf. Sebab tak beritahu awak pasal Erzen. Saya tak tahu nak hubungi awak macam mana. Kebetulan dapat jemputan ke sini, jadi saya terus terima." Syam tunduk merenung tanah.

Sebenarnya, tidak pelik pun kalau Syam berada di sini. Ada beberapa penerbit buku mengadakan sesi bertemu peminat pada hari ini. Dan, penerbit yang menerbitkan novel-novel Syam adalah salah satunya.

"Alah, tak apalah," kata Salleh. "Lagipun... Saya nak ucap terima kasih pada Erzen..."

"Hm?"

"Er... Yalah kan, sebab... Dia selamatkan saya hari tu. Er... Awak tahu pasal tu, kan?" kata Salleh, memandang Syam yang masih tunduk itu.

"Kau anggap saja itu tanda minta maaf sebab aku nyaris pancung kau dulu."

Eh?

Syam angkat kepala, bagaikan tersedar dari lamunan. "Apa awak cakap tadi, ya?" Soalnya, memandang Salleh. Dahinya berkerut seketika apabila menyedari Salleh sudah berganjak ke hujung bangku, sedang merenungnya semacam.

"Saya... Tengah cakap dengan siapa ni?" Salleh bertanya dengan nada takut.

"Er..."

Andi muncul dari kiosk bersebelahan Dewan Besar, membawa plastik berisi air kotak. Dihulurkan air kotak itu kepada Salleh dan Syam. Syam pula renung Andi. Mood dia hari ini okey kot.

"Terima kasih, Andi," kata Salleh sambil senyum. Syam kerut dahi.

"Eh? Bukan nama dia lain ke?" Syam terus bertanya Salleh. "Apa namanya... Malik, ya?"

Salleh tergamam. Andi kaku seketika, tidak tahu mahu kata apa.

(...)

"Tak sangka kita terpaksa cerita pasal tu..."

Salleh pandang Andi yang duduk termenung di atas katil. Nampak benar dia tidak suka 'masalah' yang dialaminya itu diketahui orang lain. Macam manalah boleh terlepas cakap depan Syam siang tadi.

"Hm. Tak apalah. Dia boleh simpan."

"Awak percayakan dia?" Andi tanya, di wajahnya terpamer kerisauan teramat. Salleh angguk sambil tersenyum.

"'Masalah' kau dengan dia tu, lebih kurang saja," kata Salleh. "Dia mesti faham. Jangan risau sangatlah."

Andi angguk perlahan sambil hela nafas berat.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now