Hari Ketiga (12)

185 9 4
                                    

"Baru sekarang kau nak tunjukkan diri kau yang sebenarnya?" Malik bertanya dengan nada sinis, matanya tidak lepas merenung tajam Syam yang berubah tingkah laku itu. Pedang di tangan masih diacu ke arah Malik.

"Heh. Sejak bila kau tahu?"

"Kau pegang bahu kanan kau sejak pagi. Mesti tempat tu sakit lagi, kan?"

"Luka di bahu ni tak cukup. Mesti ada sebab lain, sampai kau boleh cam aku dengan rupa begini."

"Asas cerita untuk novel kau. Kenapa mesti kes orang mati dipancung saja jadi rujukan kau? Lepas tu setiap kes ada kaitan antara satu sama lain pula tu."

Dia tertawa kecil mendengar jawapan Malik itu.

"Pandai kau berpura-pura, huh? Buat-buat macam tak reti pakai pedang masa tolong Salleh tadi," kata Malik lagi, menoleh sekilas ke arah Salleh yang keras di tempatnya, masih terkejut. Tawa itu terus terhenti.

Salleh masih lagi keliru dengan apa yang sedang berlaku. Bahagian atas lengan kirinya yang cedera dilihat sekilas. Ada darah mengalir di situ. Masih terasa sakit, namun boleh digerakkan.

"Untuk pengetahuan kau, Syam memang tak tahu guna pedang pun," dia berkata selamba. Dahi Malik terus berkerut seribu, tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Salleh tersentak. Takkanlah...

"Mana Syam?" Salleh bertanya, entah dari mana dia dapat keberanian itu. Dia telan air liur sebaik sahaja mata dingin itu merenungnya.

"Sedang beradu. Belum pernah lagi dia dapat tahan aku dari keluar selama ini."

"Jadi, kau siapa?"

"Erzen Laiss."

"Say what? Kau tipu!"

Sinar kefahaman bagaikan menyinar ke atas Malik sekarang. Padanlah Syam nampak normal saja, jauh beza sikapnya dengan 'hantu katana' yang ganas semacam ini. Sebelum ini dia menyangka Syam sekadar berlakon.

Salleh berdiri, luka di lengan kirinya masih dipegang. "Kau nak beritahu aku yang nama kau sama dengan nama watak utama siri novel thriller yang Syam tulis? Kau ingat aku percaya?"

"Terpeluang. Kau boleh tanya Syam sendiri nanti. Tapi, bukan sekaranglah." Pedang dihunus dalam posisi bersedia.

"Sekarang," katanya kepada Malik, "kita sambung semula pertarungan malam tadi!"

"Hei!" Malik menjerit. Sempat dia mengelak libasan pedang di tangan Erzen itu. "Aku tak nak lawanlah!"

(...)

Seorang pegawai polis masuk ke bilik operasi STAFOC di IPD tersebut, mengganggu taklimat yang sedang dijalankan di dalam. ASP Iskandar menghentikan taklimatnya seketika.

"Tuan, kami dapat maklumat, ada sekumpulan belia telah tersesat di Hutan Lipur Tanjung Pangku."

"Jadi? Tugas mencari orang sesat di hutan di bawah unit K9 Bomba. Kenapa dimaklumkan kepada kita pula?"

"Koordinat lokasi kali terakhir mereka dikesan berada dalam lima kilometer radius dari lokasi operasi kita malam nanti, tuan."

ASP Iskandar terdiam.

(...)

"Dari tadi kau mengelak saja. Kenapa tak lawan balik?" Erzen tanya sinis. Sudah beberapa kali dia melibas pedang di tangannya itu, namun langsung tidak mengenai walau seinci pun tubuh Malik. Tidak pernah perkara begini terjadi sebelum ini. Tangkas sungguh Malik walaupun sudah keletihan.

"Aku dah cakap, aku tak nak lawan kau!" Malik termengah-mengah mengambil nafas. "Kita ada benda yang lebih penting untuk diselesaikan!"

"Aku peduli apa!" Pedang diayun lagi, namun kali ini terkena pokok kecil di belakang Malik. Terbelah dua pokok itu dikerjakannya.

"Hish. Tak boleh jadi ni," gumam Malik perlahan. Kuda-kuda dibuka, kedua-dua lengannya diangkat menghadang wajahnya. Mindanya ligat memikirkan bagaimana mahu hentikan manusia yang sudah naik amuk itu.

Di saat pedang diayun tinggi, Malik menerjah ke arah Erzen dan melakukan perkara yang serupa dengan lelaki yang menyerang dia dengan pedang sebelum ini. Pedang di tangan Erzen tercampak ke belakang, berputar seketika di udara sebelum jatuh tercacak di atas tanah, cukup hampir dengan Salleh yang masih tercatuk di situ.

"AKU CAKAP AKU TAK NAK LAWAN DENGAN KAULAH! FAHAM TAK!"

Serentak dengan itu, Malik menghempaskan badannya ke belakang Erzen. Mereka berdua terus jatuh ke atas tanah. Erzen tertiarap, Malik pula berada di belakangnya, lengannya memaut kuat leher Erzen. Malik ketap gigi, cuba mengekalkan posisinya, menahan rontaan kuat Erzen itu.

Salleh yang bagaikan tersedar dari lamunan mengeluarkan sebotol kecil air dari dalam beg sandangnya. Luka di lengan kirinya tidak dipedulikan. Dia berlari ke arah mereka berdua, tangannya membuka penutup botol itu, mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

Sampai sahaja di depan Erzen, Salleh meniup wajahnya dengan kuat. Malik sempat angkat wajahnya, mengelak tempias air liur dari mulut Salleh itu.

"Hoi!"

"Tak ada kesan?" Air di botol kecil itu disimbah ke wajah Erzen pula.

"Apa kau buat ni?" Erzen membentak marah.

"Mana tahu kau kena rasuk hantu tentera Jepun ke..."

Wajah Erzen terus terpapar reaksi tidak percaya.

"Kau siram dia dengan air apa tadi?" Malik tiba-tiba bertanya, masih memaut kuat leher Erzen itu.

"Air Yaasin."

Malik tenung wajah Salleh. "Seriously? Kau bawa air Yaasin? Dah tu, kau hembus apa kat muka dia?"

"Ayat Kursi," kata Salleh lagi. Malik terus ketawa.

"Apasal kau gelak? Dulu kakak aku pergi jungle trekking, lepas tu kawannya kena histeria di tengah-tengah hutan. Tu yang aku bawa air Yaasin tu."

"Oh. Langkah berjaga-jagalah ni ya?" Malik sambung ketawa. Salleh menjuih bibirnya.

"Aku tak... Boleh... Bernafaslah!"

Salleh dan Malik terus pandang Erzen yang masih dipaut kuat lehernya itu. Wajahnya sudah berubah pucat. Terlupa pula dengan mamat ni.

"Kalau aku lepaskan kau, kau janji tak serang aku lagi?"

"Y... Ya..."

Pautan dilepaskan. Malik bangun dari belakang Erzen lalu bersandar di pokok berhampirannya. Erzen pula kekal tertiarap, tercungap-cungap. Seketika kemudian dia duduk di atas tanah. Kepalanya tunduk. Terasa egonya hancur dipermainkan dua lelaki ini.

"Hei."

Dua pasang mata itu terus menoleh ke arah Malik yang sedang memandang ke satu arah. Ada asap berkepul-kepul di celah-celah pokok tidak jauh dari mereka.

"Hutan terbakar?" Salleh tergamam. Mustahil. Sekarang bukan musim kemarau. Lagipun ini hutan lipur, tidak dibenarkan memasang unggun api kecuali di tapak perkhemahan. Melainkan...

Malik menggeleng, masih memandang ke arah asap yang menaik itu. "Tak. Ini... Nampak macam asap dari api buatan manusia."

"Nak pergi tengok ke?"

Malik angguk. "Mungkin itu Zel. Dia kan selalu bawa mancis ke hulu ke hilir."

Malik dan Salleh mula berjalan ke arah asap itu. Langkah Malik kemudian berhenti seketika selepas beberapa meter, lalu menoleh ke arah Erzen.

"Kau nak duduk saja di situ?"

Erzen hanya mendesis.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now