Malam Pertama

138 9 3
                                    

"Ah, leganya dapat baring. Boleh tahan lama juga tunggu bas siap repair tadi," kata Salleh, terlentang di atas katil dorm yang dikongsi dengan lima orang rakan sekelasnya, termasuk Andi. Andi hanya senyum sambil meletakkan beg pakaiannya di lokar bersebelahan katil. Sengaja dipilih katil yang paling dekat dengan pintu keluar, bersebelahan katil Salleh. Dia kemudian duduk di katil sambil hela nafas lega.

"Hai, bukan main lebar lagi senyuman tu. Legalah tu," tegur Salleh.

"Hm... Mestilah lega. Saya masih lagi diri saya," kata Andi sambil sengih.

"Wei! Kau sedar tak apa yang kau cakap tu boleh timbulkan kontroversi?" Salleh mendesis sambil pandang keliling, wajahnya terpamer riak cemas. Mujurlah mereka berdua sahaja di dalam dorm itu. Yang lain, sama ada ke kawasan lot kedai Taman Dahlia yang terletak berhampiran asrama tempat penginapan mereka itu, ataupun pergi mandi.

Andi tertawa kecil.

(...)

Hana berdiri di ruang legar asrama tempat mereka menginap sambil memeluk tubuhnya dek kesejukan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Langit yang gelap itu pula kelihatan mendung.

"Hana, maaf lambat!" Zel kelam-kabut berlari ke arah Hana dari dorm perempuan. Hana hanya senyum tawar.

"Tak apa. Baru 20 minit," kata Hana selamba. Zel mencebik.

"Ala, maaflah. Saya cari baju sejuk tadi. Maaf ya," kata Zel, bagaikan merayu. Kedua tangannya dirapatkan.

"Okey. Belanja Burger Oblong Kambing dengan Milo Dinosaur dulu," kata Hana. Melihat wajah Zel berubah pucat, Hana terus ketawa.

"Gurau je lah. Saya maafkan. Jomlah. Nanti tutup pula kedai runcit tu," kata Hana sambil melihat jam di tangannya. Sudah pukul 8.40.

Mereka terus berjalan keluar dari kawasan asrama itu.

"Eh, Hana."

"Apa?" Hana tenung mata Zel. "Nak tanya lagi pasal 'Exotika' tu?"

Zel angguk teruja. Hana hela nafas.

"Saya cuma nampak seimbas saja. Tak sempat tanya apa-apa pun kat budak tu. Takut pemandu van tu curiga. Yalah, tiba-tiba je tahu pasal ni."

"Untunglah kamu. Boleh nampak apa yang orang lain tak boleh nampak," kata Zel perlahan.

"Zel, awak tahu kan, kelebihan saya ni boleh gelapkan hati."

"Maksud awak?" Zel kehairanan. Seronok apa boleh nampak fikiran orang. Kenapa hati boleh gelap pula?

"Kalau nampak segala rahsia dan aib orang lain, tak ke boleh sebabkan kita jadi apati? Hilang kepercayaan, hilang belas ihsan?" kata Hana perlahan.

Zel terdiam. Langkah mereka terhenti di hadapan sebuah kedai runcit yang masih dibuka.

(...)

Salleh terkebil-kebil, tidak dapat lena. Walhal seluruh tubuhnya terasa letih. Dia lihat sekeliling dorm. Gelap. Andi masih belum pulang dari surau. Rakan-rakannya yang lain, masing-masing elok membongkang. Jam di telefon bimbit dilihat. Hampir jam 1 pagi.

Salleh keluar dari dorm, berjalan ke arah surau lelaki di hujung koridor. Risau pula kalau-kalau jasad kawan baiknya nan seorang itu diambil alih personaliti lain. Sudahlah mereka bukan di KST. Tiada sesiapa boleh tolong cover kalau berlaku huru-hara, walaupun En. Azri dan Puan Zu. Atau Hana dan Zel. Atau diri Salleh sendiri.

Pintu surau terkuak. Salleh menjenguk ke dalam. Andi duduk di atas sejadah, sedang berdoa.

"Ya ALLAH, lindungilah diriku dari kejahatan diri sendiri..."

Salleh hela nafas. Hampir setiap kali Andi berdoa selepas solat, ayat doa yang satu itu mesti ada terselit. Kasihan pula melihat Andi. Orang lain merungut tidak cukup masa walaupun masing-masing diberi 24 jam sehari. Si Andi ini pula, silap haribulan sehari suntuk dia 'hilang'. Bila dia sedar semula, masalah akan datang bertimpa, walaupun dia sendiri tidak ingat apa yang berlaku sebenarnya. Selalu jugalah dia dicop pembohong disebabkan 'masalah' yang dialaminya.

"Salleh, kenapa tercegat di pintu tu?"

Salleh terkejut dari lamunannya. Andi sengih melihat Salleh sambil melipat sejadah yang digunakannya itu. Di surau pun mengelamun. Depan pintu pula tu.

"Er... Tak adalah. Saja nak tengok-tengok."

"Dah solat Isyak?"

"Dah. Betul-betul lepas azan Isyak aku solat, tahu?"

Andi tertawa kecil. "Okeylah. Jom masuk tidur. Esok nak jalan-jalan."

Salleh angguk perlahan.

(...)

Raz mengetuk pintu bilik adiknya. Entah mengapa dia rasa mahu bertanyakan sesuatu. Dia kemudian memulas tombol apabila tiada respon diterima. Pintu terbuka, tidak berkunci.

Bilik itu gelap. Komputer riba di atas meja terpadam, bukan sleep mode seperti selalu. Adiknya sedang berkelubung dalam selimut, dengkuran halus kedengaran. Raz senyum kecil. Comel pula tengok adiknya begitu.

"Esok sajalah tanya," kata Raz perlahan lalu menutup pintu.

Beberapa minit kemudian, sepasang mata milik lelaki yang lena itu celik. Sorot matanya berubah dingin. Perlahan-lahan dia bangun sambil melihat sekitar. Dia turun dari katil, pintu bilik dikunci dengan senyap. Pemacu pena kecil yang disimpan di celahan besi katil dikeluarkan, lalu dia melangkah ke komputer riba di atas meja.

Komputer riba dipasang dan pemacu pena itu disambungkan. Jarinya menaip sesuatu dan tetikus digerakkan. Seketika kemudian, terpapar carta organisasi lengkap Wirda Kejora dalam perisian Microsoft Excel di skrin komputer.

Ada beberapa nama yang tulisannya sudah bertukar warna dari hitam ke merah. Antara nama dalam tulisan merah itu adalah Datuk Fareez, Sid dan Zack.

"Lepas ni, giliran kau pula," katanya perlahan sambil tersenyum sinis, jarinya menyentuh satu nama di carta organisasi tersebut.

Nazmi.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now