Hari Pertama (3)

148 11 0
                                    

Syam duduk berlunjur di atas rumput. Taman permainan yang lengang dilihat sekilas. Sesekali dia hela nafas. Fikirannya serabut mengenangkan kes bunuh baru-baru ini yang koheren dengan manuskrip yang diusahakannya itu.

Dia keluar dari rumah pun sebab abangnya suruh. Bukan, dia paksa sebenarnya. Siap dipanggil zombi lagi kalau berkeras mahu terus duduk dalam bilik. Bertuah punya abang.

"Assalamualaikum," tegur satu suara dari belakang. Syam menoleh ke belakang, sedikit terkejut.

"Waalaikumsalam," Syam membalas salam kawan baiknya itu. Senyum kecil dilemparkan.

"Aku pergi rumah kau tadi, tapi abang kau kata kau keluar, pergi taman," kata Bray lalu duduk bersila di sebelah Syam. "Kau ada tengok berita pagi tadi?"

"Ada," jawab Syam perlahan. Angin lembut berhembus perlahan. Bagaikan cuba untuk menenangkan jiwa yang sedang kusut itu.

"Kau rasa, 'dia' muncul semula?"

Syam angkat bahu. "Entahlah. Aku tak tahu. Tak ada pula mimpi pasal 'dia' sejak kebelakangan ni."

Bray diam, berfikir. Sesekali matanya mengerling ke arah wajah Syam yang jelas sedang tertekan.

"Hari Ahad ni, kita pergi jungle trekking, nak?"

Syam pandang Bray, lama. "Nak jungle trekking di mana?"

"Hutan Lipur Tanjung Pangku. Lebih kurang 10 kilometer dari sini. Amacam?"

Lama Syam diam, menimbang cadangan Bray itu. Bray pula sempat mengeluarkan telefon bimbitnya, menghantar mesej kepada Fahmi dan Safuan.

"Hm... Fahmi ada hal keluarga pula hujung minggu ni. Safuan pula kata nak join..." Bray membebel perlahan.

"Okey. Aku pergi. Sesekali rehatkan minda, tengok alam semula jadi. Mana tahu dapat ilham baru," kata Syam. Bray terus senyum.

"Ilham baru. Cerita baru. Watak baru... Jangan watak baru tu macam Tombiruo, sudahlah."

Syam mencebik. Bray pula mula tersengih.

(...)

Raz memerhatikan Syam yang baru masuk ke dalam kawasan rumah. Sesekali dia kesat peluhnya. Boleh tahan bau kepam bilik adiknya. Banyak kali juga dia sembur pewangi Febreze di bilik adiknya itu.

Sebenarnya Raz dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila Syam berkelakuan pelik apabila tonton berita pagi tadi. Itu yang buatkan dia 'halau' adiknya keluar rumah untuk sejam dua. Nalurinya jarang salah. Pedang samurai milik adiknya yang nampak seperti baru sahaja dibersihkan diteliti. Ada sedikit kesan darah kering berhampiran hulu pedang itu.

"Erzen... Dia muncul kembali? Tapi, bukankah 'Dark Hunter' dah selesai?" Raz menggumam perlahan.

Syam melangkah masuk ke dalam rumah, menyedari yang abangnya pandang dia macam seorang pegawai polis yang ingin memulakan sesi soal siasat.

"Kau ada projek baru?" Raz bertanya.

"Er... Memang ada buat manuskrip baru, tapi baru mula bulan lepas. Tak banyak pun yang dah siap. Tak ada idea nak sambung," kata Syam jujur.

Raz angguk, berfikir.

"Aaa... Ahad ni Bray ajak pergi jungle trekking. Syam ingat nak ikut serta. Boleh, kan?" Syam bertanya, mematikan lamunan Raz. Raz tenung dalam-dalam anak mata Syam.

"Di mana?" Raz bertanya skeptik.

"Hutan Lipur Tanjung Pangku. Er, boleh kan?"

"Tak pernah-pernah kau nak buat aktiviti luar rumah ni. Ada apa-apa ke?" Raz bertanya lagi, masih skeptik.

Syam garu kepala. "Er... Sesekali menikmati alam semula jadi. Mana tahu dapat idea nak siapkan manuskrip baru tu."

"Abang nak ikut," kata Raz selamba. Syam sedikit terkejut.

"Habis, rumah ni, siapa nak jaga?" Syam bertanya. Kedua ibu bapanya pergi menunaikan umrah. Ash, abangnya yang lagi seorang itu sedang sibuk di syarikat milik ayahnya itu. Ada masalah logistik, katanyalah.

"Tu. Ash ada di rumah Ahad nanti," kata Raz, mengekalkan reaksi selambanya. "Lagipun, kau ada pengalaman masuk hutan ke? Sesat karang, aku juga nak menjawab nanti."

Syam diam. Nampak gayanya dia kena beritahu Bray tentang kehadiran 'ahli tambahan' untuk jungle trekking ini.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now