Extra : Sebulan Kemudian (3.1)

97 6 4
                                    

Bahagian extra ini terjadi sekitar beberapa hari SELEPAS bab terakhir, jadi tajuk maintain 'sebulan kemudian'. *Pemalas*

Bahagian ini juga merupakan konklusi kepada... Er... Kes kecurian pam tandas yang juga ada disebut dulu. 😅

--- 🐝 ---

Malam itu gelap, tiada walau sebutir bintang pun menghiasi langit. Suasana pula terasa dingin, kerana hujan baru sahaja reda. Kebanyakan lampu asrama terpadam, hanya lampu koridor sahaja terpasang.

Namun, malam itu terasa sedikit berbeza.

Sreek! Sreek!

Mata Zel terbuka dek terdengar bunyi aneh itu. Tangannya menggosok matanya seketika sebelum mencapai telefon bimbit di sebelah bantalnya. Masa yang tertera pada skrin dilihat. Jam 3.30 pagi.

Sreek! Sreek!

"Bunyi apa tu?" Zel berbisik. Dia perhati sahaja Hana yang sedang diulit lena. Dengan segera dia bangkit dari pembaringan lalu melangkah ke arah pintu. Selak dibuka, lalu dia menjenguk keluar.

Satu lembaga putih ala ninja dengan bahagian kepalanya bertutup, seakan memakai 'veil', kaku di koridor betul-betul di hadapan pintu bilik Zel. Kedua-dua tangannya sedang menyeret sebuah televisyen besar jenis CRT - satu-satunya televisyen di blok itu - di atas lantai.

Kedua-dua pasang mata itu saling merenung. Suasana terus menjadi sepi.

"WOI!" Zel tiba-tiba menjerit.

Lembaga itu terus melarikan diri, dikejar Zel dari belakang. Dia terus menyelinap masuk ke Bilik TV tidak jauh dari situ, lalu melompat keluar tingkap yang terbuka luas lain macam, bagaikan bahagian engselnya dipatahkan. Laju sahaja dia ghaib dalam pekat malam.

Televisyen itu pula dibiar sahaja di tengah-tengah koridor.

(...)

Pagi Jumaat yang cerah dan tenang menjelang. Namun, asrama itu riuh pagi ini, dek cubaan mencuri yang gagal untuk pertama kalinya.

Hana hanya merenung Zel yang sudah serupa patung terracota selepas apa yang dialaminya awal pagi tadi. Belum masuk lagi kena soal siasat dengan staf KSA. Mujur juga kelas pagi ini batal. Puan Fiza ada mesyuarat dengan ketua jabatan.

"Zel, jom makan di kafe Embun, nak?"

Senyap.

"Nak pesan apa-apa tak? Air milo ke..."

Senyap.

Hana hanya mengeluh lalu membetulkan tudungnya. Dia terus melangkah ke arah pintu.

"Hana, tapau nasi goreng kampung USA, boleh? Kejap lagi bayar," Zel tiba-tiba berkata.

"Amboi menu! Lagipun, bila masa ada add-on 'USA' untuk sarapan?"

"Okey. Buang yang USA tu. Nasi goreng kampung je," kata Zel, mula mengukir senyum. Hana hela nafas lega dek melihat senyuman Zel itu sebelum melangkah keluar bilik.

(...)

Hana yang baru keluar dari Kafe Embun selepas membeli sarapan, sedang berjalan menuju ke arah kiosk untuk membeli pen, apabila ternampak seseorang berjalan sambil memerhati kawasan sekeliling, bagaikan tercari-cari sesuatu, di koridor menghala ke arah Pejabat KSA.

"Eh, tu macam Andi," gumam Hana perlahan. Dahinya berkerut seketika kemudian. "Eh tak, macam lain sikit gaya dia tu..."

Dengan pantas arah langkah Hana berubah, berjalan laju ke arah Andi. Sebaik sahaja dia berada di sebelah lelaki itu, lengan kemeja yang dipakai ditarik perlahan.

Lelaki itu terus menoleh ke arah Hana.

"Eh? Hai." Nada kebudak-budakan yang seakan merajuk keluar dari mulutnya.

"Putra?"

"Em-hm." Putra tunduk sambil muncungkan bibir. Sesekali tangan kanannya mengusap bahagian bawah lengan kirinya. Mata Hana mengerling ke arah kawasan lengan yang diusap itu. Ada satu bintik merah yang kecil, namun jelas kelihatan.

"Kenapa tu?"

"Lebah gigit. Masa dalam tandas tu." Tangan diangkat, menunding ke arah tandas lelaki tidak jauh dari koridor itu.

Hana tertawa kecil seketika. "Bukan gigit la. Sengat. Dah, jom pergi klinik. Takut melarat pula. Petang nanti ada kelas."

"Kejap lagi." Putra sambung berjalan dengan laju sambil mencari-cari sesuatu. Hana pula terus mengekori dari belakang. Sebaik sahaja sampai di pejabat KSA, mata masing-masing membulat.

Ada sebatang pokok yang rendang dan rendah, terletak sekitar 50 meter dari tempat mereka berdiri, terlindung di sebalik pokok-pokok renek. Dan, di celah-celah daun yang merimbun, kelihatan sesuatu yang besar dan bentuknya agak aneh, bergantungan di dahan yang paling rendah.

"Tu..." Hana terus tekup mulut. Tidak pernah dia nampak sarang lebah sebesar itu.

"Ha. Kan betul. Rumah dia ada dekat sini," gumam Putra, ada nada tidak puas hati kedengaran.

"Awak tunggu sini. Saya nak beritahu staf pejabat. Bahaya kalau biarkan ni," kata Hana kemudiannya, lalu berlari ke arah pejabat KSA.

Seketika kemudian, Hana keluar dari pejabat, diikuti dua orang staf. Riak wajah Hana berubah cemas apabila menyedari Putra kini berada di hadapan pokok yang rendang itu. Badannya tertunduk-tunduk, cuba melihat sarang yang separa terlindung itu dengan lebih jelas. Cuma pokok-pokok renek sahaja yang menjadi pemisah. Ada sebatang penyapu plastik di tangannya.

"HEI!"

(...)

"Mana pula aku sorok benda tu?"

Zel menyelongkar lokar pakaiannya. Beberapa helai pakaian yang elok berlipat bersusun di atas lantai. Seketika kemudian, sebuah kotak seakan briefcase yang bersaiz kecil sedikit dari satu rim kertas A4 dibawa keluar. Lama dia membelek-belek kotak itu.

"Mungkin benda ni berguna sekarang," gumamnya perlahan.

Zel terus duduk di atas katil usai memasukkan semula pakaian yang dikeluarkannya tadi. Kotak itu dibuka, isi kandungannya dikeluarkan satu persatu. Sebuah pistol paintball jenis Tippmann TiPX, tiga botol katrij karbon dioksida, dan dua bungkusan plastik berisi bebola paintbal - satu berwarna hitam, satu lagi berwarna hijau neon - disusun di atas tilam. Lama dia membelek-belek kedua-dua bungkusan plastik itu.

"Rasanya yang hijau ni lagi sesuai."

Plastik berisi bebola paintball berwarna hitam dimasukkan semula ke dalam kotak. Tangan Zel kemudian meleraikan pistol itu, lalu membersihkannya dengan cekap.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now