Extra : Sebulan Kemudian (3.6)

92 8 11
                                    

"Kleptomania?"

Hana angguk. Dia baru sahaja kembali dari berjumpa En. Rossa di Unit Kaunseling, berkenaan kes lembaga putih itu. Sudah empat hari berlalu sejak insiden itu terjadi. Sekarang ini dia di bawah gazebo berhadapan Studio Alam Bina, di mana Andi, Salleh dan Zel sedang duduk di situ untuk berbincang hal perbentangan tugasan kumpulan mereka bagi subjek Kajian Perundangan 1.

Asalnya mereka mahu masuk ke Studio QS supaya boleh terus sediakan bahan perbentangan - En. Yus mahu perbentangan kali ini menggunakan kertas majong dan pen marker, bukan perisian PowerPoint - namun pintu studio berkunci. Entah ke mana kunci gantian yang selalu disorok di celah pasu bersebelahan pintu itu berjalan. Barangkali Alif mengambilnya untuk buat kunci pendua disebabkan dia terhilangkan kunci studio yang asal semalam.

"Apa tu? Penyakit mental juga ke?" Zel tanya. Hana angguk lagi, mengiyakan.

"Tak tahu pula ada kes macam ni," kata Salleh pula. Dengan pantas dia membuka pelayar internet melalui tablet yang selalu dibawanya.

Hana terus duduk di tepi gazebo itu. "Bukan takat kleptomania je. Dia juga ada kemurungan klinikal dan anorexia nervosa. Dia pernah cuba nak bunuh diri sebab tak boleh kawal langsung nafsu nak mencuri tu."

"Anorexia... Patutlah. Sebab tu kurus semacam je badannya," gumam Zel sambil angguk.

"Kenal ke siapa pencuri tu?" Andi tiba-tiba bersuara, nota berkenaan 'perbezaan antara borang JKR 203A dan borang PAM 2006 (with quantities)' - topik perbentangan mereka - diletak di atas riba.

"Kenal. Dia tukang cuci asrama kitorang. Baru je masuk awal sem hari tu, sebab ganti makcik yang berhenti kerja sebab anak dia sakit sebelum ni. Tapi dia tak selalu ada, kerap sangat cuti sebab jatuh sakit. Agaknya sebab tak makan kot," kata Zel, terus bersandar di tiang gazebo itu. "Tak terfikir pula, akak cleaner yang selalu sakit tu si pencuri pam tandas tu."

"Hm. Kleptomania. Keadaan di mana pesakit merasa dorongan yang besar untuk mencuri walaupun dia tidak memerlukan langsung barang yang dicuri itu. Dorongan mahu mencuri pula bukan disebabkan episod mania, kecelaruan tingkah laku atau kecelaruan personaliti antisosial. Selalunya pesakit rasa sangat bersalah selepas mencuri, dan barang yang dicuri sama ada sekadar disimpan tanpa diguna, diberi kepada orang lain, atau dipulangkan semula kepada tuannya secara senyap-senyap." Salleh meneliti hasil carian yang ditemuinya.

"Ia melibatkan gangguan kimia pada otak, maka pesakit selalunya ada masalah mental lain seperti kecelaruan personaliti, OCD, kecelaruan kebimbangan, masalah permakanan, dan... Kemurungan klinikal..."

"Okey, itu kasihan," gumam Zel perlahan.

"Er... Ada satu lagi persoalan," Salleh tiba-tiba bertanya. "Apa En. Rossa buat malam-malam buta tu?"

Hana tiba-tiba sengih.

"Dia pergi 'blok jin bertendang' tu. Di situ akak cleaner tu sorok barang-barang yang dia curi. Pokok yang dia rembat pun elok je membesar di belakang blok tu."

"Blok... Jin bertendang? Blok berhantu tu?" Andi tanya pula.

Hana angguk.

"Dah tu, kenapa lepas kejadian malam tu, dia ambil cuti sehari? Guard yang teman dia pun sama, tapi dia tiga hari," Zel bertanya pula.

"Masa nak kejar akak tu, mereka nampak langsuir atas pokok sebelah blok tu. Terus masuk balik dalam blok, stay sana sampailah benda tu pergi. Lupa kejap pasal tu sebab nak uruskan akak cleaner yang kena serang lebah tu, mereka jumpa dia dalam kolam dekat-dekat situ. Jadi, bila settle je kes tu, teringat 'benda' yang mereka jumpa sebelum tu, dan terus demam."

Masing-masing terus bungkam.

(...)

En. Rossa berjalan masuk ke salah satu kubikel di wad rawatan rapi itu. Matanya melirik ke arah wanita yang terbaring di atas katil, pelbagai alatan disambung ke badannya. Bahagian wajahnya yang disengat lebah pula ditutupi plaster.

Rupa-rupanya wanita ini alah pada sengatan lebah. Sewaktu dia dibawa keluar dari kolam selepas serangan lebah malam itu, dia sesak nafas dengan teruk, mulutnya bengkak dan badannya kejang. Dengan segera dia dibawa ke hospital terdekat. Disebabkan alahan teruk itu juga, dia terlantar di wad itu.

Mata wanita itu terbuka perlahan-lahan, bibirnya yang kurang bengkaknya mengukir senyum nipis apabila menyedari En. Rossa sedamg duduk di kerusi berhampiran katilnya itu.

"Awak okey?" En. Rossa berbasa-basi dahulu. Senyum mesra terukir di bibirnya. Wanita itu pula hanya mengangguk sebagai jawapan.

"Saya datang sini nak beritahu, saya dah maklumkan masalah awak ni kepada unit psikiatri hospital. Jangan risau, mereka tak akan beritahu Polis, dengan syarat awak jalani rawatan pemulihan di sini."

Dia angguk sekali lagi.

"Seperkara lagi, pihak kolej dah maklum berkenaan penglibatan awak dalam kes-kes kecurian yang pelik itu, jadi kena tunggu laporan dari unit psikiatri untuk yakinkan mereka yang awak memang ada masalah, supaya tidak laporkan hal ni kepada pihak Polis. Cuma..."

Senyuman En. Rossa memudar sedikit.

"Awak dah disenarai hitam dari bekerja di sana. Tak apa?"

Wanita itu angguk sekali. Bibirnya bergerak-gerak, bagaikan cuba menyatakan sesuatu di sebalik topeng oksigen yang terpasang di mukanya.

En. Rossa bangun lalu menghampiri wanita itu, cuba menangkap butir bicaranya. Terlampau halus suara yang keluar dari mulut itu, menyebabkan En. Rossa cuba menajamkan pendengarannya.

"Tak a-pa. Sa-ya yang sa-lah. Te-ri-ma ka-sih, En-cik Ros-sa..."

En. Rossa hanya angguk sebagai respon. "Saya beransur dulu, ya. Kerja saya pun tak siap lagi," katanya lagi lalu berjalan keluar dari kubikel itu, menuju terus ke arah pintu utama wad rawatan rapi.

Wanita itu hela nafas lalu memejamkan matanya...

(...)

Hana termenung di mejanya usai makan mi segera perisa soto sebagai makan malam. Matanya merenung ke arah nama penulis sebuah novel - karya Syam yang dibeli sewaktu Expo Pustaka dua minggu lepas - yang diletak bersusun dengan buku-bukunya yang lain. Fikirannya melayang ke kejadian yang dihadapi mereka - kes Exotika - sewaktu lawatan tapak dahulu.

"Hana? Jauhnya termenung."

Hana terus menoleh ke arah Zel yang baru sahaja kembali dari tandas.

"Oh. Tak ada apa-apa. Cuma terfikir sesuatu je," dalih Hana.

Zel menarik kerusi ke sebelah Hana lalu duduk. "Fikir apa? Boleh saya tahu?"

Hana pandang ke arah Zel.

"Tak apa ke kalau kita diamkan hal orang kena pancung dalam hutan tu dulu? Polis mesti nak tahu tu kerja siapa kan, walaupun mereka yang dipenggal tu, penjenayah yang memang dikehendaki polis," kata Hana sambil topang dagu.

Zel terus membisu.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now