Hari Ketiga (5)

108 10 0
                                    

Nazmi terduduk di atas lantai. Tangannya meraba pipinya yang terasa sakit. Dia dapat rasa bibirnya turut pecah. Ada sedikit darah mengalir di tepi bibirnya.

"Kenapa kau lepaskan budak tu?" tengking Naufal. Nazmi hanya diam, ketakutan.

Naufal menoleh ke arah beberapa orang lelaki bertubuh sasa dan berpakaian serba hitam di kawasan ruang legar rumah usang itu, betul-betul di belakang mereka.

"Kamu berempat, termasuk yang handal pedang tu, pergi cari budak perempuan yang terlepas tu. Yang dua orang lagi ni, jaga kawasan sekitar. Jangan ada lagi sesiapa terlepas."

Mereka semua mengangguk, memahami arahan, sebelum berpecah. Naufal pandang adiknya. Rasa marahnya masih membuak. Kunci van dicampak kasar ke muka Nazmi.

"Kau keluar. Cari makanan. Bagi makan budak-budak tu. Kalau kau buat benda yang tak patut dibuat lagi, aku tak teragak-agak akan bunuh kau! Tak kisahlah kau adik aku sekalipun!"

Nazmi mengangguk perlahan lalu keluar dari rumah usang itu. Jauh di sudut hati, dia harapkan Ainul selamat.

(...)

Raz tercungap-cungap mengambil nafas. Matanya mengerling ke arah Safuan yang sudah tergolek di atas tanah. Babi hutan itu sudah menghilang dari pandangan, tidak lagi mengejar mereka berdua.

"Siapa ajar kau baling batu ke semak tu tadi?" Raz bertanya, geram.

Safuan sengih. "Er... Ada orang pernah cakap, kalau baling batu kat binatang, binatang tu lari."

"Oh, yakah?" Raz tanya sinis. "Sekarang ni, binatang tu yang lari ke, kita yang lari?"

"Er... Dua-dua sama-sama lari."

Raz tepuk dahi mendengar jawapan itu, dan terus ketuk kepala Safuan dengan kuat. Safuan mengaduh. Geram Raz dibuatnya. Ajaran sesat manalah budak ni pergi ikut.

"Sekarang, macam mana nak cari si Syam dengan Bray ni?" gumam Raz perlahan. Dia menoleh ke kawasan sekitar. Tiada sesiapa kelihatan. Mujurlah dia dan Safuan masih berada di atas denai yang mereka lalui tadi. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Tiada talian. Raz mengeluh lemah.

(...)

Ainul berlari, merentasi hutan yang tebal itu. Di wajahnya terpamer ketakutan yang teramat. Manalah tahu kalau-kalau orang-orang Exotika mencarinya. Dia membiarkan langkahnya memicu perjalanannya, kerana dia sendiri tidak pasti dia berada di mana sekarang.

Bila difikirkan semula, dia hairan dengan tindakan Nazmi. Kenapa Nazmi sanggup tolong dia untuk lepaskan diri? Apa niat dia sebenarnya? Nafasnya mula tercungap-cungap, lariannya semakin perlahan.

Perutnya yang terasa sakit dipegang. Masuk angin barangkali. Kepalanya terasa sedikit berpinar. Mungkin sebab inilah digalakkan makan sesuatu sebelum melakukan aktiviti fizikal, kot. Matanya melilau, mencari bantuan.

Dari kejauhan, dia ternampak kelibat dua orang lelaki. Pakaian mereka menunjukkan mereka tiada kena mengena dengan Exotika. Mungkin mereka cuma pergi merentas hutan agaknya. Langkahnya cuba dilajukan.

"Tolong! Tolong saya!"

(...)

Raz tertoleh-toleh mendengar sayup-sayup suara seseorang meminta tolong di tengah-tengah hutan itu. Safuan segera memeluk pinggang Raz, ketakutan.

"Ish. Kau kenapa?" Raz tanya, rasa geram dan hairan bercampur aduk.

"Tu... Tu... Suara hantu..." Safuan tergagap-gagap.

"Kau nak kena ketuk kepala lagi ke? Lepaskan aku!"

Safuan terus melepaskan pelukannya. Wajahnya masih terpamer rasa takut. Raz hela nafas sambil geleng kepala.

"Mana ada hantu siang-siang ni?" Raz berkata lemah. Serentak dengan itu, muncul seorang kanak-kanak perempuan di celah-celah pokok, sedang berlari ke arah mereka berdua. Pakaiannya sudah kotor dan tidak terurus, bagaikan baru sahaja terjumpa jalan keluar dari hutan itu.

Sebaik sahaja kanak-kanak perempuan itu berada di hadapan mereka berdua, dia terus rebah diatas tanah. Pitam.

"Alamak! Macam mana ni?" Safuan bertanya panik. Raz pangku tubuh kanak-kanak yang hilang kesedaran itu. Mujurlah badannya ringan.

"Jom. Kita pergi pejabat renjer hutan."

"Eh, jauh tu! Lagipun, Syam dengan Bray, macam mana?"

"Sebab itulah kena pergi pejabat renjer hutan. Kita minta bantuan mereka untuk tolong budak ni dan cari Syam dengan Bray. Kalau kita cuba cari sendiri, kita pula yang sesat nanti."

Safuan mengangguk lemah.

"Ha, kau jangan gatal-gatal baling batu ke semak lagi, tahu?"

Safuan terus tersengih sambil mengangguk faham. Mereka terus menapak ke pejabat ranjer hutan, melalui denai yang mereka lalui tadi.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now