Hari Keempat (1)

139 9 9
                                    

"Okey, semua dah letak beg pakaian dalam bas?" Alif melaung di hadapan ruang legar asrama tempat mereka menginap itu. "Lepas ni tak pergi sini lagi dah. Terus balik KST."

"Dah!"

En. Azri hanya memerhatikan pelajar-pelajarnya yang mula menaiki bas untuk ke tapak pembinaan. Jam tangannya dilihat. Pukul 8.30 pagi. Dia terus teringatkan lelaki yang menghubunginya malam semalam.

"Maaflah. Mereka dah masuk tidur sekarang. Maklumlah, penat, kan. Kalau nak jumpa mereka, lepas Zohor esok, InsyaALLAH boleh. Saya sendiri usahakan," katanya kepada lelaki di hujung talian tersebut.

"Hm. Baikah kalau begitu. Esok saya hubungi encik lagi, ya," kata si pemanggil.

En. Azri terus pandang empat orang pelajarnya yang sedang berbual-bual dalam bas. Berkongsi pengalaman sesat di hutan, mungkin?

(...)

Bas KST berhenti di hadapan tapak pembinaan, seperti yang telah dirancang di dalam tentatif. Semua penumpang bas turun dan berkumpul di hadapan bas. Masing-masing mengambil topi keselamatan yang diedarkan.

"Semua dapat topi?" Alif melaung ke arah kumpulan manusia di hadapannya. Sebelah tangannya memegang bungkusan plastik mengandungi topi keselamatan berwarna putih. Ada lebih sebiji.

"Dapat!" Masing-masing menunjukkan topi keselamatan masing-masing. Ada yang sudah siap dipakai di kepala dan ada yang sekadar dipegang sahaja.

"Habis, siapa yang tak ambil lagi ni?" Alif membebel perlahan. Topi keselamatan putih dengan logo KST terlekat di belakang itu sepatutnya cukup-cukup untuk semua peserta lawatan. Dia siap kira lagi jumlah peserta sebelum mengambil topi-topi itu.

En. Azri tiba-tiba muncul di sebelah Alif lalu mengambil plastik di tangannya itu. "Saya yang belum ambil. Janganlah hairan sangat," katanya sambil tersenyum.

Alif tersengih. Lupa pula dia pada pensyarah pengiring nan seorang itu.

(...)

Andi berhenti di hadapan sebuah lubang berbentuk segi empat tepat yang agak besar. Lubang itu dalam dan lurus dari atas ke bawah, ada dinding di kiri dan kanannya.

"Ini ya syaf lif?" Andi melihat lubang itu dengan rasa takjub. Dia melangkah setapak menghampiri lubang itu, mahu menjengah ke bahagian dalam dinding. Tiba-tiba, kedua lengannya terasa bagaikan dipaut dua orang berbeza.

"Jangan sekali-kali fikir nak terjun, ya!" En. Azri berkata, memaut lengan kanan Andi.

"Betul tu. Satu hal lagi nak menjawab karang," kata Salleh pula, lengan kiri Andi dipegang erat.

"Eh? Ini semua salah faham! Saya bukan nak terjunlah!" Andi meronta sedikit. Namun, pegangan tangan mereka tidak longgar langsung.

"Lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga," kata En. Azri selamba. Salleh dan En. Azri sama-sama mengheret Andi menjauhi lubang syaf lif itu.

Hana yang memerhatikan gelagat mereka bertiga hanya tersengih. Kasihan Andi. Tapi, semua ini demi keselamatan semua orang di tapak bina yang bersepah, berdebu dan dipenuhi bahaya ini.

(...)

Salleh renung lif di hadapannya. Hatinya ragu-ragu untuk melangkah masuk. Mana tidaknya, kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang lif itu, sekadar jaring besi sahaja. Warna kuning terang lagi. Sudahlah mereka berada di tingkat 20, di bahagian bangunan yang belum ada dinding pula itu!

"La, apa tunggu lagi? Masuklah," kata pengurus tapak itu. Salleh sengih lalu pergi ke tepi, membiarkan rakan-rakannya yang lain masuk ke dalam lif itu.

"Er... Encik, selamat ke ni?" Saleh bertanya, masih ragu-ragu.

"Selamat. Lagipun, lif ni lebih tahan lasak dari lif yang dipasang dalam bangunan ni nanti. Kapasiti pun besar," kata pengurus projek itu. "Kenapa? Tak pernah nampak construction lift ke?"

"Dia takut tinggi," kata Andi dengan selamba, terus berjalan masuk ke dalam lif itu. Salleh mencebik. Perlu ke nak beritahu orang lain berkenaan kelemahannya itu?

Pengurus tapak itu mengangguk-angguk, faham akan ketakutan Salleh itu. "Adik jangan risau. InsyaALLAH tak jadi apa-apa. Adik masuk je dulu," katanya sambil tepuk lembut bahu Salleh. Salleh angguk sekali lalu melangkah masuk ke lif yang masih ada ruang walaupun sudah ada 22 orang dalam lif, termasuk dia, dua orang buruh dan pengurus tapak.

Pintu lif ditarik dan dikunci dari dalam. Butang bawah ditekan. Lif itu mula bergerak perlahan-lahan ke bawah. Salleh berpaut pada bahu Andi, menggeletar ketakutan dan matanya dipejam erat. Andi hanya membiarkan sahaja. Pengurus tapak pula hanya senyum meleret.

"Macam mana nak survey projek high-rise kalau takut tinggi ni?" Pengurus projek itu ketawa kecil.

"Er... Ala... Saya ambillah projek rumah teres je. Rumah teres paling tinggi pun tiga tingkat. Tu pun tak banyak," jawab Salleh, masih kekal mata terpejam, badan menggeletar dan berpaut pada bahu Andi yang melihat kawasan sekeliling tanpa perasaan melalui jaring di dinding.

"Amboi kau. Cantiknya alasan. Kau tauke projek perumahan ke, boleh pilih projek nak buat?" Zel membidas. Salleh buat pekak. Orang lain dalam lif pembinaan itu pula mula ketawa.

(...)

Semua peserta berkumpul di hadapan Alif, memerhatikan sahaja Alif yang sedang melakukan sesuatu dengan beberapa batang dawai pendek dan alat sebesar pemutar skru menyerupai cangkuk yang boleh berputar di tangannya. Seorang buruh binaan sedang membimbingnya menyambungkan dawai pada batang-batang besi yang bersusun betul-betul di bawah kaki mereka secara bersilang.

"Okey, pusing laju sikit. Okey, dah siap. Hebat kamu ni. Baru belajar sikit, dah pandai."

Alif tersengih sambil berbalas pandang dengan buruh binaan di sebelahnya itu.

"Best juga sambung reinforcement bar ni," kata Alif sambil menyambungkan satu lagi batang besi yang bersilang di hadapannya menggunakan alat menyerupai cangkuk itu dan dawai. "Selama ini, ingatkan reinforcement bar untuk floor slab ni jauh beza dengan bahagian column dengan beam. Rupanya tak banyak pun bezanya."

"Kamu boleh je join kami sambung-sambung besi semua ni. Duit pun dapat," kata buruh itu sambil ketawa.

"Tak nak. Jadi student lagi best," kata Alif sambil tersengih. Entah mengapa dia rasa kurang selesa.

"Alah. Abang gurau je. Habiskan belajar dulu. Jangan jadi macam abang ni ha. Tak pandai masa sekolah. Bila besar jadi buruh cikai je," kata buruh itu lagi.

"Eh, cikai-cikai pun, bangunan tak boleh siap kalau buruh binaan tak ada. Takkan nak suruh arkitek buat pula," kata Alif selamba. Para peserta berhampiran mereka berdua mengangguk setuju. Buruh itu terus tersenyum, terasa dihargai.

"Okey semua, mari kita tengok rumah contoh pula," kata pengurus tapak itu dari belakang mereka.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now