Bab 4:Andrew Cranel

19.8K 1.3K 44
                                    

ANNABELLA terkejut apabila nampak seorang lelaki berpakaian pelik berada di hadapannya. Lelaki itu sedang memegang sebilah pedang yang sangat tajam. Dia dapat lihat aura biru sedang menyelubungi lelaki itu. Hebat betul kesan visual.


"Kamu okey?" Lelaki itu bersuara.

"Err... Ya," balas Annabella dengan ragu-ragu.

"Saya bagi satu nasihat yang sangat berguna untuk awak."

"A...pa?"

"Jauhkan diri kamu dari sini. Kalau tidak, kamu boleh tercede..."

Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya, serigala jadian tersebut menyerangnya tetapi dia sempat mengelak dengan gerakan yang pantas. Pedang dihunus ke arah serigala jadian tersebut. Makhluk tersebut sudah mengalami luka yang agak dalam kerana terkena pedangnya.

"Kau Demon yang agak kuat," kata lelaki itu kepada serigala jadian itu.

Annabella yang sedang duduk di atas tanah hanya mampu menjadi pemerhati perlawanan lelaki pelik dengan serigala jadian. Namun, dia tidak dapat menangkap pergerakan mereka kerana mereka bergerak terlalu pantas. Dia melihat serigala jadian tersebut sudah kelihatan letih dan terdapat banyak kesan luka di badannya.

Kemudian, lelaki pelik tersebut mengambil kesempatan menyerang makhluk itu. Serigala jadian tersebut terbelah dua setelah terkena libasan pedang lelaki itu. Beberapa saat kemudian, makhluk tersebut berubah menjadi debu hitam yang berterbangan di udara. Darah yang keluar juga menjadi debu hitam.

Annabella terkejut apabila melihat kejadian yang belum pernah terjadi dalam hidupnya. Rasa seperti mimpi. Dia cuba untuk bangun tetapi kaki yang sakit menghalangnya untuk berdiri. Annabella kembali duduk di atas tanah. Luka akibat cengkaman serigala jadian tersebut semakin mencucuk-cucuk. Pandangannya sudah semakin kabur. Lelaki pelik yang sedang mendekatinya menjadi dua, tiga dan... Tiada lagi cahaya yang dia dapat lihat.

"Hei!"

ANNABELLA membuka matanya perlahan-lahan. Sinar matahari yang menerobos masuk ke dalam bilik menyilaukan matanya. Dia bangun dari pembaringan. Eh? Dia berada di dalam bilik? Bukan ke semalam... Semalam dia diserang oleh serigala jadian yang menggerunkan. Apa yang telah terjadi sebenarnya? Atau dia hanya bermimpi?

Kaki! Kaki yang terselindung di sebalik selimut dilihat. Seperti biasa... Tiada kesan luka seperti cengkaman kuku makhluk aneh semalam. Kenapa dia rasa sakit akibat cengkaman makhluk tersebut? Ah, mimpi hanya mainan tidur!

"Pukul berapa sekarang ini?" tanya Annabella pada diri sendiri.

Jam yang berada di dinding dikerling. Sudah pukul 10 pagi. Lamanya aku tidur. Mungkin dia terlalu letih bekerja sebab itu bangun lewat hari ini. Annabella kembali merebahkan badannya ke tilam untuk menyambung tidur. Dia memejamkan mata kembali.

Baru beberapa minit dia memejamkan mata, hidung tercium bau sesuatu yang enak. Hmmm... Sedapnya bau. Daging yang disalai setelah diperap dengan rempah-ratus. Annabella kembali membuka mata. Bau itu betul-betul menggodanya nafsu makannya ditambah lagi perutnya yang sudah berbunyi untuk diisi.

Dia mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari bilik. Mana tahu Puan Flynn sudah balik dari bercuti dan membuat sarapan untuknya? Sejak ayahnya meninggal tahun, Puan Flynn yang selalu mengambil berat tentangnya. Setiap hujung minggu apabila dia tidak bekerja, Puan Flynn selalu memasak untuknya.

Kakinya diatur menuju ke dapur. Bau enak semakin kuat mencucuk hidungnya membuatkan perutnya bertambah lapar. Dia memejam celik matanya seakan-akan tidak percaya apa yang berada di hadapan mata. Seorang lelaki yang berpakaian seperti dalam mimipinya.

Book 1: Annabella Valiant [✓]Where stories live. Discover now