Bab 32: Bedtime Story

16.7K 1.1K 40
                                    

MALAM hampir menjelma. Setelah seharian meredah Hutan Bernyawa, mereka tiba di hujung hutan tersebut tetapi tidak boleh meneruskan perjalanan kerana matahari sudah melabuhkan tirainya.

Eidan bersandar pada sebatang pokok sambil mengurut kakinya yang seharian berjalan. Lututnya juga melecet kerana terjatuh beberapa kali akibat tersadung akar pokok.
Annabella hanya memandang Eidan tanpa perasaan dan sikit pun tidak mahu menolongnya malah menggesanya meneruskan perjalanan.

Tangannya masih terikat dengan tali cahaya. Macam mana nak putuskan tali ni? Dia teringatkan pisau yang diselitkan pada celah kasutnya. Dengan susah-payah dia menarik keluar pisau itu dan berusaha memotong tali tersebut. Tetapi usahanya gagal apabila pisau itu sikit pun tidak dapat diputuskan. Dia mengeluh perlahan.

Nampaknya dia tiada jalan lain selain merayu pada Annabella untuk melepaskan ikatan tali ini. Tapi sekarang ini gadis itu menghilang pergi mencari kayu api. Hanya dia dan Ethion saja yang berada di situ. Kudanya dibiarkan bebas tanpa diikat tapi aku? Rasa seperti kedudukannya lebih rendah dari Ethion.

“Tidak sangka kau membandingkan kedudukan kau dengan seekor kuda,” celah Annabella. Dia keluar dari semak sambil memegang seberkas kayu untuk dijadikan unggun api.
Dia boleh baca fikiran aku? desis Eidan dalam hati.

“Ya... Aku boleh baca fikiran kau malah aku boleh melihat memori kau.” Annabella mengiakan apa yang difikirkan oleh lelaki itu.

“Kau pengguna kuasa semangat?” tanya Eidan.

“Lebih kurang...” Annabella menggosokkan kedua-dua tapak tangannya sehingga menghasilkan haba. Tidak lama kemudian, muncul api pada tapak tangannya dan menyalakan kayu tersebut. Annabella menyandarkan badannya pada sebatang pokok. Kedudukannya bertentangan dengan Eidan tetapi hanya terpisah dengan unggun api.

“Boleh tak kau lepaskan aku?”

“Kenapa aku perlu lepaskan duit aku? Kau sangat berharga, Eidan. Mungkin kau akan larikan diri. Habislah duit satu juta jewels aku.”

“Aku tidak akan lari kalau kau lepaskan aku.”

“Kau ingat aku akan percaya cakap kau?”

“Kalau aku lari pun, aku mahu lari ke mana? Aku tidak kenal sesiapa pun di sini.”

“Kau ada alasan yang kukuh. Tapi aku tetap tidak percaya pada kau. Tapi kalau kau merayu pada aku mungkin aku akan pertimbangkan dengan ganjaran yang lumayan.”

“Tolong lepaskan aku, Anna. Aku janji tidak akan lari dari kau.” Eidan tiada pilihan selain merayu pada gadis itu.

“Tidak cukup lagi.” Annabella memejamkan mata.

“Apa faedahnya kau serahkan aku pada pemberontak? Kau mungkin dapat duit tapi kau akan diburu oleh askar diraja kerana kau terlibat dalam jenayah.”

“Aku tidak takut.”

“Cuba kau fikir baik-baik. Berita kehilangan aku mungkin sudah sampai di pengetahuan ayahanda dan bonda aku.”

“Teruskan.”

“Sekarang ini mesti mereka akan lakukan apa sahaja untuk mencari aku. Mereka akan berikan ganjaran yang lebih lumayan jika dapat jumpa aku. Jika kau bawa aku ke Astland dengan selamat, semua orang fikir kau yang selamatkan aku. Secara automatik kau dapat ganjaran itu,” bicara Eidan lagi.

“Kau fikir aku akan terpedaya dengan tipu helah oleh golongan atasan? Ganjaran yang lumayan yang diwar-warkan hanyalah propaganda. Bila kau sudah balik ke pangkuan keluarga kau, ianya hilang. Sebab apa? Golongan atasan takut harta mereka akan habis disebabkan golongan marhean,” tempelak Annabella.

Book 1: Annabella Valiant [✓]Where stories live. Discover now