Bab 35: Five Minutes

17.6K 1.1K 62
                                    

EIDAN bangun dari pembaringan kerana tidak dapat melelapkan mata. Dia bangun berhati-hati supaya tidak mengejutkan Zen yang letih kerana seharian mengalahkan Drakons. Dia akui budak kecil itu sangat hebat dalam teknik perlawanan.

Pergerakannya lincah, pantas dan cekap. Masih terbayang di ruang matanya melihat Zen mengalah Drakons hanya mengunakan tangan kecilnya. Dia dapat melihat bagaimana Drakons tunduk pada Zen dan menerima Zen sebagai pewaris yang seterusnya.

Baju yang disangkut pada penyangkut diambil lalu dipakai pada badannya yang tegap. Bunyi pedang berlaga menarik perhatiannya. Dia melangkah keluar dari bilik. Pintu rumah dibuka untuk melihat siapa yang berlatih pada waktu malam begini. Badannya di sandar pada dinding kayu rumah sambil berpeluk tubuk.

Dia memerhati sahaja Annabella yang sedang berlatih dengan pedang yang terapung di udara. Hayunan pedang tersebut seperti ada orang yang mengawalnya. Matanya agak terpaku melihat pergerakan tangkas Annabella yang cekap menangkis setiap serangan pedang terapung itu. Gadis itu sudah berubah. Bukan sahaja semakin kuat tapi semakin cantik.

Annabella rebah di atas tanah apabila kakinya terluka. Pedangnya terlepas dari genggaman tetapi gadis itu tidak panik. Pedang yang terapung itu berkali-kali menujah mahu menikam Annabella tetapi gadis itu mengelak dengan menggolekkan badannya pada rumput. Tujahan pedang terapung itu semakin lama semakin laju sehingga Annabella tidak mampu mengelak lagi.

Eidan risau melihat keadaan Annabella. Dia mahu menyelamatkan gadis itu tetapi Annabella pantas memunculkan pedang cahaya di kedua-dua belah tangannya sambil menahan tujahan pedang terapung itu. Dia menarik nafas lega apabila Annabella berjaya bertahan.

Annabella bangun dari pembaringan dan kembali menyerang pedang terapung dengan menggunakan dua pedang yang berada di kedua-dua belah tangannya. Pergerakannya yang pantas tidak dapat ditangkap oleh Eidan. Tahu-tahu saja pedang terapung tersebut sudah patah dua. Annabella merebahkan badan di atas rumput untuk melepaskan lelah.

“Apa... Kau... Buat... Di sini?” tanya Annabella. Suaranya tersekat-sekat dengan helaan nafas berat. Dia sudah tahu kehadiran Eidan yang memerhatinya dari tadi.

“Saja mahu mencuci mata,” balas Eidan.

“Lelaki memang tak guna,” gumam Annabella.

Dia bangun dari pembaringan. Rambutnya yang mengurai panjang mencecah lutut diikat toncang seperti ekor kuda. Kalau dulu dia rimas dengan rambut panjang, sekarang ini dia sudah terbiasa. Rambut Annabella yang berwarna emas itu bersinar apabila terkena pancaran cahaya bulan membuatkan Eidan terpegun seketika. Tapi cara berpakaian gadis itu sahaja dia tidak suka. Boleh mengundang mata liar lelaki.

“Boleh tak kau pakai baju yang sopan sikit?” tegur Eidan. Pakaian Annabella yang banyak mendedahkan kulit gadis itu. Baju singlet hitam dengan satu tali halus yang bersangkut di bahu gadis itu.

“Suka hati akulah! Aku mahu pakai baju apa pun! Bukan urusan kau!”

“Memanglah bukan urusan aku! Tapi baju kau terlalu menonjol tahu? Macam mana lelaki tak pandang serong pada kau bila kau pakai baju seperti mahu tayang semua,” balas Eidan geram.

“Diamlah!” rengus gadis itu.

“Aku cakap ni sebab aku lelaki. Kau nak tahu bagaimana mata seorang lelaki berfungsi? Ianya tidak ubah seperti laser...”

“Aku sudah tukar baju. Puas hati kau sekarang?” celah Annabella. Dia sudah memakai baju yang sopan. Dia tidak mahu mendengar bebelan Eidan yang selalu menyakitkan hatinya.

“Barulah sopan.”

“Menyemak.”

“Anna...” seru Eidan perlahan.

Book 1: Annabella Valiant [✓]Where stories live. Discover now