Bab 24: Kebenaran yang Diinginkan

16.5K 1.1K 21
                                    

PAGI-pagi lagi Heroic Knight sudah bangun untuk berangkat ke Gaeth Lenora. Selepas bersiap, mereka berlapan menikmati sarapan pagi bersama keluarga diraja Kerajaan Eatherland.

“Sudah lama tidak bertemu dengan kamu semua,” kata Puteri Alyana. Matanya memandang satu persatu wajah anak muda di hadapannya. Dia tersentak apabila melihat seorang gadis berambut emas dan mempunyai sepasang mata berwarna biru.

“Apa namamu, anakanda?”

“Nama patik, Annabella Valiant.” Annabella bersuara.

Walaupun rasa agak keliru, dia memperkenalkan diri juga kepada wanita cantik itu. Puteri Alyana agak tersentak mendengar nama Annabella. Tetapi dia mengawal riak wajahnya agar tidak ketara.
Senyuman manis dihadiahkan.

Mereka menikmati sarapan sambil berbual mesra dan bertukar cerita kerana sudah sekian lama tidak berjumpa. Hanya Annabella sahaja yang tunduk membisu kerana tidak memahami apa yang mereka bualkan kerana keseluruhan isi perbualan dalam bahasa purba. Dia hanya menunduk memandang pinggan. Rasa seperti disisihkan. Hatinya meronta-ronta mahu pergi dari situ.

“Maafkan patik, tuanku. Patik mahu meminta diri ke bilik air.” Annabella bangun.

Langkah diatur ke bilik air apabila mendapat keizinan. Dia termenung sebentar. Hampir sepuluh bulan dia tinggal di sini pelbagai perkara yang terjadi padanya. Kalau dulu dia teringin mahu pulang ke Bumi kerana dia manusia biasa. Setelah apa yang terjadi, dia semakin keliru dengan identiti sendiri. Siapa sebenarnya dia? Keluhan dilepaskan. Dia melangkah keluar dari bilik air dan terkejut apabila wanita cantik sedang berdiri di hadapannya.

“Tuanku!” Dia menundukkan kepala sedikit.

“Tak usahlah begitu... Jom!” Tangan Annabella ditarik untuk mengikut langkahnya. Dia membawa Annabella ke taman bunga diraja.

Annabella pula terpukau melihat keindahan taman bunga tersebut. Pelbagai warna dan pelbagai bentuk. Setiap bunga mempunyai kristal di tengah-tengah. Rama-rama yang pelbagai warna pula berterbangan bersama debu emas.

Dia mendekati bunga berwarna merah jambu yang masih menguncup. Kelopak bunga disentuh lalu bunga merah jambu itu kembang dengan sendiri dan menampakkan warna fuschia pada sebelah kelopak dalam. Kristal berwarna putih berada di tengah-tengah diambil. Sangkanya bunga itu akan layu apabila kristal bunga diambil tetapi bunga itu tetap segar.

“Patik buat salah ke?” Annabella memandang Puteri Alyana yang sedang tersenyum ke arahnya.

“Tidak, anakanda... Mari duduk di sini,” kata Puteri Alyana. Dia menggamit Annabella duduk di atas bangku yang terdapat di situ.

“Sudah berapa lama anakanda berada di sini?"

“Lebih kurang sepuluh bulan...”

“Anakanda suka tinggal di sini?” Puteri Alyana senyum. Kepala gadis itu diusap dengan penuh kasih sayang. Terpancar kasih sayang seorang ibu diraut wajahnya. Sudah besar nampaknya.

“Err... Bolehlah... Selepas ayah meninggal dunia, patik sudah tiada siapa lagi. Berada di sini rasa seperti tempat tinggal sendiri. Dunia ini seperti rumah kedua patik.”

“Ayah sudah meninggal? Bila?” tanya Puteri Alyana yang agak terkejut. Kesedihan terpancar di ruang mata.

“Empat tahun lepas disebabkan kemalangan.”

“Bonda anakanda mana?”

“Patik tidak tahu. Dia masih hidup atau mati? Patik tidak tahu. Namanya pun patik tidak tahu,” katanya sambil tersenyum hambar.

“Kalau anakanda dapat berjumpa dengannya, apa perasaan anakanda? Apa yang anakanda mahu katakan padanya?”

“Terlalu banyak soalan yang patik mahu ajukan kepadanya. Kenapa dia tidak jaga patik? Kenapa dia tidak datang jumpa patik jika dia masih hidup? Dia sayangkan patik atau tidak?”

Book 1: Annabella Valiant [✓]Donde viven las historias. Descúbrelo ahora