Bab 45: Eurynomos

16.6K 996 20
                                    

SELURUH kawasan Akademi Seraglio dijejaki tetapi orang yang dicari masih tidak dijumpai. Mereka sudah berjanji untuk berjumpa di belakang akademi malah setiap hari mereka berjumpa di situ untuk berlatih bersama-sama. Tetapi hari ini lain pula yang terjadi. Selama dua jam dia menunggu, orang yang ditunggu tidak muncul-muncul.

“Karyle? Kau ada nampak Wilda?” tanya Eidan. Dia terserempak dengan Heroic Knight Kedua di hadapan perpustakaan.

“Sekejap lagi dia datang. Kenapa kau mahu berjumpa  dengan dia?” tanya Karyle kembali.

“Aku mahu tanya dia tentang Anna.”

“Kenapa dengan Anna?”

“Kami selalu jumpa di belakang akademi setiap hari untuk berlatih sama-sama. Tapi hari ini, dia tidak datang. Sudah dua jam aku tunggu dia tapi langsung tidak nampak bayang. Kau ada nampak dia?”

“Kali terakhir aku nampak masa dia marahkan Zen semalam. Mungkin dia ada hal yang perlu diselesaikan. Kau janganlah risau.”

“Bagaimana aku tidak risau? Jika dia berjanji, pasti akan ditepati. Anna tidak pernah mungkir janji. Kalau dia ada perkara pentingg, pasti dia akan bagitahu aku tidak dapat datang hari ini.”

“Sabar, Eidan,” kata Karyle. Ini kali pertama Eidan risaukan orang lain selain dirinya. Dari segi pemerhatiannya, Eidan nampak betul-betul sayangkan Annabella.

“Ada apa-apa yang berlaku ke?” tanya Wilda yang baru sahaja sampai.

“Awak ada nampak Anna?” tanya Karyle.

“Saya tidak berjumpa dengan Anna lagi pada hari ini tapi semalam dia ada datang ke bilik saya,” balas Wilda.

“Apa yang dia cakap?” tanya Eidan.

“Kata-katanya agak pelik. Anna bagitahu saya dia perlu melakukannya sekarang. Kalau tidak, sesuatu akan terjadi,” ujar Wilda.

Wajah Eidan sedikit berubah apabila mendengar kata-kata Wilda. Dia tidak akan biarkan Annabella menghadapinya seorang diri. Dia sudah berjanji untuk membantu gadis itu dengan nyawanya sendiri.
Eidan kembali ke kediaman Heroic Knight dan terus masuk ke dalam biliknya. Dia menukar baju yang lebih sesuai untuk mencari Annabella. Pedang Griffin yang berada di atas katil disisipkan di tepi pinggangnya. Kelengkapan lain disumbatkan ke dalam beg dengan tergesa-gesa lalu disangkut ke bahu.

Dia terus menuju ke kandang kuda akademi. Kuda milik Annabella iaitu Ethion masih berada di situ. Kuda itu bukan kuda biasa. Lebih kepada penjaga Annabella. Kepala kuda putih itu diusap. Dia yakin Ethion sangat merindui tuannya.

“Kita pergi cari Anna. Kita cari dia sampai jumpa,” beritahu Eidan.

Ethion pula hanya mendengus sebagai balasan tanda memahami kata-kata Eidan. Ekornya pula bergerak-gerak ke kiri ke kanan. Eidan melompat naik ke atas belakang Ethion.

“Griffin, boleh kau berhubung dengan Pierce?” pinta Eidan melalui minda untuk berhubung dengan Griffin.

“Sekejap...”

Eidan menunggu penuh sabar sambil menunggang Ethion yang laju berlari keluar dari akademi. Dia tidak mempedulikan mata-mata yang memandang.

Maaf Eidan... Aku tidak dapat berhubung dengan Pierce. Dia telah memutuskan hubungan minda kami semua,” beritahu Griffin.

“Boleh kau kesan aura Anna?” tanya Eidan.

Boleh.”

“Di mana Anna berada sekarang?”

Wasteland.”

Eidan mengetap gigi. Dia tahu apa yang Annabella cuba mahu lakukan. Dia tidak boleh biarkan Annabella bersendirian. Perasaannya jadi tidak tentu arah sekarang ini. Dia dapat rasa Annabella berada dalam bahaya. Walaupun dia tahu gadis itu kuat, perasaan risau tidak lekang dari hatinya. Anna... Kau tahu peperangan tidak boleh dielakkan lagi.

Book 1: Annabella Valiant [✓]Where stories live. Discover now