Bab 41: Pengguna Kuasa Cahaya

16.2K 1K 74
                                    

BUNYI letupan tidak putus-putus kedengaran akibat dari serangan cahaya hitam oleh Arae. Disebabkan serangan itu, separuh daripada colosseum hampir musnah. Batu-bata yang runtuh berada di mana-mana. Arae ketawa apabila melihat Annabella dan Eidan tidak dapat menyelamatkan diri dalam runtuhan tersebut. Puas hatinya dapat membunuh keturunan Fryswellendine dan Ralynne.

"Akhirnya, mampus juga kau!" jerit Arae puas hati.

"Bodoh! Kau fikir mereka sesenang itu mahu mati?" Satu suara bergema dalam mindanya.

"Kau cakaplah apa yang kau mahu cakap. Apa yang penting keturunan Fryswellendine dah mati bersama keturunan Ralynne."

"Kau fikir dia boleh mati dengan senang? Kau boleh kalahkan pewaris naga itu? Kau memang bodoh! Dia sudah kumpulkan kesemua Celestial Daggers."

Belum sempat Arae memproses kata-kata suara yang menerjah minda, tubuhnya sudah terpelanting jatuh ke atas tanah akibat serangan mengejut daripada Annabella. Dia memuntahkan sejumlah darah yang agak banyak kerana serangan itu merupakan serangan cahaya berwarna putih. Dia tidak boleh terkena cahaya putih itu. Jika dia terkena serangan tersebut, tubuhnya akan melecur dengan teruk. Untuk memulihkan kembali badannya, dia memerlukan kegelapan malam.

"Giliran aku pula untuk ketawa."
Suara Annabella memecah kesunyian. Dia melangkah keluar dari asap yang tebal. Tiada kesan calar atau luka pada badannya kerana dia menggunakan cahaya untuk menyelamatkan dirinya dan Eidan. Tangan kanannya yang bercahaya mula menghilang.

"Tidak sangka kau boleh terpedaya dengan helah aku yang bodoh, bodoh," ujar Annabella.

Arae yang sedang menahan kesakitan terkejut melihat Annabella dalam keadaan tidak apa-apa. Bagaimana boleh jadi begini? Dia sendiri melihat Annabella dan Eidan dihempap batu-bata yang runtuh.

"Kau lupa sesuatu, Arae. Aku bukan sahaja keturunan Fryswellendine dan Dalylla malah darah Neliant juga mengalir dalam tubuh aku."

Tiga darah keturunan Heroic Knight yang pertama? Bukan ke dalam ramalan aku yang akan menghapuskan Keres ialah Lvanians yang mempunyai empat darah keturunan Heroic Knight yang pertama. Kalau bukan dia, siapa?

"Bukan aku yang ditakdirkan untuk menghapuskan Keres."

"Kau yang menghalang penguasaan Keres." Arae bersuara tidak percaya.

"Aku yang menjadi penghalang tapi bukan aku yang hapuskan Keres."

Arae bangun berdiri. Badannya dibetulkan. Rasa sakit dibiarkan. Dia perlu bunuh Annabella kerana Annabella akan membunuhnya kelak. Arae memunculkan cemetinya kembali.

"Aku akan bunuh kau hari ini juga!" kata Annabella.

"Oh, ya? Kita tengok siapa yang mati dulu." Arae tersenyum sinis.

Cemeti dilibas ke arah Annabella tetapi dapat dielak mudah oleh Annabella. Serangan bertubi-tubi dilakukan manakala Annabella tetap bertahan. Dia cuba mengelak daripada terkena racun yang ada pada cemeti kerana racun tersebut oleh meragut nyawa sesiapa sahaja.
Annabella cuba bertahan dengan pedangnya yang bercahaya dari tadi.

Eidan pula tidah betah melihat Annabella diserang dengan bertubi-tubi. Dia bertindak menyerang Arae menggunakan bebola api yang bercampur dengan petir. Saat Arae leka, masa itulah dia menyerang Arae menyebabkan perempuan berambut hitam itu tercedera. Darah yang mengalir di celah bibir Arae dikesat dengan belakang tapak tangan. Dia merenung tajam ke arah Eidan yang cuba menganggunya berlawan dengan Annabella.

"Kau mahu mati bersama dia?" tanya Arae sinis.

"Aku tidak akan biarkan kau cederakan dia," balas Eidan serius.

Book 1: Annabella Valiant [✓]Where stories live. Discover now