PROLOG

131K 4.7K 587
                                    



"Mibatos kito 'ngoduo,
Do mindalan diti koposion to"

"Kita berdua berjanji, mengharungi waktu bersama selama-lamanya."

_______________________________________

JANTUNG berdebar-debar. Tangan yang menggigil sambil mengawal stereng bot itu memperkemaskan genggaman. Dalam suasana gelap, ombak laut yang sedikit bergelora, angin malam yang bertiup agak kuat seolah-olah cuaca malam ini memberi petanda tidak baik.

Gila! Ya, dia mengaku ini kerja gila. Melarikan diri dari kampung si Lanun tu, dah satu hal. Selepas itu, curi bot pula! Dia yang hidup selama 25 tahun ini tak pernah bawa bot, tiba-tiba jadi pandai. Itupun, dia main hentam sahaja tekan butang yang ada. Tekan minyak dan kawal stereng. Mudah.

"Aduh, apasal rasa macam makin jauh ni?" Soal Husna kepada diri sendiri. Sesekali anak matanya menebar ke sekeliling kawasan yang gelap gelita. Hanya petromax yang dibawa bersama sahaja menyalakan api kecil yang cuma mampu memberi cahaya kepada botnya.

Hati Husna rasa makin gelisah. Tiada gunung. Tiada kawasan untuk mendarat. Sekitarnya dikelilingi dengan air laut yang luas tiada penghujung. Ke mana dia patut pergi? Ke utara, timur, barat atau selatan?

'Itulah, pandai-pandai lagi bawa lari bot orang!' kutuk Husna di dalam hati.

Bawah bibir yang mula terasa sejuk digigit. Lantas, bot yang dipandu laju itu kian perlahan. Dan akhirnya berhenti ditengah-tengah pulau.

Enjin dimatikan. Tangan yang berpeluh-peluh itu digosok sebentar sambil anak mata melilau mencari jalan untuk ke darat. Tatkala ombak laut tidak henti-henti memukul botnya sehingga bergoyang dengan kuat. Rasa hendak terjatuh. Maka Husna duduk agar tubuhnya seimbang.

"Aku cuma nak balik aje... bukan nak sesat. Mana satu utara, mana satu selatan pun aku dah confuse! Satu pokok pun tak nampak, sah-sah aku dekat tengah-tengah pulau ni..." Bebel Husna. Hatinya semakin gusar. Bagaimana kalau dia tak jumpa jalan pulang? Hendak kembali ke kampung si Lanun tadi pun dia dah lupa ke mana jalannya.

Jika dia terus duduk di sini, alamatnya dia akan mati tanpa khabar berita! Jasad hilang entah ke mana.

"Takkan tak ada kawasan nak mendarat langsung?" Soal Husna. Lampu petromax itu dicapai. Dia bangun dari duduk, lalu berjalan ke arah hujung bot secara berhati-hati. Ombak laut masih lagi kuat menghentak botnya.

Sampai dihujung, dia pun menghalakan petromax itu ke arah kawasan yang gelap. Manalah tahu ada tempat untuk dia mendarat bot sementara menunggu esok pagi.

BOOM!!!

"MAKKK!!!" Spontan mulutnya menjerit apabila ombak menghempas kuat mengena botnya hingga bergoyang kiri dan kanan. Tak sempat dia hendak imbangkan badan, tubuhnya sudah jatuh terjelepok di atas bot. Manakala tangannya tanpa sengaja melepaskan lampu petromax itu sehingga jatuh ke dalam air laut.

"Oh my god!" Husna panik. Lekas dia mengintai ke bawah bot untuk menangkap semula satu-satunya lampu yang dibawa bersama. Malang sekali, ia sudah jauh tenggelam ke bawah sana.

"No!!! Lampu aku... " Dia semakin cemas. Sekarang, dia sudah tidak nampak apa-apa lagi. Melainkan cahaya bintang dan bulan yang menghiasi di atas langit yang hitam pekat itu.

"Kenapa? Kenapa kau perlu jatuh?! Sekarang apa aku nak buat? Tolonglah, aku tak suka gelap..." Rungut Husna. Rasa nak nangis pun ada. Satu demi satu perkara terjadi. Kalaulah dia duduk sahaja di kampung itu, mungkin lebih baik. Tak adalah dia perlu menghadap situasi menakutkan ini.

"Yang si lanun tu pun satu. Takkan dia tak sedar yang aku curi-curi keluar? Jadilah hero sikit! Cari aku yang tengah sesat dekat sini!" Bebel Husna, geram. Tidak pasal-pasal, lelaki yang tidak tahu apa-apa itu juga yang dipersalahkan. Padahal, dia sendiri yang buat keputusan gila untuk keluar melarikan diri pada larut malam begini. Rancangan last minute yang tak jadi mengikut plan.

Husna mengeluh berat. Tidak mahu tidak, dia harus tunggu di sini sampai menjelang pagi. Takkan hendak memandu bot dalam suasana begini? Memang tidaklah!

"Esok ajelah aku cari jalan balik ke kampung tu semula..." keluh Husna. Baru hendak tutup mata untuk rehat, tiba-tiba dia dapat menangkap satu cahaya kecil dari jauh yang menuju laju ke arahnya. Nampak macam bot juga. Tapi lebih besar.

Entah-entah... si lelaki itu benar-benar datang untuk menyelamatkan dia?

Mata Husna terus bersinar. Lekas dia bangun dari terduduk di atas bot, kedua-dua belah tangan diangkat sambil dilambai-lambai ingin menarik perhatian si pemandu bot tersebut.

"SINI! DEKAT SINI!!!" jerit Husna, kuat. Tak tahulah mereka dengar atau tidak.

Bot yang kelihatan hendak membelok ke arah kanan itu terus beralih ke arahnya. Jelas jeritannya berjaya menarik perhatian pemandu itu. Syukur sangat!
Adakala dia mendengar ada beberapa suara bercakap-cakap dalam bahasa yang dia tidak faham.

Akan tetapi nada suara mereka kedengaran teruja.

Teruja sebab dapat jumpa diakah?

Ah, tak kisahlah. Janji dia dah selamat sekarang.

Lantas Husna menjatuhkan tangan ke bawah sebaik sahaja bot yang lebih besar itu berhenti disebelah bot kecil miliknya. Kemudian, Seorang demi seorang lelaki meloncat turun masuk ke dalam botnya tanpa izin. Pemakaian mereka lusuh. Di lengan dan leher penuh tattoo simbol tengkorak. Ada bau laut yang melekat pada tubuh mereka. Malah wajah mereka juga nampak bengis. Tidak mesra.

Tidak seperti orang kampung yang dia jumpa di perkampungan kecil itu. Mereka nampak berbeza. Seolah-olah bukan berasal dari sana.

Kemudian, Mereka berjalan memeriksa seluruh bot yang dinaikinya sambil tangan mencekak pinggang. Tak ubah seperti polis yang sedang menjalankan penyiasatan. Tidak pasti apa yang mereka tercari-cari. Mungkin ingin pastikan dia tidak membawa apa-apa peralatan berbahaya atau sebaliknya.

"Line clear!" Kata lelaki berbaju merah itu. Memberi isyarat kepada beberapa lelaki yang ada di atas bot itu bahawa semuanya selamat.

"Kau seorang aje ke?" Tiba-tiba si muka bengis, berambut perang itu menyoal kepada Husna. Garau betul suara. Takut dia dibuatnya. Apatah lagi saat anak mata tidak sengaja mencerun ke bawah melihat sepucuk pistol yang berada ditepi pinggang lelaki itu. Lagilah buat kakinya menggigil. Rasa macam nak jatuh. Tapi dia cuba kuatkan semangat.

Dalam keadaan takut, Husna mengangguk dengan perlahan.

Lelaki bengis itu tersenyum sinis. Setapak demi setapak dia melangkah menghampiri Husna. Tatkala Husna pula masih kaku berdiri. Tidak bergerak. Dia takut. Takut jika dia mengundur selangkah, pistol itu akan diacukan kepadanya.

"Cantik." Pujinya sebaik sahaja berdiri betul-betul di hadapan wanita itu. Barulah dia dapat lihat dengan jelas wajah Husna yang masih pucat. Namun tetap indah dimatanya.

"Kau tahu kau dekat mana sekarang?" Soalnya.

Husna geleng kepala.

"Dekat kawasan aku." Kata lelaki itu.

Tergamam. Mendengarnya terus sahaja mata Husna membulat. Bulu roma serta-merta mencanak naik ke atas. Inikah laluan larangan yang Arjuna pernah ceritakan kepadanya minggu lepas? Automatik dia teringatkan kembali cerita lelaki muda itu, tentang seorang ketua lanun jahat yang akan mengelilingi pulau pada waktu malam untuk menyerang bot yang membawa barangan untuk dijadikan tebusan. Jika tiada siapa yang datang menjadi penyelamat, cuma dua nasib sahaja. Sama ada mangsa bakal dibunuh atau diseksa.

Atau mungkin kedua-duanya sekali. Mengerikan!

Dan yang pasti, dua-dua dia tidak mahu. Kalau benarlah seseorang yang sedang berdiri di hadapan matanya sekarang adalah ketua lanun jahat itu, bermakna sekarang dia sedang berhadapan dengan bahaya.

Tertelan air liur Husna buat sekian kali.

"Pengsankan dia." Satu arahan keluar dari bibirnya.

Mata Husna terbeliak.

"Huh?"

PAP!

Hanya dengan sekali hentakan pada leher, terus tubuhnya rebah ke atas bot. Pengsan.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now