51

32.8K 3.1K 638
                                    

SAAT ini Lanun sedang membantu tuan rumah menyusun makanan untuk tetamu. Bukan dia sahaja, malah Ratna, Arjuna, Rajuna dan beberapa orang kampung kampung turut menghulurkan tangan. Disini sudah terbiasa hidup bekerjasama, saling bantu-membantu tanpa mengira darjat. Itulah yang menguatkan lagi silaturrahim antara mereka.

"Lanun, air ni ko mau sa ampai (letak) di mana?" Soal lelaki yang membawa bekas air agak berat itu.

"Ampai siring (tepi) sana dulu bah. Nanti sa buat." Balas Lanun, memucung bibir ke arah hujung meja tersusun makanan yang masih kosong. Lelaki itu mengangguk kepala tanda menerima arahan, langsung bekas air minuman untuk tetamu itu diletakkan disitu kemudian dia berlalu pergi mengambil kotak tersusun gelas pula.

Selesai menyusun lauk-pauk di atas meja, seraya Lanun bergerak ke bekas air tadi. Membetulkan posisi yang agak senget. Dan apabila lelaki itu kembali bersama kotak berisi gelas, lantas Lanun mengeluarkan gelas satu demi satu lalu menyusun di tepi bekas air agar memudahkan tetamu untuk mengambilnya.

"Sa endak pernah tinguk ko pakai gaung pigi (pergi) kenduri selama ni. Kacak bah ko pakai begini." Tegur lelaki itu, sempat lagi dia memerhati pemakaian Lanun daripada atas sampai bawah. Nampak segak dimatanya apabila Lanun mengenakan pakaian tradisional gaung.

Lanun tersengih apabila dipuji. "Sijalah sa mau pakai. Biar lama-lama dalam almari pun endak ada gunanya juga, kan?"

"Aisehhh... yalah tu." Lelaki itu mengecilkan mata. Dia tersenyum menyeringai.

"Pakai sebab sudah ada sumandak ka?"
Dia meneka. Bahu Lanun ditolak dengan bahunya, sengaja ingin memancing Lanun ke dalam topiknya.

Bibir Lanun tak dapat ditahan daripada terus tersenyum. Hidung mancungnya sudah memerah apabila dia merasa malu. Namun, dia cuba berlagak tenang. Menyusun gelas di atas meja tanpa berpaling memandang lelaki itu.

"Mana ada." Bohong Lanun. Namun riak wajahnya tidak mampu untuk menyembunyikan perasaan yang satu itu.

Kepala lelaki itu terangguk-angguk faham apabila dapat menangkap maksud. Bibirnya masih mengulum senyuman nakal. "Jangan biar dia tunggu lama-lama bah. Kalo sudah suka itu kasi tau sija. Nanti dia pilih yang lain, ko juga yang rugi."

Lanun tergelak kecil. Satu penumbuk dilayang perlahan ke lengan lelaki itu.

"Sa memang akan rugi. Tapi dialah yang paling rugi kerana pilih yang lain." Kata Lanun dengan senyuman, bahu lelaki itu ditepuk sebelum dia menapak ke arah tiga beradik kembar yang sudah siap menyusun kerusi dan meja. Masing-masing nampak lelah. Mana tidaknya jika daripada pukul 7 pagi lagi bekerja. Baru sekarang semuanya siap.

"Bang, lapar ni. Bila boleh makan?" Rungut Rajuna. Perut yang sudah berkeroncong ditepuk-tepuk.

Ratna angguk kepala. Dia pun lapar. Terliur daripada tadi tengok lauk-pauk kenduri yang terhidang. "Betul tu. Kitaorang tak makan lagi daripada pagi tadi. Boleh pengsan kalau macam ni."

Lanun mencekak pinggang. Baru buat kerja sikit dah mengadu lapar. Dia yang paling banyak buat kerja pun boleh tahan lagi. Tapi kesianlah pula melihat mereka menahan lapar. Karang pengsan betul-betul, dia juga yang susah.

Sekejap Lanun menebarkan anak mata ke tepi. Ada beberapa buah keluarga tetamu yang sampai. Tuan rumah pun sedang menyambut kedatangan mereka.

"Tetamu dah sampai. Pergilah makan." Ujar Lanun.

Ratna, Arjuna dan Rajuna saling berpandangan. Dah boleh makan? Langsung mereka berlari ke arah sudut tersusunnya makanan. Sebelum kena berebut dengan tetamu, baik mereka ambil terlebih dahulu.

Kepala Lanun tergeleng-geleng. Adik-beradik siapalah tu?

"Lanun, ko endak mau makan dulu ka? Daripada pagi tadi ko tolong kami. Pasti ko sudah lapar, kan? Pigilah ambil lauk yang ko suka." Tegur tuan rumah, pak cik Ramlan namanya. Rasa terhutang budi sungguh pada niat baik Lanun membantu keluarganya menyiapkan kenduri. Jasa Lanun mungkin tak dapat dibalas dengan duit, hanya mampu berkongsi rezeki dengan makanan kenduri yang ada.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now