Bab 20

26.2K 2.2K 319
                                    

                   GELAP. Tidak nampak apa-apa. Bahkan telinganya masih mampu menangkap bunyi air laut yang tenang dan perlahan. Husna tak rasa dirinya terapung diatas air. Malah  seolah-olah terbaring diatas permukaan yang keras. Walaupun tidak selesa, sekurang-kurangnya tubuh ini tidak kesejukan berada di dalam air. Suasana begini buatkan dia rasa lebih selamat dan mahu terus lena tanpa ada sebarang gangguan.

Dia mahu rehat sebentar. Sekejap lagi sahaja buka mata. Dan fikirkan sama ada dia hidup ataupun telah berada di alam yang lain.

Dan tiba-tiba, wajah Husna berkerut-kerut. Rasa seperti ada air masin yang menitis masuk ke dalam mulutnya. Makin lama makin banyak,  buatkan dia rasa hendak muntah.

Apa benda ni?

Perlahan-lahan kelopak matanya terbuka dengan lemah. Sebaik sahaja melihat kain basah yang diperah sehingga mengeluarkan titisan air ke dalam mulutnya, terus mata Husna terbeliak. Langsung Tangan itu ditepis menjauhi mulutnya, lantas Husna bangun dari pembaringan lalu...

"Puih!" Diludahkan kembali air masin itu ke laut. Rasa nak muntah pun ada apabila rasa masin itu melekat dicelah kerongkong.

"Sedar pun." Kata suara garau itu, terus mengalihkan perhatian Husna ke tepi.

Melihat lelaki berambut putih yang membelakanginya sedang berjalan menuju ke hujung bot. Menarik tali sauh yang berada dibawah dasar sana. Sedikit demi sedikit ditarik sehingga besi pencakak kelihatan, diikat kemas sebelum ditaruhkan ke tepi. Lantas bot yang tidak bergerak tadi mula bergoyang-goyang saat air laut menolak.

"Tak ada cara lain ke nak kejutkan saya semula?" Soal Husna, masih tidak puas hati dengan cara lelaki itu menyedarkan dia daripada pengsan. 

"Habis nak kejut macam mana? Buat pernafasan mulut ke mulut?" Soalan berbalas soalan.

Husna terdiam. Rasanya perahan air masin lebih bagus. Air liur ditelan. Gugup. Dia berdehem beberapa kali sebelum pandangan dialihkan ke sekeliling kawasan. Langsung tak nampak apa-apa, kecuali air laut dan langit yang sudah pun cerah. Mana gunung? Bayangan Ocean Resort dari jauh? Nampak gaya, dia sudah jauh daripada tempat itu.

Haih, perempuan tua itu memang akan terima balasannya bila aku tiba di sana nanti!

Tapi pelik juga, kalau benar dia dicampak ditengah-tengah air laut. Bagaimana lelaki itu boleh berada disini juga?

"Apa awak buat dekat tengah-tengah laut ni?" Soal Husna. Menoleh memandang lelaki itu kembali. Sibuk benar nampaknya. Sekarang dia sedang membetulkan tali pada enjin bot yang sedikit longgar. Mungkin akibat cuaca malam tadi, air laut bergelora dengan hebat sehingga menyebabkan enjinnya hampir rosak.

"Memancing." Sepatah sahaja yang dijawab tanpa menoleh ke belakang.

Husna kerut kening. Memancing? Tetapi dia tidak nampak ada bakul ikan dekat atas bot ini. Apatah lagi alat memancing.
Nak pancing ikan atau nak pancing orang?

"Awak tak nak tanya saya ke macam mana saya boleh ada dekat sini?" Soal Husna. Selalunya pasti akan ada manusia yang bertanya apa yang berlaku atau sebaliknya? Tapi lelaki itu pula langsung tidak menyoalkan apa-apa. Pelik. Entah-entah dia bukan manusia?

"Aku dah biasa jumpa manusia yang timbul dekat sini. Kebanyakannya disebabkan tercampak dari bot. Cuma kali ni, orang itu masih hidup."

Gulp!

Sekali lagi Husna telan air liur. Banyak orang yang dah mati ke dekat sini? Ah, tiba-tiba makin seram sejuk pula. Husna menggosok kedua-dua belah lengannya. Eh, sekejap! Kepala menunduk memandang tubuh sendiri. Bukankah semalam dia mengenakan jaket keselamatan? Kini cuma tinggal pakaiannya sahaja yang masih melekat ditubuh. Anak mata Husna mula melilau ke seluruh bot. Tercari-cari dimana jaket itu berada.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now