35

27.2K 2.4K 480
                                    

                    "KENAPA susah sangat kau nak dengar cakap aku? Bila aku suruh kau duduk diam, bermakna duduk diam-diam dalam kampung tu, dan jangan buat benda yang menyusahkan orang lain! Apahal kau ni degil sangat huh?!" Keras sekali suara Lanun menengking, sehinggakan bunyi enjin bot yang melaju pun tidak mampu menenggelamkan suaranya.

Sakit menusuk ke gegendang telinga yang mendengar. Lebih-lebih lagi Husna yang terpaksa menadah setiap tengkingan lelaki itu. Dan saat ini, Husna hanya mematungkan diri apabila dimarahi. Menunduk bungkam memandang tangan sendiri. Sudah memang salah dia, nak cakap apalagi untuk membela diri?

"Dah tak sayang nyawa huh? Kalau betul dah tak sayang nyawa, sekarang juga aku boleh belah tubuh kau. Curi semua organ tu dan jual ke vietnam! Ramai lagi yang masih sayangkan nyawa dekat luar sana, bukan macam kau!" Bentak Lanun. Seraut wajahnya menyirap amarah.

Adakala rambutnya yang serabai ditiup angin itu diraup ke belakang. Serabut! Benar-benar serabut dengan tingkah-laku Husna.

"Disebabkan kau... bot aku kena rampas! Dan disebabkan kau juga, aku terpaksa gadaikan semua harta yang aku ada kepada mereka! Aku pun tak tahu kenapa aku sanggup buat benda bodoh tu, sedangkan kau langsung tak pernah pedulikan orang lain!  Sepatutnya aku biarkan sahaja kau jadi tahanan Mondu,  biar kau terseksa, merana dan semuanya sampaikan kau rasa diri kau dah tak berharga langsung dalam dunia ni!"

"Jadi buatlah!" Husna sudah tidak tahan lagi manahan jerkahan Lanun. Dia akhirnya turut sama berdiri. Membalas pandangan lelaki itu dengan berani. Siap mencabar lagi.

Lanun terdiam. Namun bibirnya tetap nampak terketap, geram. Muka tegang hingga menampakkan urat-urat dimuka.  Jelas terkesan dengan tutur kata Husna yang mencabarnya. Perempuan itu... memang nak mati dengan aku!

Sedangkan tiga beradik itu sudah mula tak keruan melihat mereka yang saling berbalas pandangan serupa harimau dan singa mahu berentam. Ruang bot ini bukannya besar mana, risau jika ada salah seorang yang bakal tercampak dari bot. Demi keselamatan masing-masing, mereka tak boleh biarkan perkara itu berlaku. Namun, bagaimana hendak masuk campur jika mereka suara pun tidak terkeluar sekarang?

"Kau cakap apa tadi? Ulang sekali lagi..." Gigi Lanun mengancing bersama cerlungan mata garang. Tangannya sudah mengepal. Turut mencabar Husna mengulangi ayatnya jika berani.

"Saya cakap... kalau betul rasa macam tu, jadi buatlah!" Ulang Husna dengan penuh keberanian biarpun dalam hatinya sedang bergetar. Bibir menyinis tatkala melihat riak wajah Lanun yang jelas tersentak dengan apa yang baru dilontarkan.

Apa? Ingat dia kecut perut sangatkah hendak menghadap si Lanun yang seroang ini? Tidak sama sekali!

"Saya dah katakan sebelum ini? Yang saya nak balik ke Ocean Resort! Tapi awak tetap bertegas hendak kurung saya dekat kampung miskin awak tu! Hei, kalau perempuan kampung... bolehlah awak buat macam itu. Tapi saya bukan macam diaorang! Saya rimas bila duduk sana! Semua benda asyik nak ikut tekak awak sahaja!" Bentak Husna penuh perasaan. 

"Saya tak suka duduk dalam rumah buruk awak tu! Tak ada kipas, tak ada Tv, senang cerita tak ada semua benda! Saya bosan, awak tahu tak?! Itu belum cerita bab makanan lagi. Oh, adik-adik awak boleh pula awak bagi makanan yang sedap-sedap? Tapi bila giliran saya, awak asyik beri saya makan ikan! Padahal saya dah pernah ulang banyak kali iaitu SAYA! TAK! SUKA! IKAN! Dan awak tak ada hak, nak paksa saya terima benda tu!!!" Semua yang dipendam terus terluah malam ini dengan penuh emosi.

Lanun agak tersentak pabila mendengarnya.  Kening berkerut. Bagaimana Husna boleh tahu yang adik-adiknya diberi makanan yang mewah? Langsung pandangan singannya berpaling ke arah tiga beradik kembar itu. Menjegil tajam. Ratna, Rajuna dan Arjuna laju sahaja memusing pandangan ke lain. Buat-buat sedang menikmati pemandangan indah di malam hari biarpun sekilingnya kosong dan gelap. 

MR PIRATEWhere stories live. Discover now