38

27.2K 2.6K 533
                                    

                    "BANG, andai kata kita balik ke Kuala Lumpur nanti tanpa Husna. Siapa yang nak uruskan hotel abang tu? Sajalah Dijah tanya, sebab abangkan sekarang macam tak larat untuk bekerja..." Datin Khadijah berpaling ke belakang, memandang suaminya yang duduk di atas birai katil sedang termenung kosong. Segelas air ditangan dan dua biji ubat panadol langsung tidak terusik. Tak ubah seperti orang tua nyanyuk.

Sambil-sambil tangan Datin Khadijah mengeluarkan baju-baju yang berada di dalam almari untuk dilipat dan dibawa masuk ke dalam beg bagasi. Dia masih menanti jawapan daripada Dato Idris dengan senyuman penuh makna.

"Entahlah. Abang pun tak tahu nak harapkan siapa lagi? Mungkin terpaksa  abang kuatkan diri untuk bekerja juga."
Keluh Dato Idris. Otaknya terasa penat. Tak mampu untuk merancang keputusan buat masa sekarang. Dan tatkala denyutan dikepala terasa semakin kuat, mukanya terus berkerut. Tak tunggu lama, dua biji panadol itu terus ditelan disusuli air putih.

"Ish, apa pula macam itu? Nanti kalau abang makin sakit macam mana? Tak pasal-pasal Nanti abang kena tahan dekat hospital. Dijah juga yang sunyi duduk rumah seorang diri..."

"Habis? Awak nak saya buat apa? Takkan nak suruh awak gantikan tempat Husna? Saya tak nak susahkan awak. Lagipun, kerja dekat office tu banyak sangat yang belum diselesaikan. Kesian pada awak yang kena menanggung penat." Ujar Dato Idris.

Dalam tak sedar, bibir isterinya sudah tersenyum senget. Memang itu pun jawapan yang dia nanti-nantikan keluar dari bibir si suami. Sudah lama dia ingin memegang jawatan tinggi di dalam syarikat Paredise milik Dato Idris. Sebelum ini, asyik terhalang dengan Husna. Wanita muda itu tidak habis-habis menghasut suaminya supaya tidak memberikan dia kuasa untuk pegang syarikat itu.

Pakaian yang dipunggah dari almari tadi dibiarkan sahaja bersepah di atas katil, lalu dia terus berjalan menghampiri suaminya. Ruang kosong yang berada disitu menjadi tempat dia melabuh punggung.  Kemudian, tangan Dato Idris diraih lembut.

"Dijah tak kesah pun semua tu. Malah Dijah rela penat demi abang. Kalau abang izinkan Dijah ambil alih tempat Husna, Dijah janji akan buat kerja sungguh-sungguh. Takkan sesekali cuba lingkupkan company abang."

"Bukan itu masalahnya, Dijah. Tapi Husna pernah kata pada abang yang..."

"Alaa... abang janganlah ikut cakap Husna sangat. Dia itukan benci saya? Memang tidaklah dia beri saya ambil alih syarikat tu. Tapi sekarang kita tengah terdesak. Dah tiada pilihan lain lagi.  Takkan abang masih nak ikut cakap Husna?" Laju sahaja Datin Khadijah memotong. Cuba menghasut fikiran suaminya untuk mengikut cakap dia berbanding Husna. Ah, perempuan itu bukannya ada di sini pun! Entah-entah sudah meninggal dunia.

Iyalah, siapa sahaja yang boleh hidup ditengah-tengah pulau Red Zone itu? Sampai sekarang kelibat Husna masih belum dijumpai. Memang sah! Perempuan itu sudah tenggelam ke dasar laut. Padan muka! Selamanya syarikat Paredise itu akan menjadi milik dia selepas semua rancangan diatur dengan baik.

Kemudian, Dato Idris mengeluh berat. Sukar untuk dia membuat keputusan. 

"Nanti-nantilah abang fikir bila dah sampai Kuala Lumpur. Sekarang ni fikiran abang kosong. Tak tahu nak buat keputusan.  Harap Dijah beri abang masa ya?"

Datin Khadijah tersenyum lebar.  Tangan suaminya digenggam penuh erat.

"Baik, bang. Dijah akan sentiasa tunggu jawapan abang. Apa yang Dijah cadangkan tadi, sekadar nak permudahkan urusan abang. Dijah tak suka bila tengok abang kerja dalam keadaan tak terurus macam ini. Anggap sahaja Dijah ikhlas nak tolong." Ujar Datin Khadijah,  pandai sungguh dia menyusun ayat. Membuatkan Dato Idris tersenyum senang mendengar kebaikan yang terluah dibibir isterinya. Terdetik rasa bersyukur di hati kerana dapat isteri yang memahami seperti Datin Khadijah. 

MR PIRATEWhere stories live. Discover now