26

25.9K 2.2K 249
                                    

                    "Ya Tuhan... apa kamurang buat sampai basah begitu?"

Turun sahaja daripada bot, dari jauh kedengaran suara Odu mengucap apabila melihat mereka berdua yang basah lencun. Memang patut pun orang tua itu terkejut, elok rancangan mereka pergi memancing ikan. Tetapi nampak gaya serupa ikan yang pancing mereka sampai kedua-dua sekali jatuh ke dalam air laut.

Lebih kasihan sekali kepada Husna. Sampai bergetar bawah bibir wanita itu menahan kesejukan. Ini tidak lain tidak bukan, tentu kerja si Lanun yang menyakat.

"Kau ni Lanun... nakal betul! kasihan Husna sampai menggigil dia!" Pantas sahaja tangan Odu mengetuk kepala lelaki itu. Tidak kuat. Manja-manja sahaja.

Ha, baguslah. Marah dia lagi, Odu! Jerit Husna didalam hati. Jika boleh, dia pun mahu ketuk kepala si Lanun itu sekali. Lebih kuat. Kerana dialah, aku hampir lemas tadi.

Sedangkan Lanun ketawa mengekek.

"Mana ada sa buat apa-apa, Odu. Dia yang jatuh sendiri." Adu Lanun, siap menunding jari kearah Husna. Tak ubah seperti budak nakal yang curi selipar orang, selepas itu tuduh budak lain yang bersalah.

Tak semena-mena,  Husna pula yang dituduh cuai. Kalau si Lanun itu tidak muncul macam hantu air dari bawah bot, dia pun tidak akan terkejut dan berundur ke belakang. Haih, kecil besar kecil besar sahaja Husna memandang lelaki itu. Tarik rambut putih kesayangan dia tu baru tahu!

Botak terus!

"Kau fikir Odu baru kenal kau satu bulan ka? Perangai nakal kau itu cuma orang kampung sija yang tahu!"

"Eh, mana ada sa nakal! Ada-ada sija Odu ni... sa budak baik tau!"

"Heh, budak nakal rupanya, patutlah..." gumam Husna. Rasanya dia cakap perlahan sahaja, tetapi tak sangka pula lelaki itu dengar. Sehingga mengalihkan pandangan Lanun kearahnya, merenung dia dengan mata mengecil. Terus Husna berpaling ke lain.

Tergeleng-geleng kepala Odu memandang mereka berdua. Dah tua bangka pun, masih nak main tunding-menunding siapa yang salah.

"Oh, sebelum terlupa! Hari ni sa dapat banyak betul ikan. Odu ambillah yang lebih ini." Langsung Lanun menunduk melihat baldi biru yang dipegang, mengeluarkan lima ekor ikan selar kuning yang diikat muncungnya dengan tali. Seraya diserahkan kepada Odu yang lebih arif tentang memasak. Tentu orang tua itu tahu pelbagai resepi menarik yang boleh dibuat. Kalau dia, hmm... goreng atau bakar sahaja yang pakar pun.

"Wah, banyak betul kau dapat. Tapi Odu cuma tinggal sorang sija dirumah, siapa yang mau habiskan ikan banyak-banyak ini? Nanti endak habis, ke tong sampah juga. Membazir."ujar Odu. Dia diam seketika, anak mata mencerun ke arah ikan selar kuning yang dipegang. Kalau buat masak cili api pun sedap juga. Alang-alang ada lima ekor, bolehlah berkongsi dengan Lanun dan Husna.

Kemudian Odu kembali mengangkat wajah memandang mereka berdua.

"Apa kata malam ni, Lanun bawa Husna makan di rumah Odu?" Cadangnya.

Terus membulat mata Husna mendengar. Makan malam dirumah orang tua itu? Alamak, pasti banyak hidangan lauk ikan. Kalau dia buat perangai di hadapan Odu, pasti orang tua itu akan ingat dia cerewet. Tetapi memang cerewet pun. Aish, macam mana ni? Mahu sahaja Husna geleng kepala menolak ajakan Odu, namun si Lanun terlebih dahulu mengangguk kepala tanda setuju.

"Boleh. Nanti malam sa bawa Husna sekali." Kata Lanun.

Apa?

Husna terpanar. Terus dia memandang Lanun yang berdiri disisi.  Sejak bila pula aku kata nak ikut? Habislah!

MR PIRATEजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें