52

33.2K 3.1K 674
                                    

                PINTU diketuk beberapa kali. Tatkala mendengar suara Datin Khadijah mengeluarkan arahan, barulah Mei menapak masuk bersama fail ditangan. Senyuman lebar ditayang kepada wanita tua yang duduk di meja kerja itu. Tempat yang sepatutnya milik Husna kini telah pun digantikan oleh Datin Khadijah buat sementara.

Buat pertama kali, semua staff dapat bekerja dengan tenang. Sebelum ini ada sahaja suara Husna memekak di dalam biliknya. Kan bagus jika setiap hari aman begini. 'Lebih bagus, jika Datin Khadijah mengambil jawatan CEO disini terus', detik hati Mei.

"Datin, ini fail yang Cik Husna pernah suruh saya betulkan semula. Kalau ada mana yang silap, saya akan betulkan dengan segera. Datin boleh check dulu kalau mahu." Ujar Mei, fail hitam itu ditolak ke atas meja.

Tak tunggu lama, Datin Khadijah langsung mencapai fail itu.  Diselak halaman sekali imbas satu persatu. Tak baca sangat pun. Kalau Husna dah pernah tegur, mungkin Mei dah betulkan semuanya. Jadi tak perlulah dia periksa lagi.

"Saya rasa semuanya okay." Komen Datin Khadijah lantas fail itu ditangan tangan sebelum ditaruhkan ke tepi.

Kening Mei berkerut serupa tak percaya. Benarkah? Jika Husna, pasti wanita itu akan mencari dimana kesalahannya juga biarpun sekecil kuman.

"Betul ke, Datin? Tak ada yang salah?" Soal Mei, sekadar ingin memastikan. Kalau sudah hantar ke pihak atasan nanti, tiada peluang lagi untuk dibetulkan.

Datin Khadijah mengangguk. 

"Ya, saya bukan cerewet macam Bos lama awak tu." Sinisnya.

Mei tersenyum.  Makin suka dengan sikap bos baru Hotel Paredise.  Memang jauh beza dengan Cik Husna yang cerewet itu. Lantas, Mei menundukkan sedikit tubuh tanda hormat kemudian berdiri tegak semula.

"Terima kasih, Datin. Kalau dah tiada apa-apa, saya minta diri dulu."

"Eh, tunggu sekejap!" Cepat-cepat Datin Khadijah menghalang ketika melihat Mei yang hampir sahaja berlalu pergi.

"Boleh awak tolong siapkan proposal ini pula? Katanya tentang pengeluaran makanan segera yang akan dibuat tak lama lagi untuk hotel Paredise. " Soal Datin Khadijah sambil menghulurkan fail yang lagi satu.

Mei tidak banyak soal, fail yang dihulur langsung saja dicapai. Diperiksa dahulu. Namun makin lama, kening tebal itu makin berkerut. Kerja ini bukan dalam bidangnya, tetapi selaku CEO yang seharusnya menyiapkan proposal ini sendiri.

Kemudian, Mei angkat muka memandang Datin Khadijah semula. Fail ditutup.

"Maaf, Datin. Tapi ini sepatutnya Datin yang perlu buat, sebab..."

"Tolonglah buatkan untuk saya. Saya ada banyak kerja perlu disiapkan. Tak menang tangan nak uruskan satu persatu. Lagipun, awakkan pekerja? Pekerja perlu ikut arahan bos, bukan?"
Datin Khadijah mula membandingkan pangkat.

Mei mengangguk. Tak menafikan apa yang Datin Khadijah cakap itu adalah benar, tapi tidak semuanya.

"Betul, tapi Datin... saya pun ada kerja lain yang perlu disiapkan..."

"Apa salahnya kalau tambah lagi satu kerja? Saya bukannya beri awak kerja banyak-banyak pun. Tolong ya? Saya hargai sangat jasa baik awak, Mei." Ucap Datin Khadijah bersama senyuman. Langsung tak memberi Mei peluang untuk menolak arahannya.

Tidak mahu tidak, terpaksa jugalah wanita muda itu mengangguk tanda menerima arahan.  Fail itu dipeluk ke dada. 'Satu kerja sahaja, mungkin tak apa.' Bisik hati Mei. 

"Baiklah,Datin. Saya akan cuba siapkan. Datin ada perlukan apa-apa lagi?"

Muncul senyuman penuh makna dibibir. Datin Khadijah angguk kepala. Dia memang menantikan soalan itu daripada Mei. Tubuh disandar ke kusyen mahal itu dengan gaya bersahaja, kedua belah tangan disilangkan ke tubuh.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now