44

28.2K 2.4K 133
                                    

"SEKARANG kita nak pergi ke mana pula?" Soal Husna, dia berpaling ke belakang memandang Lanun yang sedang memandu bot. Adakala topi jerami yang terasa hendak tercabut daripada kepala oleh kerana tiupan angin ditahan dengan sebelah tangannya.

"Langit nampak mendung tiba-tiba. Ada baiknya kita balik dulu." Ujar Lanun, membuat keputusan setelah melihat keadaan cuaca yang kurang baik hari ini.

Husna turut dongak ke langit. Haahlah, gelap betul awan di atas sana. Jelas menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun tidak lama lagi. Sudahlah bot ini tiada bumbung. Jika tiba lambat dikampung, alamatnya basah lencunlah mereka berdua.

Harap-harap sempatlah sampai ke kampung. Dengan kelajuan bot yang sedang membelah air laut, Husna yakin mereka akan tiba disana dengan cepat.
Jangan pula enjin bot buat hal sudah, gerutu Husna di dalam hati.

Dan tak sampai seminit, bot yang melaju tadi kian perlahan. Kening automatik berkerut pelik. Husna pandang sekeliling. Tidak nampak pula bayangan kampung dari jarak jauh. Bahkan sekitarnya masih lagi air laut yang seolah-olah tiada penghujung.

"Kenapa kita berhenti dekat sini?" Soal Husna, bingung. Dia kembali memandang Lanun. Lelaki itu sudah pun berdiri, membuka penutup enjin bot yang diikat dibelakang bot. Nampak gaya, Lanun pun tidak tahu mengapa botnya tiba-tiba berhenti. Dia cuba mencari punca masalah yang berlaku.

Sebaik saja penutup tangki minyak dibuka, mata Lanun terpejam sesaat. Penutup ditangan digenggam kuat-kuat.
Bibirnya terketap menahan perasaan geram di dada.

"Apa dah jadi?" Husna bangun dari tempat duduk tatkala menyedari riak wajah Lanun berubah. Tak tahu mengapa, jantungnya juga berdebar. Seolah-olah akan ada berita buruk yang bakal menjengah ke telinganya buat seketika nanti.

Dan apabila Lanun menayang penutup tangki minyak yang dipegang, Husna tergamam. Matanya membulat.  Seakan dapat menangkap maksud yang lelaki itu cuba sampaikan. Tak mungkinlah...

"Minyak dah habis."

Ayat yang tidak mahu didengar itulah yang keluar dibibir Lanun.

"What?!" Husna terkejut. Kuat suaranya hingga bergema ke segenap laut itu. Ah, sudah. Kalau kereta habis minyak dan tersadai ditepi jalan, ada jugalah insan yang baik hati akan berhenti untuk menolong.  Tetapi sekarang mereka bukan didarat, namun di tengah lautan! Bila masanya akan ada manusia yang lalu-lalang disini?

Malah Lanun juga nampak tertekan dengan apa yang berlaku. Sebelah tangan sudah naik memicit kepala dengan muka berkerut tegang.

"Benda ni tak sepatutnya terjadi, aku selalu isi minyak penuh. Mustahil boleh habis ditengah jalan macam ni? Tak lain tak bukan, pasti adik-adik aku yang guna tanpa kebenaran.  Aishh, budak tiga ekor tu memang tak reti nak isi minyak balik bila dah tinggal separuh!" Dingin suara Lanun kali ini. Geram sangat barangkali.

Tunggulah, sampai kampung nanti memang dia akan kepit tiga telinga itu sampai jadi capang!

"Habis sekarang macam mana? Takkan nak duduk atas bot sampai ada manusia yang lalu ke sini?" Soal Husna.

Bahkan Lanun jongket bahu.

"Entah. Aku pun tak tahu." Balas Lanun, lantas tangki minyak ditutup semula. Kemudian, dia berjalan ke tengah bot. Perlukan ruang untuk berfikir. Kepala menunduk ke bawah, seolah-olah mencari sesuatu. Ekor mata Husna hanya mengikut sahaja ke mana arah lelaki itu pergi.

Mulut Husna melopong. Tak tahu? Senang sungguh jawapan yang Lanun beri. Aish, mulalah hati ini rasa geram hendak membebel. Langsung kedua belah tangannya naik mencekak pinggang.

"Tak tahu? Itu sahaja jawapan awak? Kita sekarang terkandas dekat tengah laut tau, bukan dekat tengah jalan raya! Awak takkan tak check minyak dahulu sebelum kita bertolak ke pasar? Sekarang nak minta tolong siapa? Jangan katakan manusia, lalat pun tak lalu dekat sini! Kalau ada pun, Mondu. Itupun baru sekejap tadi awak belasah geng-geng dia. Buatnya kita terserempak dengan mereka nanti macam mana? Sah-sah mereka akan belasah kita balik!"

MR PIRATEWhere stories live. Discover now