68

33.4K 3.6K 1K
                                    

                  DAH setengah jam Husna duduk di ruangan menunggu wad kecemasan hospital. Pipi dan dahinya yang terluka akibat ditoreh dan ditetak oleh Mondu telah pun dicuci, disapu sedikit ubat. Mujurlah doktor kata lukanya tak dalam mana, kalau tidak sudah sudah tentu berjahit. Dia cuma diberikan krim sapu. Dan beg plastik berisi ubat itulah yang dibelek daripada tadi.

Mata hanya melekat ke situ, namun fikirannya melayang ke lain. Daripada tadi dia menunggu jikalau ada perawat yang lalu-lalang disini membawa khabar tentang Lanun, akan tetapi...

Tiada.

Mereka nampak sibuk dengan kerja masing-masing. Arjuna pula entah hilang ke mana. Katanya nak ke tandas sekejap, tapi sampai sekarang belum tiba. Hendak dekat 10 minit juga.

"Husna!" Jeritan Dato Idris mematikan lamunannya. Husna langsung angkat wajah. Sebaik sahaja menyedari Dato Idris muncul di hadapan mata, Husna langsung berdiri mendapatkan ayahnya.

"Ayah!" Tubuh Dato Idris dipeluk. Tak lama, sebelum ia terlerai dengan sendirinya. Kemudian, anak mata Dato Idris melilau ke seluruh wajah anak perempuannya. Menyedari ada luka dipipi, bibir terus mengetap geram.

"Kurang ajar sungguh penjahat tu! Ayah akan pastikan dia kena hukuman yang setimpal kerana buat anak ayah macam ini!" Desis Dato Idris, dia pun baru balik daripada buat report di balai polis. Waktu itu juga, dia mendapat berita bahawa lanun-lanun yang menyerang bot maritim tadi telah pun berjaya ditangkap. Setelah anggota polis memberitahu anaknya selamat, terus dia dibawa ke sini.

Bersyukur sangat bila dapat melihat wajah Husna semula. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hatinya gusar memikirkan keselamatan anaknya selama berada dalam tahanan lanun itu. Memang dia akan pastikan lanun-lanun jahat itu mendapat hukuman yang setimpal!

Tatkala Husna hanya mampu tersenyum kelat. "Husna tak apa-apa, ayah. Luka sedikit aje ni. Ayah tu... kepala macam mana?"

Melihat kepala Dato Idris yang berbalut, dia pasti kesan tetakan itu agak kuat.

"Kenalah berjahit sikit kepala ni. Tapi ayah bersyukur kerana semua baik-baik aje." Balasnya.

Kepala Husna terangguk-angguk.  Sekejap anak matanya mengerling ke segenap ruang menunggu itu. Tidak silap, Tan Sri Raqib juga ada bersama Dato Idris tadi. Tetapi, tidak pula dia nampak kelibat rakan ayahnya disini.

"Mana kawan ayah yang Tan Sri Raqib tu? Dia pun kena tetak dekat kepalakan? Husna nak minta maaf dekat dia, kalau bukan sebab Husna... pasti Tan Sri Raqib takkan terlibat dalam insiden ni." Ujar Husna, ada rasa serba-salah membelenggu jiwanya.

Namun, Dato Idris geleng kepala tanda tidak tahu. Dia pun turut tercari-cari kelibat rakannya daripada tadi.

"Entahlah. Tadi ada polis tu datang jumpa dia dan beritahu sesuatu. Kemudian dia terus pergi. Tergesa-gesa jugalah. Tak sempat ayah nak tanya dia nak pergi mana." Balas Dato Idris. Husna hanya diam tidak menjawab. Terdetik juga tanda tanya difikiran, apalah berita yang sampai ke telinga Tan Sri Raqib hingga dia tergesa-gesa begitu sekali. Jika ia berita buruk, haraplah Tan Sri Raqib bertabah untuk menerimanya dan kuatkan semangat.

"Husna tunggu sini sekejap boleh? Ayah nak bayar bill di kaunter. Selepas selesai kita balik berehat di hotel." Pinta Dato Idris seketika. Namun, kening Husna berkerut. Perkataan balik itu serupa asing ditelinganya sekarang.

"Balik?"

Dato Idris angguk kepala.  Ada riak pelik tayang diwajahnya. "Ya, balik. Kenapa? Husna ada nak tunggu sesiapa lagi ke disini? Mana ada siapa lagi. Mungkin Husna penat sangat. Tak mengapa, cepat ayah bayar kos rawatan cepatlah kita balik. Tunggu sekejap ya." Pamitnya. Tanpa menanti balasan daripada bibir Husna, dia terus menuju ke kaunter pembayaran. Meninggalkan Husna berdiri keseorangan ditengah ruangan menunggu.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now