85

36.8K 3.7K 855
                                    

                   EMPUKNYA. Dia tak pernah rasa bantal seempuk ini. Terasa diri terbaring di atas tempat yang rata. Terlalu selesa sehinggakan rasa berat untuk mengangkat kelopak mata. Bahkan, sekelilingnya terasa nyaman.  Tidak sesak dan panas seperti di ruang tamu tadi.

Sekejap.

Husna tarik nafas. Ada aroma laut yang sangat menenangkan jiwa. Lembut menusuk ke hidung. Hilang segala tekanan di kepala.  Seakan-akan dapat membayangi ada ombak laut berwarna biru yang sedang menghempas-hempas ke dasar pantai di hadapannya. Dengan angin sepoi-sepoi yang menyapa kulit wajah. Sangat mendamaikan.

Dalam tak sedar bibir tersenyum sendiri.

Rindunya pulau Muhang.

"Sedapnya bau..."

Husna gerakkan tubuh, mengubah posisi mengiring ke sebelah kanan. Ish, makin kuat baunya. Dia benar-benar berada di lautkah sekarang? Dalam keadaan mamai tangan Husna bergerak-gerak meraba ruang di sebelah, terasa seperti tangannya menyentuh sesuatu.

Apa benda pula ni? Buah kelapa ke?

Perlahan-lahan kelopak mata dibuka.  Dan saat dengkuran halus menyapa telinga automatik darah rasa berderau. Hendak terjojol keluar biji mata Husna tatkala menyedari sebelah tangannya kini melekap di pipi Raf. Dan kepalanya pula berbantalkan lengan sasa lelaki itu. Patutlah empuk semacam!

Husna telan air liur. Gugup. Jarak mereka terlalu dekat sehinggakan Husna tidak mampu bernafas secara normal. Hendak bergerak walau seinci pun tidak berani. Kepalanya benar-benar berada di bawah dagu Raf. Secara tak sengaja anak mata Husna mencerun ke bawah, beberapa butang baju melayu sengaja dibiarkan terbuka. Namun Husna faham, mungkin dia panas kerana ada sedikit peluh.

"Dah sedar?"

Husna tersentak. Laju kepala melangut ke atas. Alamak, dia dah terjaga!

Husna mula diserang panik. Baru tersedar tangannya masih melekap di pipi Raf, cepat-cepat Husna tarik tangan semula. Kus semangat! Berdebar-debar jantungnya apabila kelopak mata lelaki itu terbuka. Merenung dia dengan sepasang mata biru dan hazel itu.
Baru sekarang Husna dapat tenung mata cantik Raf secara dekat.

Memang cantik sangat-sangat.  Sampaikan tak sedar matanya asyik melekat disitu. Langsung tak melilau ke lain.

Suami aku ke ni? Soal Husna di dalam hati. Macam tak percaya sahaja di sisinya sekarang adalah seorang suami.

Engko hado?

"Janganlah tenung abang macam itu.
Banyak lagi kerja abang nak buat selepas ini. Takut kalau tiba-tiba abang ubah fikiran..."

Terus hilang lamunannya tatkala Raf mula bersuara. Serak. Pasti lama juga dia tertidur. Cepat-cepat Husna mengalihkan anak matanya ke lain. Eh sekejap. Kenapa aku masih berbantalkan kepala atas lengan dia? Langsung Husna bangkit daripada pembaringan.

Muka berbahang malu. Baru hendak buat-buat betulkan tudung, terasa kepalanya kosong tidak berlapikkan kain. Alamak, siapa pula yang tanggalkan tudungnya?

Ini mesti Mia!

"Ke... Kenapa awak ada dalam bilik ni?" Soal Husna, cuba mengusir perasaan panik. Nasib baiklah baju kurung songketnya masih kekal di tubuh. Nak panggil abang, tapi seganlah pula. 

Raf turut bangkit daripada baring di atas katil. 

"Teman koupusan abanglah. Tak ingat ke Husna pengsan semasa di pelamin tadi?" Ujar Raf. Mengingatkan Husna semula tentang kejadian tadi.

Allah, malunya...

Bawah bibir digigit.  Macam manalah dia boleh terpengsan di hadapan semua orang?

"Maaf sebab saya dah rosakkan majlis. Mata tiba-tiba terasa gelap tadi." Mana tak gelapnya kalau Raf hampir mencium dahinya? Rasa macam nak pengsan sekali lagi bila terbayang tentang itu.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now