27

25.8K 2.2K 305
                                    

                "SAYA dan Nathan dah fikir panjang, kalau Husna masih belum dijumpai. Kami tiada pilihan lain selain libatkan hal ini dengan pihak polis." Jelas suara Tan SriRaqi bersuara di dalam bilik perjumpaan yang sunyi sepi itu, sesekali wajah Nathan yang duduk di sebelah kanannya dipandang.

Lelaki muda itu turut mengangguk kepala tanda menyokong. Lama juga dia dan Tan Sri Raqib hendak membuat keputusan tentang hal ini. Tetapi bila difikirkan keselamatan Husna, mereka harus ketepikan dahulu soal kemegahan Ocean Resort. Mungkin keputusan ini bakal menjejas Ocean Resort apabila berita Kehilangan Husna tersebar ke pihak media, akan tetapi dalam masa yang sama mereka juga yakin Allah itu maha adil. Pasti ada solusinya.

"What?!" Kening Datin Khadijah berkerut. Jelas terpampang riak terkejut saat mendengarkan keputusan itu. Suaranya yang agak kuat semerta mengalihkan pandangan semua yang berada di situ.

"Ke... kenapa nak kena libatkan polis?" Soal Datin Khadijah, suaranya mula tergagap-gagap. Wajah Tan Sri Raqib dipandang, tidak nampak seperti bermain dengan kata-katanya. Jelas. Keputusan yang dibuat adalah muktamad. Semerta hatinya diserbu kegelisahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal diri agar kekal berlagak tenang tanpa menunjukkan reaksi mencurigakan.

"Bukan ke kalau libatkan polis, hal ini akan jadi lebih besar? Kalau nanti tiba-tiba berita ni tersebar ke media, tidak ke nama resort Tan Sri juga yang terkena padahnya? Kenapa nak kena gadaikan nama Ocean Resort? Kita boleh aje teruskan pencarian Husna seperti biasa. Semporna ni bukan besar mana pun, kan?" Ujar Datin Khadijah, bersungguh-sungguh mempertikaikan keputusan yang dibuat. Jangan haraplah dia akan setuju.

Bagaimana jika pihak polis berjaya menemukan Husna? Pasti perempuan itu akan bongkarkan apa yang sebenarnya berlaku terhadap dirinya. Dan akhir nanti, dia juga akan disumbat ke dalam penjara. Hidup didalam tempat terkurung dan sempit itu seumur hidup.

Tidak!

Dia takkan sesekali biarkan perkara itu berlaku.

"Ya. Betul cakap, Datin. Kemungkinan besar nama Resort kami akan terkena kesannya. Tapi bukan ke nyawa Husna lebih penting?" Nathan bersuara bagi pihak Tan Sri Raqib. Diantara nyawa atau nama gah Ocean Resort,  dia lebih pilih nyawa seseorang yang patut diselamatkan. Apatah lagi Husna itu seorang perempuan, sampai bila agaknya dia mampu bertahan ditengah-tengah pulau sana?

"Memanglah penting. Tapi Husna seorang aje yang hilang, bukan satu bot pelancongan hilang sampai nak kena panggil polis untuk mencarinya, bukan? Lagipun, staff yang Tan Sri arahkan untuk turun cari Husna pun belum keliling habis pulau Semporna ni. Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa buat keputusan?"

"Ini bukan soal tergesa-gesa, Datin. Tapi ini melibatkan nyawa. Iaitu nyawa anak Datin sendiri." Balas Nathan. Suaranya agak bergetar saat ini. Cuba mengawal emosi yang tiba-tiba rasa hendak melenting mendengar setiap bait kata yang keluar dari mulut wanita tua itu. Gaya percakapannya, seolah-olah sanggup mengetepikan nyawa Husna semata-mata untuk menyanjung nama gah Resort.

"Ya, saya tahu Husna tu anak tiri saya. Tapi takkanlah kerana dia seorang aje sampai nak kena bertindak macam ini? Saya pun risaukan tentang Husna. Mak mana yang tak risaukan anak? Cuma, tak perlulah bertindak keterlaluan. Manalah tahu dia ada dekat aje dengan kawasan ini? Why not kalau cari sekali lagi?" Bersemangat sungguh Datin Khadijah cuba mempertahankan cadangannya. Siap menggunakan gelaran Mak, biarpun dia sendiri jijik untuk mengaku bahawa dia adalah mak kepada Husna.

Dan tak sangka, dia mampu menarik suaminya untuk menyokong disebelah pihaknya. Dengan mudah sahaja, Dato Idris mengangguk kepala.

"Ada betulnya juga kata Dijah..." setelah lama menyepi, akhirnya Dato Idris membuka mulut. Dia yang daripada tadi menekur ke bawah, perlahan-lahan mendongak memandang wajah rakan kerjanya dan Nathan silih berganti. Jelas kedua-dua anak beranak itu nampak kebingungan. 

MR PIRATEWhere stories live. Discover now