28

26.5K 2.2K 521
                                    

                     DALAM lena, bibir Husna tersenyum-senyum. Tatkala mimpi tentang Mr.Blue kembali menghiasi tidurnya buatkan dia semakin rasa malas untuk buka mata. Tetapi entah mengapa, setiap kali lelaki misteri itu berpaling pasti akan ada cahaya matahari yang terlampau terang menyilau ke arah si dia, menghalang pandangannya daripada melihat wajah lelaki itu dengan jelas. Buatkan Husna merengus dalam tidur. Penuh geram.

Kenapa dan mengapa?

Bilalah agaknya dia dapat lihat muka Mr.Blue sepenuhnya? Dan yang pasti, dia takkan sesekali berasa jemu dengan mimpi yang sama. Datanglah mimpi ini setiap hari sekalipun, dia tidak kesah. Malah lebih suka.

"Dah gila agaknya minah ni... Tengah tidur pun boleh tersenyum macam kerang busuk." Tergeleng-geleng kepala Lanun dibuat. Kedua-dua belah tangan disilang ke dada. Tubuh disandarkan ke pintu. Masih memerhatikan Husna yang terbongkang tidur di atas tilam.

Dengan kain batik yang tersarung dikepala Husna pun sudah senget sebelah. Muka polos yang sedang dibuai mimpi. Sekejap apabila pipi terasa gatal, Husna menggarunya. Dan sambung tersenyum seperti biasa.

Lanun berdecik kecil. Lama-lama diperhatikan, comel juga. Hilang sekejap perangai tak berhenti membebel wanita itu. Kalau buka mata, memang mulut Husna tak ubah seperti ayam. Ada sahaja yang hendak dibicarakan. Bila mata tutup, mulut pun automatik senyap sekali. Cuma dengkuran halus sahaja kedengaran. 

Terasa tenang hidup buat seketika.

Ah, sudahlah. Dia tiada masa untuk berdiri lama disini memerhati Husna sedang tidur. Lantas pintu yang sudah ternganga itu diketuk.

TOK! TOK! TOK!

"Ish, kacau betullah..." Husna merungut. Jika dulu dibandar, loceng rumah selalu mengganggu lenanya. Tetapi disini, bunyi ketukan pintu pula yang mengambil alih. Buatkan dia rasa rimas. Seraya bantal ditarik mendekat, menekup telinga daripada diganggu sebarang bunyi.

TOK! TOK! TOK!

Pintu diketuk lebih kuat.

"Husna, bangun!" Suara garau Lanun sedikit menjerit.  Diselang-seli dengan bunyi ketukan.

Namun kedegilan Husna untuk bangun dari tidur buatkan Lanun rasa geram. Tangannya sudah sakit mengetuk pintu, walhal Husna siap boleh menukar posisi tidur lagi.

"Hoi, dah pagi ni. Bangunlah!"

Husna menukar posisi mengiring ke kiri pula. Selimut nipis yang terselak sedikit dari tubuhnya dibetulkan semula. Mata masih lagi terpejam rapat.

Lanun meraup rambut putihnya ke belakang. Ada juga yang kena simbah air laut pagi-pagi ini...

"Haish... jangan sampai aku masuk ke dalam rumah ni dan kejut kau pakai kaki. Bangun, Husna!"

"Ish, saya bukannya masuk kem askar pun kena bangun awal-awal macam ni... jangan kacaulah!" Bentak Husna. Dia mendengus kecil. Orang tengah sedap-sedap tidur, boleh pula mamat itu suruh bangun. Dah macam ayah pula. Pantang bila anak daranya bangun lewat sedikit, mulalah suara orang tua itu terpekik terlolong menyeru nama dia sehingga bangun. Serabut! Sesekali hendak juga Husna merasa tidur sampai ke tengahari buta.

"Aku cakap, bangun! Bangun sajalah! Kalau aku masuk nanti, tak pasal-pasal orang kampung ingat aku buat apa-apa dekat kau. Kau nak kena tangkap basah dengan aku huh?!"

Dengan mata yang masih terpejam, bibir Husna menyenget sinis. Ceh! Sengajalah itu nak mengugutnya untuk bangun. Macamlah di dalam kampung kecil ini ada JAIS yang membuat rondaan dari rumah ke rumah. Kalau lelaki itu masuk sekalipun, takkan kena tangkap khalwat punya.

Kepala Lanun terangguk-angguk.  Wanita itu masih berdegil nampaknya.

"Tak mengapa. Kalau kau tak nak bangun, tak apa. Aku tak kesah pun kalau kita kena kahwin free...jimat sikit duit aku. Kejap ya..."

MR PIRATEWhere stories live. Discover now