57

34.9K 3.5K 1K
                                    

                 SELAMA seminit Mondu menenggelamkan dirinya ke dalam air laut. Tubuh yang terasa hangat automatik terasa sejuk, dia dapat rasa ketenangan buat seketika. Sekejap Mondu timbul mencuri oksigen sebelum kembali membenamkan muka, adakala dia berenang sehingga ke tempat yang paling dalam.

Dan saat membiarkan diri sendiri tenggelam ke dalam dasar laut buat kali kedua, mata dipejam. Nafas ditahan. Telinganya rasa berdesing di dalam air, tetapi sedikit pun tidak buatkan dia rasa terganggu.

Tika ini, dia bertahan lebih lama di dalam air. Ketika bayangan seraut wajah cantik itu muncul dalam kegelapan, buatkan dia terleka. Terus lupa yang dia masih lagi tenggelam.

Bila agaknya... wanita itu akan muncul semula di hadapan matanya?

"Mondu!" Suara Orlu yang menjerit memanggil namanya terus menyentakkan Mondu. Lamunan tadi lupus serta-merta. Baru tersedar dia semakin ke tempat yang dalam, cepat-cepat Mondu berenang ke dasar cetek.

Kepala dikeluarkan daripada air, dada berombak, nafasnya kedengaran tak teratur saat menarik dan  menghembuskan nafas. Rambut hitam pekat yang jatuh melekat ke dahi itu diraup ke belakang sebelum kepalanya terpusing-pusing mencari figura Orlu. 

Tatkala anak mata tertancap ke arah Orlu yang berdiri di pigiran pantai, berdiri mencekak pinggang sedang menantinya lantas Mondu pun berenang naik ke darat semula.

"Ada terserempak dengan Lanun?" Soal Mondu, nafasnya masih kedengaran lelah kerana berenang tadi. Dengan hanya berseluar jeans basah, tidak mengenakan baju, dia melangkah ke arah lelaki yang sudah sedia memegang kain tuala.

Orlu telan air liur sejenak. Melihat cacah tatoo tengkorak dari bahu kiri sehingga ke paras leher Mondu buatkan dia gugup pula hendak menjawab. Nampak gerun.

"Kami sudah keliling pulau, pigi pasar tempat Lanun jual ikan itu hari pun sudah. Tapi kelibatnya kami endak nampak. Sa rasa... Lanun mungkin tahu yang ko sedang cari perempuan itu? Sebab itulah dia endak bawa si perempuan tu keluar turun ke laut." Ujar Orlu. Itu sahaja yang mampu diberitahu setelah tiga hari dia dan kuncu-kuncu lanun yang lain mengelilingi pulau.

"Ko ada tanya penjual disitu sama ada nampak Lanun atau tidak?" Tanya Mondu lagi, kain tuala dicapai lalu dilap pada bahagia tubuhnya yang basah. Kemudian, bergerak ke leher pula.

Bahkan, Orlu mengangguk. "Sudah. Tapi semuanya bilang endak nampak. Kami siap ugut mereka lagi jika mereka menipu, tapi tetap sija mereka jawab ayat yang sama. Jadi, mungkin betul Lanun endak keluar ke laut sejak beberapa hari ni?"

Mondu cuma diam. Sedang memikir. T shirt hitam yang terletak di atas batu itu dicapai lalu disarungkan ke tubuh. Pelik. Takkanlah Lanun tidak turun ke laut selama tiga hari ini? Atau mungkin Lanun itu keluar pada waktu mereka tidak sedar?

Tetapi tak dinafikan, Lanun itu memang licik orangnya. Jika jalan A mereka sekat, maka dia ada jalan B. Selok belok pulau ini memang tak asing lagi bagi lelaki itu.

"Payahlah kalo begini. Aku perlu jumpa Lanun sendiri untuk bincang tentang perempuan itu."

"Tapi kenapa ko mau betul sama dia? Bukan ka ko ada banyak perempuan murahan di dalam gua tu? Tinggal pilih sija ko mau yang mana." Kata Orlu.

Malahan Mondu menggeleng. Tak, langsung tak sama. Dia melabuh punggung di atas batu besar itu, kotak rokok dicapai lalu satu batang dikeluarkan sebelum diletak pada bibirnya.

Lelaki yang berdiri disebelah langsung mencucuh api pada rokok itu, seakan sudah tahu kerjanya.

Rokok disedut buat sesaat, kemudian Mondu melepaskan satu nafas bersama asap berkepul-kepul keluar serentak melalui hidung dan mulutnya.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now