47

31K 2.6K 546
                                    

"ADUH, semua dah basah. Macam mana ni?" Keluh Husna. Semua baju yang disidai di ampaian pagi tadi habis dibahasi air hujan. Sudahlah ini sahaja pakaian yang dia ada. Haruskah dia pergi ke rumah Odu dan minta baju yang terpakai? Sesekali Husna cuba menyentuh pakaian yang lain. Ah, tetap sama. Lembab juga. Bahkan baju T shirt Lanun yang turut tersidai di sebelahnya juga terkena nasib yang sama.

Kulit kepala yang mula terasa gatal dan tidak selesa digaru. Dia masih belum mandi, sedang menunggu giliran Lanun habis menggunakan bilik air. Dah berapa minit berlalu, lelaki itu masih belum keluar.

Cuci lantai sekali agaknya. Kenapalah lelaki suka sangat mandi lama-lama? Ayah pun sama juga begitu. Tapi bila keluar, pergh! Bau harum semerbak.

Husna langsung mengatur langkah ke belakang rumah. Menuju ke arah kontena bilik air yang terbina disitu. Pintu masih tertutup, bermakna Lanun masih ada di dalam.

"Nak ketuk atau nak tunggu dia keluar?" Soal Husna, perlahan kepada dirinya sendiri. Kini dia berdiri di hadapan pintu. Sebelah tangan sudah bersedia ingin mengetuk, tetapi hati pula yang teragak-agak.

"Ketuk ajelah." Baru tangan ingin dihayun, pintu itu terlebih dahulu terkuak daripada dalam. Susuk tubuh Lanun menjelma dimuka pintu. Hanya memakai sweatpants kelabu dan singlet berwarna hitam, menampakkan bahagian lengannya yang berotot dan maskulin.

Sangkakan Husna sahaja yang terpanar. Malah Lanun yang sedang mengelap rambutnya juga terkaku. Tuala putih yang dipegang dibiarkan tergantung di leher, sebelum anak matanya merenung ke arah Husna dengan penuh tanda tanya.

"Apa kau buat dekat sini?"

Soalan Lanun mematikan lamunan Husna. Pantas kepala digeleng. Pandangan redup itu bertamu diwajah membuatkan Husna sedikit tidak keruan.

Haahlah, Kenapa aku ada dekat sini ya? Lupa pula. Gerutu Husna di dalam hati. kepala digaru.

"Err... oh! Baju saya." Husna baru teringat. Jari laju menunding ke arah ampaian di sebelah rumah. Mata Lanun turut bergerak sekilas ke arah yang ditunjuk. Kemudian, kembali memandang Husna yang sedang tersengih pula.

"Baju saya semua basah. Kalau awak tanya Odu ada baju lebihan boleh tak? Saya... malu nak minta sendiri."

"Baju sahaja?" Sebelah kening Lanun terjongket. Sesekali bahagian hujung tuala dilap pada dahinya.

Husna angguk kepala. Ya, baju sahaja. Yang lain masih ada.

"Kalau macam tu... tak perlu pinjam baju Odu."

Husna tercengang.

"Huh?" Muka habis berkerut ditayang. Kalau tak pinjam, dia mahu pakai apa? Takkanlah hendak pakai singlet hitam sama seperti Lanun. Jangan harap! Boleh buntang mata lelaki ini melihatnya nanti.

Silap-silap kena serangan jantung!

"Ma... mana boleh..."

"Ikut aku." Arah Lanun, sebelum kakinya melangkah keluar daripada bilik air. Tanpa pedulikan Husna yang baru hendak membuka mulut, dia terus menuju masuk ke dalam rumah menggunakan pintu belakang yang dibiarkan ternganga. Tatkala Husna pula hanya mengekor serupa anak ayam. Sambil-sambil itu otak ligat memikirkan ke mana lelaki itu ingin membawa dia.

Apa aje yang ada dalam rumah tu? Mana ada pakaian yang lain, melainkan cuma pakaian milik Lanun. Ah, Jangan cakap yang Lanun hendak memberi baju T shirtnya yang terpakai. Sudah tentu-tentu baju itu pernah berada ditubuh tegapnya itu. Kemudian, hendak diberi pula kepada dia? Aduh, tak boleh nak bayang. Muka Husna sudah meruap merah.

Lanun menghentikan langkah sebaik saja tiba di hadapan almari. Husna yang tak sempat menghentikan langkahnya secara tidak sengaja terlanggar belakang tubuh lelaki itu.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now