33

24.2K 2.2K 236
                                    

                 SAKIT. Belakang lehernya terasa sakit saat ini. Tangan pula seperti diikat. Tidak mampu langsung untuk diangkat. Niat dihati ingin mengurut belakang batang leher yang terasa lenguh, namun Husna tidak mampu. Dengan perlahan-lahan Husna membuka mata. Sekelip mata hidungnya mencium bau yang tidak menyenangkan. Buatkan kepala ini terus diserang rasa pening dan hendak muntah. Busuk yang teramat. Seakan-akan bau bangkai lama yang dibiarkan mereput.

Sebaik sahaja mata dibuka. Alangkah terkejutnya Husna apabila mendapati dirinya di dalam sebuah gua yang agak suram. Setiap penjuru dipasangkan obor-obor. Jauh disudut sana, Husna dapat melihat ada beberapa orang wanita lagi sepertinya sedang terikat. Mereka semua nampak kurus tak berisi. Sehinggakan jelas bentuk tulang yang tak ubah seperti rangka mayat hidup. Muka pucat lesu. Tak bermaya. Entah berapa hari, minggu atau mungkin bulan mereka tak diberi makan dan minum. Jika diberi sekalipun, mungkin jumlahnya cuma sejemput.

"Aku dekat mana ni? Lepaskan aku!" Husna terus meronta pabila melihat nasib-nasib wanita itu. Tatkala kepada menunduk memandang tubuh sendiri, baru dia sedar kaki dan tangan sudah terikat kemas. Degupan di dada menjadi semakin laju. Pelbagai persoalan muncul dimindanya saat ini. Atau lebih tepat, apa yang akan terjadi kepada dia selepas ini.

Ya Tuhan, tolong selamatkan aku!

"Sa akan mati, dia akan mati, kau pun akan mati! Semua orang akan mati..." Suara wanita itu terkumat-kamit mengulangi ayat yang sama. Kepalanya sudah tidak betul. Sepasang mata lebam itu asyik melilau memandang sekeliling gua penuh ketakutan. Seolah-olah takut akan kemunculan seseorang di dalam kesuraman gua ini, dan menyeksa dia sehingga tiba ke penghujung nyawa.

Tapi siapa?

Husna telan air liur.

"Bangun sudah dia..." Suara garau itu bergema sekali dengan tapak kaki menuju masuk ke dalam gua. Seram yang amat. Husna beranikan diri untuk berpaling ke arah lelaki bengis yang sedang tersenyum sinis kearahnya. Diekori dua orang kuncu kemas memegang senjata m16 rifle, dan mungkin salah satu peluru itu akan memakan dirinya malam ini.

Dia kemudian mencangkung di hadapan Husna. Menatap wajahnya yang jelas pucat ketakutan. Sama seperti manusia yang lain apabila bertembung dengannya. Inilah riak wajah yang dia nanti-nantikan.

"Cumil betul bah kau ni... sa endak pernah lagi jumpa sumandak macam kau. Kalau didarat itu mungkin biasa, tapi ditengah laut... tertanya juga apa kau buat seorang diri di sini. Aku kenal bah bot itu. Itu bot Lanun, bukan? Dia yang suruh kau masuk ke kawasan ni huh? Apa yang dia suruh kau buat?"

Husna pantas geleng kepala. Mungkin lelaki ini dah salah faham. Dia bukan orang upahan Lanun untuk mengintip kerja terkutuk mereka.

"Bukan. Dia tak suruh saya masuk kawasan ni pun.  Saya bukan orang suruhan Lanun atau apa-apa sekalipun yang Encik fikir. Sa... saya yang tak sengaja masuk ke sini. Saya minta maaf sangat-sangat, tolong jangan apa-apakan saya... saya janji saya takkan beritahu sesiapa tentang hal ni..." rayu Husna dengan nada suara bergetar. Mengharapkan ada belas kasihan terhadap lelaki itu, malang sekali dia cuma tersenyum menyenget.

"Bukan orang Sabah rupanya..."

Mata Husna membulat. Tanpa sedar identitinya sudah terbongkar sebelum sempat si dia memaksa.

Lelaki itu ketawa. Mengejek sekali bunyinya.

"Lagilah mustahil kalau orang semenanjung ada disini. Tidak lain tidak  bukan, kau dari resort yang baru dibuka itu. Memang rezeki sa betul sebab dapat jumpa kau tanpa perlu menceroboh masuk ke sana. Pasti kau ini anak orang kaya, bukan?"

Husna menggeleng dengan laju. Teringat cerita Rajuna semalam, buatkan dia semakin takut jika identiti seterusnya dapat dikorek. Bagaimana jika ayah akan diugut untuk mengeluarkan sejumlah wang yang dia mahukan? Tidak! Perkara itu tak boleh terjadi!

MR PIRATEWhere stories live. Discover now