65

32K 3.3K 920
                                    

SEPANJANG perjalanan di atas bot, Husna hanya diam menatap pulau yang gelap itu. Betapa beratnya hati untuk meninggalkan tempat ini, seakan dunianya telah pun sebati di Semporna. Dan pada waktu itu jugalah, segala memori yang tercipta semasa dikampung muncul satu persatu pada kotak fikirannya. Lagilah buatkan dia rasa rindu yang tiada pengubatnya.

Kemudian, Husna tunduk ke bawah. Membelek gelang hiasan cangkerang yang masih kekal dipergelangan tangan kanannya. Automatik wajah Lanun muncul dimata. Mereka sudah berjanji untuk sama-sama pulang ke darat, tetapi...

Kenapa cuma dia sahaja yang pergi?

Adakah Lanun akan mencarinya semula? Atau, mereka akan dipisahkan lagi dengan darat dan lautan.

"Ayah tak mahu Husna teringatkan tentang lelaki tu lagi. Pulang sahaja ke Kuala Lumpur nanti, ayah nak Husna lupakan segala-galanya tentang dia. Dekat bandar tu, ada banyak lagi lelaki yang lebih bagus daripada dia." Dato Idris bersuara, entah apa lagi yang dia masih belum puas hati dengan lelaki kampung tadi. Apa sahaja yang dibebelkan, Husna cuma diam. Tidak mengiyakan, tidak juga menidakkan.

"Ayah tak faham macam mana Husna boleh ikut dia balik ke kampung tu? Kalau tidak kerana kawan Mak yang hantar gambar tu, mungkin sampai bila-bila dia sorok Husna dekat sana! Entah apa pula yang dia akan buat dekat kamu selepas itu..."

"Idris, kau tak patut fikir buruk tentang lelaki tu walaupun kau tak suka dia." Sampuk Tan Sri Raqib yang berhadapan dengan Dato Idris. Setiap cemuhan yang keluar daripada bibir rakannya kepada lelaki tadi buatkan dia terkena bahang yang sama. Panas. Biarpun angin laut bertiupan tanpa henti.

Namun, Tan Sri Raqib cuba menahan diri daripada menunjukkan emosi. Kekal tenang kerana mereka masih berada di atas bot yang sedang melaju. Macam-macam perkara buruk yang boleh berlaku tanpa sedar.

Dato Idris tersenyum sumbing.

"Macam mana aku tak fikir buruk kalau dia bawa lari anak aku?" Tak semena-mena Dato Idris menuduh tanpa bukti.

"Kalau itu niat dia, Husna takkan selamat disisi kau sekarang. Kau langsung tak beri dia peluang untuk jelaskan apa yang berlaku." Kata Tan Sri Raqib, tegas.

"Untuk apa aku beri dia pulang kalau sedikit pun aku takkan percayakan kata-kata dia? Kau pun lihat sendiri kehidupan dan pakaian lelaki itu macam mana? Tak terurus! Apa lagi yang dia fikir melainkan ambil anak aku untuk minta duit?"

Tan Sri Raqib mengetap bibir. Geram. Tak sangka, rakannya cuma menilai daripada sudut pandangan sahaja. Andai Dato Idris tahu siapa lelaki yang dikatakan tidak terurus itu, pasti persepsinya berubah 190 darjah.

Baru sekarang Tan Sri Raqib faham mengapa Raf menyuruhnya kekal diam tanpa memberitahu status sebenarnya. Nyatanya, Raf cuma mahu Dato Idris menerima dia seadanya tanpa sebab dia adalah anak kepada beliau.

"Kau pun sama Raqib, kenapa kau macam nak pertahankan dia? Semasa dikampung tadi pun, kau pandang dia macam sesuatu." Dato Idris bersuara lagi.

"Kau kenal siapa lelaki kampung tu?" Soalnya.

Tan Sri Raqib terdiam. Sekejap anak matanya teralih ke arah Husna yang duduk disisi ayahnya. Turut memandang dia seakan ingin tahu juga. Hati berbolak-balik memikirkan sama ada dia patut berterus-terang atau menunggu Raf beritahu sendiri.

Tapi lambat-laung dua beranak itu akan tahu juga. Jadi, apa salahnya jika dia beritahu hal yang sebenar. Namun, baru sahaja Tan Sri Raqib hendak membuka mulut, ada suara yang mencelah.

"Tuan, ke sini sekejap. Ada sesuatu yang saya nak tunjuk!" Kata lelaki beruniform serba hitam itu, memanggil ketua mereka yang berjaga di belakang bot.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now