42

28.2K 2.5K 412
                                    

AWAL pagi subuh lagi Husna dan Lanun bertolak ke rumah Odu. Mengangkat kesemua bakul haiwan laut yang hendak dijual dan pindahkan ke bot. Buat seketika, Lanun berdiri sambil mencekak pinggang. Memerhati setiap bakul yang sudah diangkut masuk ke dalam bot miliknya. Adakala dia mengira, takut-takut ada yang tertinggal.

Hmm...

Rasa macam ada kurang satu bakul. Iaitu bakul berisi buah kelapa. Tak silap, bakul itu dia serahkan kepada Husna sahaja yang bawa. Kepala Lanun mendongak, anak mata melilau mencari kelibat wanita itu.
Ke mana pula dia pergi? Sepatutnya Husna yang sampai di atas bot ini dulu.

"Erghh... beratnya!"

Gedebuk!

Bakul berisi buah kelapa itu terhentak ke tanah. Tubuh Husna membongkok, nafasnya kedengaran lelah dek mengusung bakul yang agak berat ini. Setelah berpuluh minit, barulah dia sampai. Itupun seluruh tenaganya sudah habis diperah. Dia dah tak larat nak angkat lagi.

Selesai mengambil nafas penat, Husna mendongak kepala memandang Lanun yang sudah menunggu di atas bot. Lelaki berbaju putih berlengan panjang itu sedang mencekak pinggang melihat dia sambil kepala menggeleng.

"Kalau begini gayanya, sampai esok pun belum tentu kita sampai pasar. Beri kerja ringan pun kau tak boleh nak buat! Tinggalkan dekat situ, biar aku yang bawa." Tak tunggu lama, Lanun terus melompat turun daripada bot. Lengan bajunya disenteng hingga ke siku, memudahkan dia untuk melakukan kerja. Sampai sahaja di hadapan Husna, terus bakul kelapa itu diangkut bawa masuk ke dalam bot.

Husna menjeling sambil bibirnya mengolok-olok mengikut bebelan Lanun dari belakang. Mengejek. Ceh, memanglah kerja itu ringan bagi Lanun. Tengoklah badan dia macam mana, tegap, maskulin dan gagah. Nak dibandingkan dengan wanita sepertinya yang cuma membekalkan lemak pada perut memang jauh beza.

Tak terdayalah nak angkat!

"Ringan bagi awak, bukan bagi saya. Kerja-kerja macam ni selalunya lelaki yang buat, bukan perempuan!" Balas Husna. Petah menjawab sungguh.

Lanun tidak berkata apa. Siap menyusun bakul buah kelapa bersama bakul ikan yang lain, dia kembali turun daripada bot. Melangkah menghampiri Husna yang masih tercegat ditempat tadi. Topi jeraminya yang senget sedikit diperbetulkan. Dia memerhati pemakaian Husna dari bawah sampailah ke atas. Memakai T shirt putih sama sepertinya dan juga seluar tracksuit hitam juga sama. Bibir Lanun menyenget.

Mereka berdua tak ubah seperti pasangan suami isteri yang hendak turun ke laut menjual ikan.

"Kau memang plan nak pakai baju sama macam aku ke?" Soal Lanun, mula mengusik.

Husna tayang mimik muka menyampah. Tiada masa dia nak buat plan bagai. Wajah Lanun yang tersenyum-senyum itu dipandang.

"Jangan nak perasanlah. Semua ni kebetulan. Ini sahaja satu-satunya T shirt yang tinggal, yang lain masih lagi lembab dekat atas ampaian. Kalau ada baju yang lain, dah lama saya tukar."

"Aku tak kesah pun kalau pemakaian kita sama..." Lanun mara setapak mendekati Husna.

"Susah sedikit orang dekat pasar nanti nak goda kita. Pasti mereka ingat, aku suami kau. Selalunya orang kampung dekat sini akan pakai baju sama warna dengan pasangan mereka supaya tiada siapa cuba untuk mengorat."

"Kalau macam tu, saya nak tukar baju balik!" Cepat-cepat Husna mahu menukar pakaian yang dipakainya sekarang. Baju lembab pun lembablah, asalkan orang kampung tak fikir mereka suami isteri. Malulah!

Namun, tak sempat Husna ingin melangkah pergi. Tangan Lanun lebih laju menarik belakang baju putih itu. Menghalang Husna daripada pergi ke rumah dan menukar pakaian.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now