BAB 1

66.8K 3.6K 1.1K
                                    

                    DEBUSH!

TUBUHNYA terus tenggelam ke dalam air laut. Kedua-dua belah tangan terkapai-kapai cuba untuk berenang ke permukaan air. Malah tenggelam terus ke bawah. Oksigen semakin lama terasa semakin menghilang. Dada terasa sesak. Rongga hidung terasa pedih saat air laut masuk.

Dalam samar-samar, dia melihat bayangan tinggi yang berdiri di atas titi kayu itu. Langsung tidak bertindak panik saat melihat dia yang sedang lemas.  Masih boleh berdiri dengan tenang bersama senyuman penuh sinis.

Adakah orang itu...

Sememangnya menantikan saat ini?

Untuk melihat dia mati dalam keadaan yang terseksa?

Oksigen semakin menghilang. Entah berapa banyak air laut yang sudah ditelan. Sehingga perut terasa mengeras. Tangan yang daripada tadi terkapai-kapai meminta pertolongan, kini terhenti. Kelopak mata yang kemerahan menahan pedih air laut, sedikit demi sedikit tertutup. Tubuh remaja itu semakin tenggelam jauh ke dalam.

Mungkin ini takdir yang telah tertulis.

Dia akan mati dalam keadaan lemas dan tenggelam jauh ke dasar laut.

'Mak... kita akan jumpa tak lama lagi.' bisik hatinya. Dia reda jika ini ketentuan yang maha Esa.

DEBUSH!

Bunyi percikan air dari atas. Seolah-olah ada yang berani terjun ke dalam air laut yang dalam ini. Dia sudah tidak berdaya untuk membuka mata melihat siapa si penyelamat. Namun tubuhnya terasa seperti ditarik dan dibawa bersama-sama berenang ke atas.

"Ui!" Pipinya ditampar-tampar saat tubuhnya dibawa ke darat. Pasir halus melekat diseluruh tubuh. Muka pucat membiru. Bibir menggelupas. Masih tidak sedarkan diri.

Biarpun mata sudah tidak terdaya untuk terbuka semula. Tetapi telinga masih dapat mendengar desahan suara yang begitu cemas. Orang itu... pasti sedang panik.

"Bangun! Hei!" Tubuh digoncang-goncang.

"Uhupai! Uhupai!" Jerit suara itu. Dengar seperti sedang meminta pertolongan dalam bahasa yang dia sendiri tidak faham. Malang sekali, tiada sesiapa pun disitu melainkan mereka berdua sahaja. Sudah tiada cara lain. Dia tidak boleh  terus menunggu bantuan tiba.

Gadis ini... mungkin boleh mati!

Langsung kepala gadis  itu di dongakkan sedikit. Memudahkan aliran saluran udara untuknya. Hidung dipicit. Tanpa menunggu lama, terus dia menundukkan wajah. Melakukan pernafasan dari mulut ke mulut seperti seorang yang profesional.

"UHUK!" Semerta air laut termuntah keluar dari mulutnya saat diberi hembusan nafas ketiga. Tubuh masih lagi lemah. Nafas tercungap-cungap mencari oksigen yang tadinya menghilang. Kelopak mata sedikit demi sedikit terbuka. Pandangannya masih lagi samar-samar.

"Saya dah mati ke?" Soalnya lemah. Entah dimana lucunya hingga membuat lelaki itu tergelak kecil. Kepalanya kelihatan seperti menggeleng. Bibirnya menyengih hingga menampakkan barisan gigi cantik yang tersusun rapi. Gembira apabila dia sudah sedar.

"Tak. Kau masih hidup." Dia bersuara.

Sepasang kening itu terjongket ke atas. Benarkah?

"Saya belum mati?"

Kepala itu mengangguk.

"Tapi kenapa saya nampak bidadari lelaki yang kacak sekarang?" Soalnya dengan muka berkerut. Dalam samar-samar, dia dapat melihat kulit putih merah jambu lelaki itu yang begitu cantik. Kening lebat yang terukir kemas. Bibir mungil yang begitu manis apabila tersenyum. Dan anak matanya... begitu indah sekali saat dipandang. Warna biru jernih air laut yang membuatkan dia terus tenggelam ke dalamnya.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now