23

26.6K 2.1K 420
                                    

                    SELURUH langit bertukar jingga tatkala senja datang menjelma. Angin bertiup dengan perlahan, menyapa seluruh tubuh Mia yang kedinginan. Dan apabila dia terasa sejuk, lengan digosok-gosok menghasilkan kehangatan. Kosong. Tiada manusia lain yang kelihatan disini. Selepas berita tentang Husna tersebar ke seluruh telinga, ramai yang takut untuk turun ke jeti sekarang. Mereka lebih memilih menghabiskan masa di dalam resort.

Laut yang tenang diamatinya. Nun jauh disana, mungkin Husna berada. Hari sudah pun hampir senja, moga-moga wanita itu sentiasa dilindungan oleh Allah S.W.T. Dan tatkala bibirnya tiba-tiba tersenyum nipis apabila teringatkan persoalan Husna beberapa hari lalu. Wanita itu pernah bertanya kepadanya, apa ada dihujung laut sana? Mungkin sekarang, Husna sudah bertemu jawapannya.

Dan harap-harap dia masih ada peluang untuk mendengar cerita daripada mulut  rakan baiknya sendiri. Sungguh, rindu dihati sudah berat hendak ditanggung. Dia benar-benar rindu mendengar suara Husna mengadu masalah kepadanya setiap kali berjumpa.

"Husna will be fine." Sampuk suara Nathan secara tiba-tiba membuatkan bahunya sedikit terhinjut. Lamunan kosong terus terpadam. Mia menoleh ke sebelah, melihat Nathan yang sudah pun berdiri di sisinya dengan sebelah tangan berada didalam poket seluar. Sedang menatap pemandangan yang sama. Bersama senyuman kecil dibibir. Anak mata biru itu nampak lebih indah apabila terkena cahaya langit jingga sekarang.

Mia menjuih bibir. Dia kembali memandang ke hadapan.

"Macam mana Encik Nathan boleh yakin yang Husna selamat? Dekat hujung laut sana, entah apa yang ada. Macam-macam bahaya yang boleh datang tanpa kita sedar."

"Kalau ada bahaya, pasti ada penyelamatnya. Tentu ada yang dah selamatkan Husna sebelum saya turun ke laut." Kata Nathan.

Mia menggeleng tidak setuju. "Tak mungkin ada penyelamat ditengah-tengah laut. Saya tak percaya kalau ada manusia yang boleh hidup disini. Dekat sini mana ada apa-apa. Encik Nathan cakap macam itu, cuma nak tenangkan hati saya. Tapi hakikatnya, saya takkan pernah tenang selagi tidak lihat wajah Husna betul-betul dihadapan saya sekarang."

"Macam mana awak tahu tiada manusia di sini?" Nathan menyoal. Dia memandang Mia. Wanita itu menjongket bahu. Entah. Kalau memikirkan menggunakan logik akal, mustahil ada manusia yang hidup di tengah-tengah pulau begini.

"Awak pernah dengar perkampung orang asli tak?"

Kening Mia berkerut. Mengapa tiba-tiba sahaja buka topik tentang perkampungan orang asli? Bukankah sekarang mereka sedang berbincang tentang topik Husna? Namun, kepala tetap diangguk tanda pernah. Siapa sahaja yang tak tahu tentang itu?

"Kalau dalam hutan, ada orang asli yang boleh hidup. Tak akan jadi mustahil, dekat hujung sana... ada manusia yang hidup juga." Ujar Nathan, sambil menunding jari kearah jauh nun disana. Dimana jatuhnya matahari terbenam. Melihat beberapa ekor burung camar yang terbang balik ke sarang masing-masing.

"Abang saya pernah cakap, manusia ni boleh hidup dekat mana-mana aje. Sebab Allah dah ciptakan bumi ini memang untuk hamba-hambaNya. Dalam hutan ke, ditengah-tengah laut sekalipun... Allah akan tetap berada disetiap penjuru kita dan bantu kita. Ia mungkin kedengaran mustahil bagi manusia, tapi tak mustahil bagi-Nya. Cuma perkataan yang ringkas, Kun Fayakun. Bila mana Allah berkehendak, maka jadilah." Ujar Nathan, panjang lebar.

Tersenyum bibir Mia apabila mendengarnya. Kepala diangguk perlahan. Tidak dinafikan, pesanan abangnya itu sangat berguna dan membuka minda sempitnya. Dalam dunia ini, cuma Tuhan sahaja yang berkuasa. Jodoh, ajal dan maut, DIA yang tentukan. Jadi tidak boleh kata mustahil, jika Husna boleh terselamat di tengah laut sana dengan izin yang Maha Esa.

"Untung Encik Nathan, ada abang yang selalu ingatkan tentang semua itu." Puji Mia.

Nathan turut tersenyum. Ya. Dia pun kadang kala rasa bertuah. Tapi adakala tidak juga. Abangnya itu sekejap baik, sekejap ambil kerja part time menyakat dia 24 jam jika balik ke darat. Tak tenang hidup bila lelaki itu pulang ke rumah. Namun bila dia tiada, sunyi pula.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now