79

27.5K 3.2K 406
                                    

                "EHEM!" Mia buat-buat berdehem. Sengaja memecahkan suasana janggal mereka di ruang tamu. Melihat Dato Idris dan Husna saling berbalas pandangan tajam, manakala dia pula seperti orang tengah yang menjadi 'penonton'. Bahkan, dia juga tidak menjangka kehadiran Dato Idris pada malam ini. Tahu-tahu buka pintu utama, Dato Idris sudah tercongok di hadapan pagar.

Sebagai tuan rumah, haruslah dia jemput Dato Idris masuk meskipun Husna pada mulanya memberi isyarat untuk tidak benarkan. Akan tetapi siapalah dia hendak menghalau orang tua itu pergi? Lagipun, dia juga ada salah dengan Dato Idris kerana biarkan Husna duduk di sini selama berminggu-minggu. Langsung tak pujuk untuk balik ke rumah asal semula.

Lantas, Mia bangkit daripada sofa. Wajah Dato Idris di pandang dengan sengihan.

"Saya buatkan air ya, Dato?" Pamit Mia. Itu sahaja alasan yang paling munasabah muncul di kepala untuk berikan ruang kepada dua beranak itu berbincang. Dia tak mahu jadi pengganggu, oleh itu lebih baik dia pergi.

"Tak payah!"

Langkah Mia automatik terpasung saat Dato Idris menghalang. Tak jadi dia hendak ke dapur.

"Saya datang sini sebab nak jemput anak saya balik, bukannya nak minum air!" Tegas Dato Idris berkata. Matanya masih melekat pada Husna yang duduk di hadapannya. Masih lagi dengan riak wajah yang sama. Tegang.

Sekonyong-konyong bibir Husna terjuih apabila mendengar perkataan anak saya. Dia tak rasa gelaran itu masih berguna kepada dirinya setelah melangkah keluar daripada rumah agam Dato Idris.  Rasa macam lucu pula. 

Sudahlah datang pun secara tiba-tiba, selepas itu mahu paksa dia balik? Kalau minta maaf dahulu tak mengapalah juga, ini tidak! Terus gunakan cara kasar dengan menggunakan gelaran 'bapa dan anak' supaya dia dengar cakap.

"Pergi kemas baju. Masuk kereta." Dato Idris mengarah dengan begitu selamba.

"Dah berminggu-minggu Husna duduk di sini sampaikan dah terasa selesa. Tiba-tiba muncul dan paksa Husna untuk balik? Selalunya ayah akan bertindak ikut cakap perempuan itu sahaja. Apa lagi yang dia hasut ayah? Takkan dia pujuk ayah untuk bawa Husna balik kut?" Husna berdecik kecil. Muka penuh mengejek ditayangkan. Kepala digeleng-geleng. 

"Tak mungkinlah. Dia mungkin jadi orang pertama yang seronok masa Husna keluar daripada rumah itu..."

"Kamu cakaplah apa pun, ayah tak kisah. Sekarang ni, ayah cuma nak anak ayah balik ke rumah asal dia. Bukannya menumpang di rumah orang macam pengemis tiada tempat tinggal!" Hambur Dato Idris, mula hilang sabar. Dada berombak turun dan naik. Jujur, dia rasa malu dengan tindakan anak perempuannya yang menumpang di rumah orang. Kalau pihak media tahu, mulalah timbul spekulasi yang bukan-bukan. 

'Anak Dato menumpang di rumah kawan.' Tidakkah tajuk itu akan merosakkan imej dia sebagai Dato Idris? Seolah-olah dia sudah jatuh miskin sampaikan anak sendiri kena menumpang rumah orang lain.

"Apa salahnya kalau Husna menumpang sekalipun? Mia pun tidak kisah!" Balas Husna, berani. Siap menunding jari ke arah Mia yang mengangguk kepala tanda sokong.

"Oh, atau ayah malu jika ada orang lain tahu yang anak perempuan ayah ni lari dari rumah huh?" Soal Husna dengan sebelah kening terjongket. Sinis.

Riak wajah Dato Idris terus berubah. Bibir diketap. Seakan sedang menahan geram.

"Ayah mungkin akan malu kalau orang bercakap-cakap tentang anak ayah lari rumah. Tapi ayah akan lagi malu kalau orang dapat tahu yang anak perempuannya tergila-gilakan lelaki kampung yang tiada masa depan tu!"

MR PIRATEWhere stories live. Discover now