Bab 17

23.2K 2K 294
                                    

             TIBANYA waktu makan malam, di Buffet ada menghidangkan pelbagai jenis pencuci mulut untuk para tetamu. Sejujurnya, Husna rasa tiada selera untuk makan dek kerana asyik teringatkan hal petang tadi. Bosan sungguh dia hari ini.  Tiada teman untuk diajak berborak. Kalau ada Internet, bolehlah juga dia layan Netflix. Namun, perut ini pula tidak beri kerjasama. Asyik berkeroncong daripada tadi. Mana tidaknya, petang tadi misi membeli kek pelangi musnah disebabkan lelaki tak dikenali itu.

Dengan rasa malas Husna mencapai satu pinggan. Muka langsung tak beriak.  Mengambil tempat beratur dibarisan Buffet. Adalah dalam lima orang dihadapannya sedang memilih makanan.

Lambat betul mereka pilih. Ambil ajelah semua letak atas pinggan. Desis Husna didalam hati. Dia masih lagi sabar menunggu giliran.

"Mak cik kenapa nampak macam tak sihat? Are you okay?

"Mak cik nak ambil makanan. Terlambat sedikit tadi. Tak sangka kena beratur panjang macam ini sekali. Biasalah dah tua, kaki cepat lenguh..."

Kedengaran dua suara itu berbual dibelakangnya. Prihatin juga lelaki itu kerana menegur. Tapi apa dia peduli, nasib orang tua itulah kerana sampai lambat.  Tidak mahu tidak, kena hadap juga barisan panjang ini. Dia pun tengah lapar, tak boleh nak mengalah dan beri laluan untuk Mak cik itu mengambil makanannya dahulu.

"Endak apalah kalau begitu, mak cik duduk sija (sahaja) di sana. Kasi pinggan itu, biar saya ambil."

"Betul ke ni? Tak menyusahkan ke?"

"Endak apa, bah. Orang tua sepatutnya tak perlu beratur panjang di sini. Duduk dulu."

"Terima kasih sangat-sangat."

Husna tersenyum kecil. Akhirnya, giliran dia tiba untuk mengambil makanan. Namun baru selangkah dia mara ke hadapan, tiba-tiba ada figura lelaki yang sesuka hati memotong barisannya. Sudahlah potong barisan, selepas itu boleh pula dia ceduk semua makanan yang terhidang itu serba sedikit ke atas pinggan dengan selamba.

Aish, makin panas pula hati ini. Aku tunggu sini punya lama, dia boleh pula dengan senang hati memotong. Inilah sikap manusia yang dia paling benci. Jenis nak cepat dalam semua hal tanpa memikir tentang orang lain.

Husna ketap bibir. Tak tunggu lama, dia terus mendekati lelaki berbaju melayu hitam itu dengan geram. 

"Excuse me? Orang lain yang beratur punya panjang dekat sini bunian ke? Tak reti nak beratur dulu ke huh?" Tegur Husna, dingin.

"Sorry. Saya tak ada niat nak potong barisan tapi saya ambil makanan ni untuk..." Semerta ayatnya terhenti saat wajah mereka saling bertembung.

Mata Husna terbeliak. Biarpun lelaki itu mengenakan kaca mata, namun dia dapat rasakan mata mereka saling berlaga saat ini. Tentu lelaki itu memandangnya dengan pandangan mengecil. Apatah lagi melihat bibir mungil itu mula menyenget, sinis.

Alamak!

Kalau tak tegur pun tak apa tadi. Perlahan-perlahan pinggan yang berada ditangan diangkat menutup muka. Bawah bibir digigit. Sempat lagikah kalau dia hendak bersembunyi sekarang?

"Sumandak buaya betina rupanya... patutlah suara macam kenal."

Ah sudah, matilah aku!

Husna pejam mata sesaat. Macam mana nak mengelak ni?

"Kenapa tutup muka? Malu ka? Aku baru sija nak ucap terima kasih untuk petang tadi. Sweet sangat tolong suapkan kek. Tapi malang sekali, yang disuap bukan ke mulut tetapi ke muka."

Dah agak. Dia akan ungkit tentang hal itu. Memang dah tiada harapan aku nak larikan diri macam tadi. Lantas Husna menjatuhkan kembali pinggan itu ke bawah. Memberanikan diri menghadap lelaki itu.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now