30

27.6K 2.2K 321
                                    

KAD berwarna hitam itu ditekap ke pintu. Kunci automatik terbuka sebaik sahaja dapat diakses. Tak tunggu lama, pintu terus ditolak lalu dia pun melangkah masuk ke dalam. Dia sendiri tidak pasti mengapa Tuan Nathan mengarahkan dia untuk ke sini. Katanya ada seseorang hendak berjumpa berbincang tentang sesuatu, maka dia hanya menurut.

Dan sekarang, dia telah pun berada di bilik yang agak luas. Antara bilik paling mahal di Ocean Resort, ada pintu khas yang membolehkan pelancong turun sendiri ke laut. Ada jetski disediakan. Kalau tubuh berasa sejuk kerana mandi air laut, boleh masuk ke dalam kolam mini jakuzi yang berada di sebelah kanan bilik. Seluruhnya nampak kemas tak terusik.

Langkah diberhentikan sebaik sahaja melihat lelaki yang duduk dibirai katil membelakanginya. Sedang menghadap ke arah pintu balkoni yang sengaja dibiarkan ternganga, menampakkan pemandangan laut dari luar.

"Tuan Dika ke yang nak jumpa saya?" Soalnya. Ada getar. Dia pun tak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berdebar resah. Namun dia cuba beranikan diri juga untuk kekal berdiri disitu

"Nama kau Zaim?" Garau suara Raf menyoal. Dia tidak menoleh ke belakang. Akan tetapi masih menanti soalannya dijawab.

Dengan perlahan Zaim angguk kepala.

"Ya, saya Zaim."

"Kau yang bawa bot malam itu, kan?" Tanpa banyak bicara, Raf teruskan kepada topik sebenar. Dia sudah tiada masa hendak berdalih. Hari pun hendak semakin gelap. Lagi beberapa jam sahaja matahari yang terpacak dilangit biru itu akan terbenam ke dasar bumi. Jadi, tidak boleh berlengah lagi.

Manakala Zaim pula kelihatan terkulat-kulat mahu menjawab. Sekejap bibirnya terbuka ingin bersuara, namun disaat anak mata tidak sengaja mencerun ke arah sebelah tangan Raf yang sedang melilit kain bandana merah pada telapak tangan kiri, terus bibirnya kembali tertutup. Takut hendak membuat pengakuan. Dikepala sudah terbayang nasib yang bakal menimpa tak lama lagi.

Ya Tuhan, selamatkanlah dia...

Zaim telan air liur. Gugup. Dia mahu berundur, dan kalau boleh lari selaju mungkin daripada bilik ini. Akan tetapi, kedua belah kakinya terasa terkunci. Seolah-olah ada magnet kuat yang menarik dari bawah sana. Sukar untuk dia mengangkat sebelah kaki sekalipun.

"Kenapa senyap? Tadi bukan boleh bercakap ke? Takkan tiba-tiba jadi bisu?" Raf menyoal penuh sinis. Dia akhirnya bangkit dari birai katil setelah kain ditelapak tangan kiri terikat dengan kemas. Cermin mata hitam yang dipakai ditanggalkan sebelum ditaruhkan ke atas meja sisi katil.

Tubuh memusing menghadap Zaim.

Buat sejenak, Mata Zaim membulat. Dia kaku pabila terpandang sepasang iris yang tak pernah terlihat sebelum ini. Keajaiban Tuhan yang buatkan dia terpukau dalam masa beberapa saat. Namun, sekarang bukanlah masa yang sesuai. Tubuhnya tetap saja menggigil tatkala sepasang mata itu merenungnya dengan tajam.

"Berapa dia bayar kau?" Soal Raf, kedua-dua belah tangan mencekak pinggang. Sambil kaki menapak selangkah demi selangkah menghampiri Zaim.

"Ba...bayar apa, Tuan?" Zaim buat-buat tidak tahu. Bibirnya mungkin saja boleh menipu, akan tetapi tidak pada riak wajahnya yang jelas berubah pucat.

"Dalam masa sekarang pun kau nak buat bodoh depan aku?"

"Ma... maaf, Tuan. Tapi saya tak faham apa yang Tuan cuba maksudkan sekarang."

"Betul kau tak faham?"

Zaim angguk kepala. Berbohong kepada diri sendiri.

Wajah Raf kekal tak beriak. Walhal dalam hatinya sudah berkecamuk dengan rasa amarah yang meluap-luap ingin keluar. Sedaya-upaya dia menahan diri daripada hilang kawalan. Bahkan melihat muka polos Zaim cuba menipunya pada waktu yang salah, lagilah buatkan dia bertambah bengang dan rasa tercabar. Bawah dagunya yang licin itu digosok-gosok perlahan sambil kepala terangguk begitu mengejek.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now